Sabtu, 27 Februari 2016

Tanaman Pisang 3 : Pokok Pisang Tanduk.

Salam bertani.

Pokok pisang tanduk merupakan salah satu tanaman yang terdapat di kebun "Warisan Petani". Pokok pisang tanduk ditanam untuk keperluan sendiri dan sebahagiannya dijual di pasar tani. Buah pisang tanduk merupakan buah pisang yang terbesar dan berbentuk melengkung seperti tanduk sebab itu dipanggil pisang tanduk. Ada sebahagian tempat memanggilnya pisang helang/lang walau pun sebenarnya pokok pisang tanduk dan pokok pisang helang ada perbezaannya.

       Pokok pisang tanduk biasanya ditanam melalui anak benih yang tumbuh di pangkal pokok pisang tanduk dewasa yang telah berbuah. Sekarang anak benih yang dibiakkan melalui kultur tisu lebih popular kerana bebas dari penyakit dan peratus pertumbuhan yang lebih tinggi apabila ditanam.

      Menanam pokok pisang tanduk tidak seperti pisang lain yang boleh dituai berulang kali dari generasi-generasi berikutnya. Anak pokok pisang tanduk perlu diubah ke tempat lain untuk mempastikan ia mengeluarkan hasil seperti yang diharapkan. Pokok pisang tanduk yang berbuah biasanya memerlukan sokongan untuk mengelakkannya tumbang atau 'patah tengkuk'.

      Pisang tanduk tidak mempunyai jantung dan biasanya hanya mempunyai satu atau dua sisir buah sahaja. Pokok pisang tanduk memerlukan masa lebih kurang lapan bulan untuk berbunga dan buahnya perlu tiga bulan untuk matang. Buah pisang tanduk jarang dimakan sebagai pencuci mulut. Ia sesuai disajikan sebagai pisang goreng dan dijadikan kerepek pisang. Buah pisang tanduk boleh juga direbus dan dimakan dengan kelapa parut.


Anak pisang tanduk yang disemai di dalam polybag
sebelum ditanam di kebun.


Anak pokok pisang tanduk yang terus diubah ke kebun.


Anak benih pokok pisang tanduk yang dihasilkan oleh 
pokok pisang tanduk dewasa. Perlu diubah ke tempat lain.


Anak pokok pisang tanduk berumur beberapa bulan.


Ditanam sebagai tanaman selingan sementara menunggu
anak pokok kelapa sawit membesar.



Buah pisang tanduk muda.
Hanya dua sisir sahaja.


 Buah pisang tanduk yang hampir matang.


Buah pisang tanduk matang yang telah dituai.
Sesuai dijadikan kerepek pisang.


Buah pisang tanduk perlu diperam untuk masak seperti ini.
Sesuai dijadikan pisang goreng.
Dijual di pasar tani dengan harga RM4.50 sekg.


Pisang tanduk goreng. Enak dimakan panas-panas bersama
sambal kicap.


Kerepek pisang tanduk.
 Paling enak berbanding kerepek pisang lain.

Menanam pisang tanduk tidaklah susah, hanya perlu penjagaan dan pembajaan supaya ia hidup subur.
Pastikan anak benih pisang tanduk bebas dari serangan ulat pengorek dan direndam dengan racun serangga dan racun kulat sebelum ditanam.  Musuh utama tanaman pisang tanduk ialah babi hutan yang sangat gemar memakan umbutnya. Monyet juga boleh merosakan tanaman pokok pisang tanduk dan buahnya.

Salam bertani.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan