Ahad, 17 Januari 2016

Tanaman Pisang 2 : Pokok Pisang Kapas

Salam bertani.

Salah satu jenis pisang yang banyak terdapat di kebun "Warisan Petani" ialah pisang kapas. Pisang kapas paling mudah ditanam dan boleh hidup subur walaupun di kawasan yang terlindung/naung. Serumpun pisang kapas boleh kekal hidup hingga berpuluh-puluh tahun sekiranya dijaga dengan baik.

   Buah pisang kapas boleh dimakan sebagai pencuci mulut apabila masak. Buah muda (isi dan kulitnya) boleh dijadikan sayuran masak lemak dicampur dengan ikan kering. Pisang kapas yang masak ranum biasanya akan dijadikan cekodok (jemput-jemput pisang), lempeng pisang, apam pisang atau kek pisang. Buah pisang kapas tidak sesuai digoreng.

   Pokok pisang kapas mempunyai daun yang lebar dan tebal. Daun pisang kapas sesuai digunakan untuk membalut makanan seperti tempe dan nasi lemak dan boleh juga digunakan untuk membalut ikan bakar. Jantung pisang kapas boleh dibuat sayuran.


Pokok pisang kapas yang baru berbuah.


Serumpun pisang kapas di sempadan kebun.


Serumpun yang lain.


Buah pisang kapas muda beserta jantung.
Jantung pisang kapas boleh dijadikan sayuran.


Serumpun pisang kapas di dusun buah-buahan.


Pisang kapas muda yang sesuai dibuat sayuran.
Pisang yang kurang subur hanya ada lima sisir sahaja.


Buah pisang kapas yang hampir matang. 
Pokok yang subur boleh menghasilkan hingga 12 sisir pisang.


Buah pisang kapas yang matang perlu dituai sebelum masak.
Sekiranya masak di pokok kulit buah pisang akan pecah.


Sesisir buah pisang kapas yang masak.
Harga jualan di pasar tani ialah RM2.50 sekg.


Lempeng pisang kapas.
Sedap dimakan panas- panas.


Cekodok pisang kapas.
Dijadikan sarapan atau minum petang.


Kek pisang kapas.

Tidak rugi menanam pisang kapas. Tidak perlu penjagaan rapi dan boleh memberikan hasil sepanjang masa.

Salam bertani.

7 ulasan:

  1. Pisang Kapas sangat sesuai dibuat Pisang Rimpi atau Pisang salai

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ye, pisang salai diperbuat daripada pisang kapas yang matang.

      Padam
  2. Kat Mana Saya boleh dapat benih pisang kapas ni

    BalasPadam
  3. Benih pisang kapas ini perlu dicari di kampung2.
    Di Johor, pisang kapas ini masih banyak ditanam untuk dijadikan pisang salai.

    BalasPadam
  4. waktu bilakan sesuai nak ambil jantung pisang?

    BalasPadam
  5. Boleh dipotong selepas sisir akhirnya
    Macam gambar ke 3 tu dah boleh potong

    BalasPadam