Isnin, 29 Mei 2017

Tanaman Kentang Jembut

Salam bertani.

Salah satu makanan jenis berubi yang biasa WP makan semasa dulu-dulu ialah kentang jembut. Panggilan ini sangat sinonim dengan masyarakat jawa JDT walau pun di tempat lain dipanggil ubi kemili atau ubi hitam. Pokok kentang jembut hidup melata di atas tanah, mempunyai batang yang lembut dan tidak berkayu. Hasil tanaman ini ialah ubinya yang terdapat di dalam tanah.

   Pokok kentang jembut boleh ditanam melalui keratan pucuknya atau meggunakan ubinya yang perlu disemai dahulu untuk menghasilkan keratan tersebut. Ia sesuai ditanam di tanah gambut yang tidak menakung air. Tanaman kentang jembut  memerlukan penyiraman yang kerap. Hasilnya boleh dituai selepas 10 hingga 12 bulan penanaman.

 Ubi kentang jembut biasanya direbus seperti merebus ubi kayu atau ubi keledek. Ia direbus bersama-sama dengan kulitnya dan kulitnya dikupas atau dibuang apabila hendak dimakan. Ubi kentang jembut rebus enak dimakan bersama-sama dengan kelapa parut dijadikan sarapan atau juadah minum petang. Ia juga boleh dijadikan ramuan tambahan gulai daging atau ikan air tawar. Pucuk muda kentang jembut juga boleh dijadikan sayuran.



Inilah rupa ubi kentang jembut yang baru dituai.
Mempunyai pelbagai saiz dan bentuk serta berakar.
Perlu dibersihkan sebelum direbus tetapi tidak perlu mengupas kulitnya.


Pokok kentang jembut yang baru disemai melalui keratan pucuknya.


Pokok cepat merebak dengan mengeluarkan banyak tunas baru.


Tanaman kentang jembut di tepi pagar rumah WP semakin membesar.


Pucuk mudanya juga boleh dijadikan sayuran selain
dijadikan bahan penanaman.


Memerlukan masa hampir setahun penanaman sebelum boleh dituai.

WP masih menanam pokok kentang jembut untuk mengimbau zaman susah semasa kanak-kanak dahulu. Juga supaya generasi sekarang mengenali pokok kentang jembut dan merasai kelazatan ubinya. Sekarang hanya menanam untuk suka-suka sahaja walau pun dahulu selalu memasarkan hasil tanaman kentang jembut ke pekan Air Hitam.

Salam bertani.

 

4 ulasan: