Isnin, 6 Julai 2020

Pokok Buluh Lemang

Salam bertani

Ada serumpun pokok buluh lemang di kebun WP yang wak tanam kira-kira dua tahun yang lalu. Batang buluhnya masih agak kecil dan kurang sesuai untuk dijadikan buluh lemang. Mungkin memerlukan masa setahun lagi untuk mendapatkan saiz buluh lemang yang sesuai.

Anak benih pokok buluh lemang boleh disemai melalui tunggul pokok buluh lemang yang perlu digali bersama akarnya. Anak benih pokok buluh lemang juga boleh disemai melalui dahan berakar yang tumbuh di ruas batang buluh. Perlu disemai di dalam polibeg terlebih dahulu dan diletakkan ditempat teduh serta perlu penyiraman sehinggalah kelihatan tunas baharu muncul.


Rumpunan pokok buluh lemang yang sedang membesar


Batang buluh lemang yang dipotong.
Saiznya masih agak kecil.


Dua batang rebung buluh lemang yang mempunyai
saiz yang lebih besar.
Rebung buluh lemang tidak sesuai dijadikan sayuran.


Batang buluh lemang tumbuh rapat/padat
dalam satu rumpun.


Anak benih pokok buluh lemang yang disemai
di dalam polibeg.

Salam bertani.

Jumaat, 3 Julai 2020

Buah Rambutan Dah Masak

Salam bertani.

Musim durian dah tiba ke penghujungnya. Musim durian akan datang lagi selepas raya haji nanti. Kini musim rambutan pula menyusul. Beberapa pokok rambutan yang berbuah di dusun WP sudah masak ranum buahnya dan sesuai untuk dituai.


Buah rambutan dah matang


Rambutan jarum emas berbuah lebat


Berbuah hingga ke tanah


Sudah sesuai dituai


Bergayutan di atas kepala


Boleh dicapai tangan


Sujud di atas bumi


Memenuhi tempahan hari ini
7 bungkus


Sebungkus 4 kg RM10.00
Maaf wak tak ambil tempahan online.

Salam bertani.

Tebang Pokok Palma Pinang Merah

Salam bertani

Wak menanam pokok pinang merah ini kira-kira 20 tahun yang lalu di tebing kolam ikan yag terdapat di dusun. Hari ini kolam ternakan ikan tersebut sudah tidak berfungsi kerana sudah cetek dan kurang sumber air. Pokok pinang merah sebanyak 27 perdu ini juga telah terlalu besar dan tidak terjaga.

Wak mengambil keputusan untuk menebang sahaja pokok-pokok pinang merah ini supaya kawasan ini menjadi lapang dan memberi ruang kepada tanaman lain untuk membesar. Sepanjang dua pagian wak bekerja memotong pokok-pokok palma ini menggunakan parang panjang sehingga selesai.




27 pokok pinang merah ditanam sebaris di tebing kolam ikan.


Perdu pinang merah ditebang satu persatu.
Wak gunakan parang panjang untuk memotong
batang pokok pinang merah tersebut.



Tunggul perdu pinang merah yang telah dipotong.


Tinggalkan seperdu untuk kenangan.
Kelihatan anak durian duri hitam di hujung sana.


Kerja-kerja pemotongan selesai selepas dua hari
Kelihatan pokok pulasan dan nangka di hujung.


Kawasan yang lapang dapat beri laluan
kepada tanaman lain untuk membesar.

Salam bertani,

Isnin, 29 Jun 2020

MB 134 : Pengat Campur

Salam bertani

 Wak kudapan pengat campur-campur pada petang ini.


Ubi keladi putih
Ubi kayu medan
Buah pisang nipah
Isi nangka madu j33
Biji nangka madu j33 (direbus dulu)
Santan kelapa mataq
Biji sagu/wak panggil telur katak  (beli).

Jemputlah menjamu selera.

Salam bertani.

Ahad, 28 Jun 2020

Membiakkan Tanaman Kantan Merah.

Salam bertani

Asalnya wak hanya tanam sepohon aje pokok kantan merah pemberian benih daripada seorang sahabat. Sehinggalah pokok kantan merah ini berbunga barulah wak terfikir untuk memperbanyakkan tanaman kantan merah ini  kerana bunganya yang sangat digemari dan jarang-jarang terdapat di pasaran.

Semasa HPPNK di JB pada akhir tahu lepas, wak ada ternampak boots yang jual anak benih kantan merah dalam polibeg. Kalau tak silap harganya RM60.00 satu polibeg.  Jadi wak pun cuba biakkan sendiri tanaman pokok kantan merah ni dengan menggunakan keratan rizom berakar daripada pokok induk yang ada. Sekarang wak dah ada lebih kurang 30 perdu anak pokok kantan merah yang sedang membesar. Pokok kantan merah memerlukan masa sekurang-kurangnya 8 bulan untuk berbunga selepas ditanam.



Sekuntum bunga kantan merah yang sedang mekar


Inilah perdu asal (induk) pokok kantan merah di kebun WP
Sentiasa menghasilkan bunga kantan merah.


Perdu kantan merah ini baru belajar berbunga
Dibiakkan daripada pokok kantan induk di atas


Yang ini juga sudah berbunga sulung


Anak pokok kantan merah berumur 3 bulan


Seperdu lagi anak pokok kantan merah


Subur menghijau


Rumput di perdu pokok ini perlu dibersihkan


Baru ditanam daripada sebatang induk dewasa


Rizom yang baru ditanam telah menghasilkan anak pokok


Bunga kantan merah


Hasil tuaian

Salam bertani.

Jumaat, 26 Jun 2020

Anak-anak Di belakang Rumah

Salam bertani.

Ayam-ayam kampung yang wak ternak di belakang rumah banyak berkurangan kerana dikorbankan semasa raya PKP yang lepas. Yang tinggal hanyalah induk-induk betina dan pejantan untuk penghasilan telur ayam dan untuk pembiakbakaan.  Anak-anak ayam kampung yang menetas semasa raya PKP yang lepas sudah berumur sebulan dan sudah berpindah ke reban tanah. Ada juga anak-anak ayam kampung yang baru menetas dan ada sebahagian ibu ayam yang masih mengeram.



10 ekor anak ayam kampung daripada satu induk.
Berumur sebulan setengah.
Menghuni reban berlantai tinggi.


7 ekor daripada induk yang lain.
Berumur satu setengah bulan juga.
Menghuni reban lantai pasir.


Anak-anak ayam kampung ini baru dipindahkan 
ke reban  daripada sangkar didik.
Baru berumur sebulan.



30 ekor daripada 3 induk yang menetas serentak.
Masih kekok memijak tanah.


Baru seminggu menetas.
Dipisahkan daripada ibunya selepas menetas.
Tinggal di sangkar didik dihangatkan oleh
mentol 40W.


Berumur dua minggu.
Masih tinggal di sangkar didik
tetapi tidak perlu mentol lagi.


Yang ini berumur dua bulan.
Sudah dilepaskan bebas pada waktu petang.


Dua induk ayam kampung sedang mengeram
Dijangka menetas dua minggu lagi.

Salam bertani.

Khamis, 25 Jun 2020

Batang Keladi Putih Masak Tumis

Salam bertani.

Hari ini wak menjamu selera tengah hari dengan makan nasi panas bersama sup ayam kampung dan sayur batang keladi tumis. Batang keladi yang paling sesuai dijadikan sayuran ialah keladi putih yang dipanggil keladi minyak kerana ia tiada rasa gatal dan mudah dimasak. Batang keladi minyak dan umbisinya tak perlu direbus, sebaliknya terus ditumis seperti kita menumis sawi atau kangkung. Cuma pastikan kita menumis sehingga batang keladi putih serta umbisinya lembut dan empuk sebelum dihidangkan sebagai juadah yang menyelerakan.


Masakan batang keladi tumis hidangan tengah hari ini.
Selain ditumis, batang keladi enak dimasak asam rebus
atau masak lemak.



Seperdu keladi putih yang dituai.
Induk keladi dan 5 batang anaknya.
Umbisi induk keladi boleh digoreng atau dibuat pengat.
Anak2 keladi boleh dijadikan sayuran.


Batang anak keladi dan umbisinya yang telah disiang.
Kulit di sekeliling batang keladi hendaklah dibuang.
Umbisi keladi dikupas kulitnya dan dipotong kecil.
Siang batang keladi dan umbisinya dalam keadaan kering
(jangan gunakan air). Selepas selesai baru dibersihkan
sebelum dimasak.


Inilah pokok keladi putih yang dipanggil keladi minyak.
Ia tidak mengeluarkan sulur keladi sebaliknya mengeluarkan
rizom keladi di sekeliling umbisi induknya.
Batang keladi  minyak inilah yang paling sesuai dijadikan
 sayuran kerana tidak gatal dan enak rasanya.



Ini juga keladi putih yang dipanggil keladi sulur.
Umbisi dan batangnya boleh juga dijadikan sayuran tetapi
kalau tak tahu mengolahnya akan merasa gatal di tekak.
Batang keladi putih sulur ini perlu direbus dahulu sehingga 
lembut dan ditoskan (airnya dibuang) sebelum dimasak 
untuk mengelakkan rasa gatal tersebut.


Pokok keladi putih sulur mengeluarkan banyak sulur yang
boleh dijadikan sayuran. Sulurnya juga perlu direbus dahulu
sehingga mendidih dan ditoskan sebelum dimasak.

Untuk memasak sayuran batang keladi, pastikan kita memilih batang keladi putih yang dipanggil keladi minyak kerana ia tidak meninggalkan rasa gatal di tekak malah rasanya lembut, enak  dan mudah dimasak.


Salam bertani.