Sabtu, 18 Mac 2023

'Yut' Hanyut Buat Selama-lamanya

 Salam bertani

Mungkin masin mulut wak selalu panggil Yut (sempena peristiwa dia hanyut dulu), kini Yut telah hanyut buat selama-lamanya. Peristiwa ini berlaku pada awal bulan ini semasa banjir besar melanda kebanyakan kawasan di negeri Johor. Kawasan padang ragut tempat ternakan wak telah ditenggelami air banjir beberapa hari akibat hujan lebat berterusan dan pelepasan air takungan tasik.  Keluarga Yut yang berada di seberang sungai tidak dapat dipindahkan kerana air naik terlalu cepat. Si Yut cuba menyeberangi sungai tetapi tersangkut pada jaring ikan yang dipasang oleh penduduk di sini. Wak amat sesal  tak dapat menyelamatkan Yut sebab ia menyeberang pada waktu malam. Wak hanya dapat melihat jasad Yut tidak bernyawa pada pagi esoknya.

Hampir sebulan wak tidak mengentri blog WP kerana peristiwa ini. Bukan sedih kerugian 5 - 6k nilai komersial Yut, tetapi kehilangan 'sentimental value' bersama-sama Yut selama ini tiada bandingannya.



Wak banyak mengentri kisah Yut dan keluarganya dalam
blog WP ini. Panggilan 'Yut' berasal daripada peristiwa dia
hanyut ke seberang sungai. Wak kagum dengan semangatnya
hidup bersendirian sehinggalah membentuk satu keluarga.



Banjir besar akibat pelepasan air empangan
pada awal bulan Mac ini.
Keluarga Yut berada di seberang sungai terperangkap banjir   



Keadaan sebahagian daripada keluraga  Yut yang
terperangkap banjir sehingga beberapa hari.


Wak terpaksa mengharung sungai menggunakan sampan
untuk melepaskan tali tambatan ke semua ahli keluarga Yut.


Jasad Yut dijumpai terapung tersangkut pada jaring ikan.
Rupanya Yut ikut wak menyeberang sungai pada malam itu
meninggalkan ahli keluarganya yang lain.



Yut benar-benar hanyut buat selama-lamanya.
Maafkan wak kerana tidak dapat membantu 
Yut sehingga kelemasan
Sedihnya melihat jasad Yut berlalu pergi.


Yut the Legend dalam kenangan.
Terima kasih di atas segala kenangan semasa menjadi
sahabat wak yang setia.
Yut meninggalkan wak dan  tiga anak si Ning Oyen,
si Pok Teh Ali dan si Syuk serta dua cucu si Napi Sikat Tepi 
dan Siti Nursyahira @ Ira.

Sala bertani.