Salam bertani
Wak ada tanya soalan dalam entri WW 202 : Pokok Apa Ek. Daripada komen-komen yang wak baca, kebanyakannya tidak mengenali pokok ubi badak ini.
Orang putih panggil purple yam, orang jawa JDT tempat wak panggil ubi uwi manakala orang pantai timur panggil ubi besar. Pokok ubi badak adalah ubi tahunan yang ditanam menghasilkan buah ubinya di dalam tanah. Buah ubinya yang tergantung di atas pokok seperti kentang itu tidak dimakan sebaliknya akan dijadikan bahan penanaman.
Pokok ubi badak mempunyai batang lembut yang memerlukan junjungan untuk memanjat atau melilit pokok lain sebagai perumahnya. Dalam masa setahun pokoknya akan kering dan ubinya di dalam tanah bolehlah dituai. Buah kentang udara yang tergantung akan luruh dan akan tumbuh sebagai anak benih.
Buah ubi badak ada dua jenis iaitu yang berisi putih dan unggu. Buah yang berwarna unggu lebih sedap dan manis boleh direbus, digoreng, dijadikan kerepek, pengat, kuih, kek dan ais kerim. Buah yang berwarna putih banyak ditanam di pantai timur dan buahnya sangat besar sehingga mencapai 5/6 kg sepokok, sebab itu mereka panggil ubi besar. Buah ubi badak yang dituai boleh disimpan lama di tempat yang kering, biasanya digantung di bawah rumah.
Sepohon ubi badak yang wak tanam di belakang rumah.
Melilit pokok belimbing buluh sebagai perumahnya.
Pohon ubi badak ini menjalar di atas tanah kerana masih muda.
Daunnya seakan-akan daun sirih.
Buah udara ubi badak terhasil di atas pokok.
Buah ini biasanya tidak dimakan.
Buah ini akan gugur bila pokoknya matang
dan boleh dijadikan bahan penanaman.
Isi buah ubi badak yang terdapat diperdu pokok.
Buahnya membesar di dalam tanah seperti buah ubi keledek.
Wak lukakan sedikit buah ubi badak ini untuk
menunjukkan warna unggunya.
Pokok ubi badak yang hampir matang.
Daunnya akan kering dan buahnya bolehlah dituai/gali.
Buah ubi badak yang telah dituai.
Perlu digali di dalam tanah.
Keseluruhan isinya berwarna unggu (purple yam)
Pengat buah ubi badak.
Cemilah masyarakat jawa pada musim hujan.
Salam bertani.