Rabu, 28 September 2016

Blogger Setahun Jagung.

Salam bertani.

Hari ini genap setahun blog "Warisan Petani" bersiaran di alam maya. Rasanya baru beberapa hari berlalu, rupa-rupanya sudah boleh menyambut ulang tahun yang pertama. Terima kasih kepada semua yang menyokong blog "Warisan Petani" terutama followers dan silent readers juga. Diharapkan terus menyokong blog setahun jagung ini dan mudah-mudahan ada manfaat yang boleh dikongsi bersama. Juga mohon kemaafan sekiranya ada sesuatu maklumat atau fakta yang tidak benar atau ada yang menyinggung perasaan pembaca di dalam entri-entri yang disiarkan.

WP banyak menyiarkan entri tentang  kehidupan seharian sebagai petani sepenuh masa berdasarkan pengalaman sebenar yang dilalui dan sedikit  rujukan tetapi tidak berdasarkan kajian ilmiah.  Walau pun WP bukanlah seorang usahawan  tetapi tetap bersyukur menjadi seorang petani yang mempunyai sedikit pengalaman dalam pelbagai bidang pertanian yang diceburi sejak kecil.

Sepanjang bergelar petani, WP pernah mengusahakan kebun buah-buahan, tanaman kelapa sawit, tanaman getah, sayur-sayuran, tanaman padi dan tanaman hiasan. WP juga menternak lembu sejak di bangku sekolah rendah, menternak ayam dan itik, menternak puyuh, menternak ikan dan arnab serta pernah menjadi nelayan darat. Kebayakan usaha yang dilakukan  kerana minat dan kesungguhan walau pun hanya sebagai hobi untuk mengisi masa lapang. Sebahagian daripada usaha-usaha tersebut menjadi sumber pendapatan WP sekeluarga.

Tentang WP. 
Maaf kepada semua kerana masih tidak
bersedia memperkenalkan diri.
Cukup dulu sekadar "Warisan Petani"



Entri pertama yang bersiaran setahun yang lalu.



Entri pertama dan kedua adalah berkaitan tanaman yang
masih WP usahakan sehingga kini.


Entri yang paling banyak mendapat PV walau pun baru
beberapa bulan disiarkan.


Jumlah entri sepanjang tahun 2015 bemula pada bulan September.



Entri sepanjang 2016



Sebahagian daripada Google followers yang sentiasa menyokong blog WP.



Followers yang dekat di hati WP.

Terima kasih semua.
Terima kasih kepada semua yang menyokong blog setahun jagung "Warisan Petani".

Salam bertani.



WW : ABC Tembikai

Salam bertani.





Jemput menjamu selera.
Salam bertani.

Selasa, 27 September 2016

Pokok Lempuyang.

Salam bertani.

Pokok lempuyang merupakan salah satu tumbuhan herba yang mempunyai pelbagai khasiat kesihatan dan perubatan. Pokok lempuyang sama seperti pokok halia, kunyit atau temulawak. Pokok lempuyang mengandungi umbisi yang menjalar di dalam tanah dan mengeluarkan rizom sebagai anak pokok. Ia hidup secara berumpun dan mudah dbiakkan melalui keratan umbisi atau pecahan rumpun.

Bahagian lempuyang yang bermanfaat ialah umbisinya yang boleh dituai seperti halia atau kunyit. Umbisi lempuyang  berwarna kuning muda dan diselaputi satu lapisan kulit nipis berwarna kelabu.
Jus umbisi boleh didapati dengan cara menghancurkannya menggunakan lesung, sagat, parut atau diblender saja. Rasanya sangat pahit.

Zaman kanak-kanak dulu, WP biasa di'cekok' dengan lempuyang oleh ibu WP bertujuan untuk menambahkan selera makan dan membasmi cacing dalam perut. 'Cekok" adalah  umbisi lempuyang yang diparut dan dipunjut untuk  dipaksa minum dengan memerahnya ke dalam mulut kita. Arwah bapa juga biasa memakan umbisi muda lempuyang  yang dibuat 'sambal ketuk lempuyang' bertujuan untuk menyegarkan badan dan menghilangkan lenguh-lenguh badan selepas seharian bekerja.


Seperdu lempuyang yang terdapat di belakang rumah.



Serumpun lagi yang hidup subur.
Sesuai ditanam di kawasan yang sedikit naung.



Mempunyai batang yang lembut dan pelepah daun seperti
pokok kunyit atau halia.



Bentuk daun pokok lempuyang.



Umbisi lempung tua yang mengandungi pelbagai khasiat.



Bunga pokok lempuyang muda berwarna hijau.



Bunga lempuyang matang berwarna merah.
Bunganya tidak mengandungi biji benih.


Lempuyang yang dituai.


Rizom lempuyang yang tumbuh daripada umbisinya.
Boleh disemai menjadi anak pokok lempuyang.


Umbisi lempuyang yang mempunyai pelbagai khasiat.
Boleh diparut atau diblender untuk mendapatkan jusnya.
Seakan-akan umbisi halia.


Masyarakat Jawa menggunakan umbisi lempuyang sebagai salah satu bahan asas membuat jamu terutama untuk kegunaan wanita lepas bersalin. Meminum jus lempuyang dikatakan dapat menambahkan selera makan, dapat menanbahkan darah dan menyegarkan badan. Jus lempuyang juga dijadikan ubat cacing, ubat batuk, sakit perut dan buasir. Lempuyang juga digunakan sebagai pereda kesan alergi makanan dan gatal-gatal kulit. Kaum ibu pada zaman dahulu meminum jus lempuyang untuk mengurangkan kesuburan bertujuan menjarakkan kehamilan.

Banyak lagi khasiat yang boleh didapati daripada tanaman herba lempuyang. Sekarang sudah ada produk lempuyang dalam bentuk kapsul yang lebih mudah digunakan.

Salam bertani.

Ahad, 25 September 2016

Pokok Siantan

Salam bertani.

Pagi ini semasa WP meronda-ronda kawasan, terpandang sepokok bunga siantan yang sedang lebat berbunga. Bunga siantan ini berwarna merah walau pun ada bunga siantan yang berwarna lain. Pokok bunga siantan ini adalah pokok renek yang sederhana besar dan perlu dicantas untuk mengawal ketinggian dan untuk mendapatkan bentuk kanopi yang sesuai.

Pokok bunga siantan ini mudah ditanam dengan menggunakan keratan batang sahaja. Walau pun mengeluarkan biji benih tetapi biji benihnya susah tumbuh apabila disemai. Ia juga boleh dibiakkan melalui kaedah tut. Pokok siantan dewasa yang ditanam di atas tanah tidak perlu disiram.

Pokok bunga siantan ditanam untuk tujuan hiasan kerana bunganya yang cantik dan ada juga yang dijadikan pokok pagar. Sekarang tak ramai yang menanam pokok siantan ini kerana telah ada benih pokok siantan hybrid yang lebih renek dan kecil tetapi rajin berbunga. Siantan hybrid ini sesuai ditanam sebagai tanaman pasu.


Sepohon siantan yang sedang lebat berbunga.


Kudup bunga siantan terbit pada pucuk pokok.



Kudup bunga semakin membesar.



Hampir berkembang.


Bunga siantan sedang kembang


Warna bunga yang merah dan menarik.


Buah pokok siantan yang mengandungi biji benih.

Pokok bunga siantan sebenarnya tergolong dalam kategori tumbuhan herba kerana mengandungi nilai perubatan. Masyarakat dahulu menggunakan daun, bunga, dan akar pokok siantan sebagai amalan perubatan untuk menyembuhkan pelbagai jeis penyakit seperti darah tinggi,batuk, mengubati luka, masalah haid wanita dan pelbagai penyakit kulit. Ia juga dijadikan sebahagian daripada ramuan untuk membuat jamu.

Salam bertani.



Sabtu, 24 September 2016

Ternakan Lembu 11.

Salam bertani.

Kerja-kerja mengembala lembu merupakan kerja rutin yang wajib WP lakukan setiap hari. Biasanya WP akan memperuntukkan masa satu jam setiap hari untuk melalukan kerja-kerja tersebut. Waktu yang sesuai ialah diantara pukul 5.30 petang hingga pukul 6.30 petang dimana cuaca sudah agak kurang panas. Kerja yang dilakukan ialah memindahkan lembu-lembu yang ditambat ke tempat baru dan memberi minum lembu (sekiranya air sungai cetek) serta membuang anak kayu dan pokok semalu di padang ragut.

Petang Jumaat ini WP sempat membawa hp dan dapat mengabadikan gambar-gambar ternakan lembu untuk koleksi sendiri dan bahan untuk entri ini.


Pejantan lembu.


Induk lembu 1


Anak betina induk lembu 1 berumur 1tahun 10 bulan.


Anak jantan induk 1 berumur 10 bulan.


Induk lembu 2


Anak jantan induk lembu 2 berumur 2 setengah tahun.
Telah dijual sempena Hari Raya Korban yang lalu.


Anak betina induk lembu 2 berumur 6 bulan.


Induk lembu 3


Anak jantan induk lembu 3 berumur 1 setengah tahun.


Anak betina induk lembu 3 berumur 6 bulan.


Induk lembu 4


Anak betina induk lembu 4 berumur 3 bulan.


Induk lembu 4 bersama anaknya.




Suasana di padang ragut


Anak-anak lembu bebas meragut.


Sahabat sebaya


Selfie

Salam bertani.

Rabu, 21 September 2016

Ternakan arnab.

Salam bertani.

WP ada memelihara beberapa ekor arnab, seekor pejantan dan beberapa ekor induk dewasa.
Baru-baru ini, seekor induk arnab melahirkan enam ekor anak arnab. Alhamdulillah kesemua anak arnab sihat dan sudah mula makan pelet yang disediakan.

WP memelihara arnab untuk kegunaan sendiri iaitu mendapatkan dagingnya. Daging arnab berwarna putih seperti daging ayam dan dikatakan kurang kolestrol berbanding daging merah yang lain. Daging arnab biasanya dimasak kering seperti rendang, digrill atau digoreng berempah sahaja. Pebret WP mestilah daging arnab masak ungkep.


Induk dewasa.


Dua ekor arnab remaja yang sesuai dituai.





Seekor lagi induk dewasa. 


Induk dewasa bersama anak-anaknya


6 ekor anak arnab berusia 2 bulan.


Sebahagian anak-anak arnab yang comel.


anak 1


anak 2


anak 3


anak 4


anak 5


anak 6


Inilah bapa mereka.
Pejantan arnab perlu diasingkan.


Apartment mereka


Bersantai di luar.

Pejantan arnab hidup sendirian di reban yang berasingan. Hanya akan menerima tetamu beberapa ketika untuk dibiakkan. Induk arnab bersifat sentiasa subur, induk yang bunting perlu diasingkan daripada pejantan sehingga melahirkan anak. Sekiranya dicampurkan dengan pejantan , ia boleh bunting lagi walau pun belum melahirkan anak.

Selain diberi makan pelet yang dibeli, arnab juga diberi makanan tambahan seperti sayur2an, lobak dan juga rumput israil. Pastikan makanan tambahan dicuci dan dikeringkan sebelum diberikan kepada ternakan tersebut, Najis arnab kering sangat sesuai dijadikan baja tanaman di sekeliling rumah.

Untuk terapi minda dan mata, WP boleh duduk berjam-jam melihat gelagat anak-anak arnab yang comel tu. Cuma WP tak mengangapnya sebagai pet tetapi sebagai ternakan biasa yang harus dikorbankan apabila sampai masanya.

Salam bertani.