Isnin, 21 November 2016

Menternak Ayam Hutan.

Salam bertani.

WP ada membela beberapa ekor ayam hutan untuk suka-suka  di samping ternakan ayam kampung dan itik telur. Ayam hutan ini pada mulanya adalah ayam hutan liar yang datang ke reban untuk mencari makanan. Lama kelamaan ayam-ayam hutan ini menjadi jinak dan mengenali WP yang setiap petang memberinya makanan.Walau bagaimana pun ayam-ayam hutan ini masih boleh terbang tinggi sekiranya didekati oleh orang-orang yang tidak dikenali atau keadaannya terancam.

Tidak seperti ayam kampung, sifat ayam hutan sangat sensitif terutama ketika bertelur dan memelihara anak. Ibu dan telur  ayam hutan tidak boleh diganggu terutama yang sedang mengeram.
Sekiranya ibu ayan hutan yang sedang mengeram terkejut atau diganggu, ia akan meninggalkan telur-telurnya dan tidak mahu mengeram lagi.

Anak-anak ayam hutan yang baru menetas juga agak sensitif dan sukar hidup sehingga dewasa. Ia tidak boleh dipegang dan diganggu dan perlu dibiarkan hidup secara semula jadi bersama-sama ibunya. Saiz ayam hutan agak kecil jika dibandingkan dengan ayam kampung. Ayam hutan yang dipelihara dan diberi makanan yang cukup, agak bulat dan berisi dan tidak gemar terbang. Ayam hutan liar agak kurus dan ringan untuk memudahkannya terbang dan melarikan diri.

Di kawasan WP sekarang, ayam hutan liar semakin menjadi dan bertambah bilangannya kerana dapat menyesuaikan diri menjadikan kebun kelapa sawit sebagai habitat hidupnya. Ayam hutan liar biasanya mempunyai cuping telinga berwarna putih terang sama ada jantan atau betina.


Seekor ayam hutan jantan dan dua ekor ayam hutan  betina dewasa.


Ayam hutan jantan ini asalnya adalah ayam hutan liar
yang datang mencari makanan dan masuk ke dalam reban.


Ternakan ayam hutan diberi makan jagung hancur.


Anak-anak ayam hutan yang sedang membesar.


Empat ekor ayam hutan betina dewasa yang sudah bertelur. 


Seekor ibu ayam hutan bersama 4 ekor anak yang baru menetas.


Anak-anak ayam hutan diberi makan dedak pemula dan jagung halus.
 Sudah tumbuh bulu pelepah di kepaknya dan sudah pandai terbang.


Telur seekor ibu ayam hutan.
Telurnya kecil bersaiz ibu jari kaki.
Perlu dieramkan selama 21 hari oleh ibunya sebelum menetas.

WP memelihara ayam hutan hanyalah sebagai hobi dan sangat terhibur kerana dapat menjinakkannya. Kebanyakan telur ayam hutan tidak dieramkan dan WP jadikan sebagai santapan sahaja. WP tidak berhasrat untuk mengkomersialkan ternakan ayam hutan ini.

Salam bertani.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan