Isnin, 31 Julai 2017

MB 7 : Qurban

Salam bertani


Inilah si Tuah, abang ePool.
Umurnya sekarang sudah dua tahun  empat bulan.
Si Tuah besar dan sihat.
Sudah ditempah untuk dijadikan qurban sempena Hari Raya Haji bulan depan.

Salam bertani.


Ahad, 30 Julai 2017

DIY : White House

Salam bertani

White house?
Ya ( Rumah putih). Bukan rumah yang diduduki oleh Presiden USA tetapi rumah untuk si Putih, PATI Kitten. (Walau pun rumhnya tidak berwarna putih).

Seharian WP menyiapkan rumah untuk si Putih supaya ia dapat tidur dengan selesa terutama pada waktu malam. Pada hari siang si Putih lepas bebas keluar masuk rumah tuannya.



PATI Kitten sedang berehat di rumah barunya,
 White house.


Kerja2 pembinaan white house.
Binaan kerangka 3m X 1m X 1m


Memasang lantai


Lantai, dinding dan bumbung siap dipasang.



Pintu rumah putih.
Gunakan Plywood tebal terpakai


White House siap sepenuhnya.


Kemasan dalaman rumah putih.
Tempat tidur Putih.


Berjiran dengan anak-anak Olie. 
(Cucu Ramadan)


(contoh susu untuk kucing)

Salam bertani.

Khamis, 27 Julai 2017

PATI Kitten

Salam bertani


WP sekeluarga memanggil P.A.T.I. Kitten ini si Putih.
Kenapa PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin).

Sebenarnya si Putih ini adalah anak kucing buangan orang  tidak bertanggungjawab di hadapan rumah WP kira-kira tiga minggu yang lalu. Menangis sepanjang pagi dengan keadaan basah kuyup dan kedua-dua matanya yang hampir tidak boleh dibuka kerana jangkitan penyakit.

Mungkin umurnya dalam lingkungan 5 - 6 minggu kerana masih belum pandai makan dan minum sendiri. Dengan rasa penuh belas kasihan dan rasa tanggungjawab, WP mengambil PATI Kitten ini sebagai kucing angkat dan memeliharanya sebagaimana kucing-kucing peliharaan lain. Si Putih diberi minum susu, dibersihkan dan diberikan rawatan mata.


Keadaan Putih selepas seminggu berada di rumah WP.
Jangkitan di kedua-dua matanya hampir sembuh.
Masih takut-takut dan sering menyembunyikan diri.


Beberapa hari kemudian, PATI Kitten yang tidak diketahui asal usulnya ini
sudah pandai menyesuaikan diri.



Si Putih diberi minum susu setiap hari.


Tiga minggu selepas dipelihara.
PATI Kitten sedang nyenyak tidur.
Jangkitan matanya sudah sembuh dan bulu putihnya sudah gebu gebas
 selepas dibersihkan.

Gambar paling atas menunjukkan keadaan Putih sekarang. Anak kucing  comel yang menjadi penghibur WP sekeluarga. Sudah faham dipanggil Putih dan bukan pendatang asing tanpa izin lagi di rumah WP.

Salam bertani.

Selasa, 25 Julai 2017

Pokok Peria Katak

Salam bertani


WP ada menanam beberapa pokok peria katak di sekitar kawasan belakang rumah untuk kegunaan sendiri. Ada pokok yang sudah berbuah dan ada pokok yang baru membesar. Ini untuk mempastikan bekalan buah peria katak sentiasa ada apabila diperlukan.

Sesekali puan isteri akan memasak sayuran buah peria katak, biasanya ditumis kering dengan telur. Walau pun rasanya agak pahit tetapi WP agak menggemari sayuran peria katak ini. Buah peria katak juga boleh dipotong nipis-nipis dan digoreng tepung seperti kita menggoreng ayam atau cendawan.
Ia juga sesuai dimasak lemak bersama dengan udang.

Buah peria katak juga boleh dijadikan jus minuman dengan mencampurkan dengan buah-buahan lain untuk mengurangkan rasa pahitnya. Meminum jus peria katak biasanya diamalkan oleh pengidap penyakit diabetis.


Sepohon pokok peria katak yang memanjat 
ranting pokok terung telunjuk yang sudah mati.
Di bawahnya adalah pokok ulam pegaga.
Pokok peria katak ini sedang lebat berbuah.



Kudup bunga peria katak


Bunga jantan peria katak 


Bunga betina peria katak


Putik buah peria katak


Buah peria katak


Buah yang bergantungan


Sebiji buah peri katak yang sudah boleh dituai


Buahnya menggerutu seperti kulit katak puru



Daun peria katak.
Bentuk dan baunya sama seperti peria besar dan peria hutan.
Juga ada nilai herba dan perubatan.



Memanjat menggunakan sulur paut


Sulur paut pokok peria katak


Serangga perosak (pianggang) yang terdapat
pada daun peria katak.



Sepohon lagi pokok peria katak memanjat pagar.
Belum berbuah.



Sepohon lagi memanjat pokok bendi gergasi.
Sudah berbunga.


Buah peria katak masak tumis kering dengan telur.


Bekal pagi ini.
Nasi putih berlauk ikan kembung masak gulai
dan sayur peria katak tumis kering dengan telur.

Walau pun rasa buah peria katak lebih pahit daripada peria biasa, tetapi ia dikatakan mengandungi khasiat herba yang berguna untuk mengawal pelbagai penyakit merbahaya kepada manusia. Buah peria katak kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral dan mengandungi bahan kimia yang bertindak sebagai insulin untuk membantu mengurangkan tahap kandungan gula dalam darah. Pemakanannya amat baik untuk menghindarkan penyakit kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung.

Selai itu, buah peria katak juga dapat meningkatkan tenaga dan stamina serta dapat membantu memperbaiki penglihatan mata. Sekarang sudah ada banyak produk kesihatan yang berasaskan buah peria katak sebagai pilihan.

Salam bertani.

Isnin, 24 Julai 2017

Pokok Kedondong Hybrid.

Salam bertani

Pokok kedondong hybrid (mini) semakin diminati untuk ditanam menggantikan pokok kedondong saka yang besar dan tinggi. Pokok kedondong mini bersaiz kecil dan boleh juga ditanam di dalam pasu atau di kawasan yang terhad. Ia sesuai dijadikan tanaman hiasan  di sekeliling rumah. Pokok kedondong hybrid lebih cepat berbuah, berbuah sepanjang musim dan penjagaannya lebih mudah. Walaupun buahnya agak kecil, tetapi ia lebih lebat, lebih manis, kurang besabut dan mempunyai biji yang kecil.

Pokok kedondong hybrid mudah dibiakkan menggunakan biji benih dan disemai di dalam polibeg. Anak benih yang berumur 4 - 5 bulan bolehlah diubah ke kebun atau pun ditanam di dalam pasu yang agak besar. Sebelum berumur setahun biasanya pokok kedondong hybrid sudah mula berbunga dan mengeluarkan buah. Pokok kedondong boleh juga dibiakkan menggunakan kaedah tut dan cantuman terutama bagi pokok kedondong saka supaya lebih cepat mengeluarkan hasil dan rendang.



Sepohon kedondong hybrid di hujung kebun yang berumur 5 tahun.
Sentiasa berbunga dan berbuah tanpa musim.
Buahnya boleh dicapai tangan.



Ada dahan yang sudah berputik
 dan ada yang baru mengeluarkan bunga.


Bunga kedondong hybrid sedang mekar



Bunga dan putik buah kedondong.



Buah kedondong muda


Buah muda semakin berisi



Buahnya hampir mencecah tanah


Buah kedondong hybrid dari pokok yang sama hampir matang.

Buah kedondong jarang dimakan sebagai pencuci mulut kecuali bagi wanita yang mengidam. Ia biasanya diolah  untuk dijadikan jeruk buah, kerabu kedondong, acar buah, ramuan rojak buah dan boleh juga dicampurkan dalam masakan kari. Buah yang masak ranum boleh dijadikan jus atau jem.

Daun muda kedondong juga boleh dijadikan ulaman (direbus dahulu) dan boleh dijadikan penawar beberapa jenis penyakit serta dijadikan ramuan perawatan ibu-ibu selepas bersalin.
Waulahualam.

Salam bertani.

Khamis, 20 Julai 2017

Pokok Belimbing Madu

Salam bertani



Inilah gambar sepohon belimbing madu yang terdapat di dusun WP dan sedang berbuah lebat sekarang. Pokok belimbing ini telah dipangkas di bahagian atasnya supaya sentiasa rendang dan tunas baru yang tumbuh perlu sentiasa dibuang. Setiap dahan yang ada sedang mengeluarkan buah yang banyak dan ada yang hampir mencecah tanah.

Untuk mendapatkan buah yang berkualiti, sebahagian daripada buah belimbing madu tersebut perlu dibuang terutama yang saiznya tidak sekata dan kecil. Lebih elok lagi kalau buah belimbing madu ini dapat dibungkus menggunakan plastik atau kertas supaya tidak kena serangan lalat buah. Buat masa ini WP belum sempat lagi untuk membalutnya.

Gambar-gambar di bawah menunjukkan buah belimbing madu dari pokok tersebut.



 
 







 


 


 


   
 Ada sepohon lagi yang sedang berbunga.
Pokok ini belum dipangkas.



Gambar-gambar bunga belimbing madu




 Gambar di bawah menunjukkan sepohon anak pokok belimbing madu yang disemai di dalam polibeg.Pokok ini dibiakkan dengan cara cantuman mata tunas dan sudah berbunga.
Tunggu masa untuk diubah ke dusun.


 Buah belimbing madu enak dimakan segar atau dijadikan jus, mengandungi vitamin A dan C yang tinggi yang boleh meningkatkan daya tahan penyakit terhadap tubuh kita. Ia juga mengandungi kalsium yang baik untuk kesihatan tulang dan gigi.

Buah belimbing madu juga dikatakan boleh mencegah strok akibat tekanan darah tinggi, dijadikan bahan diet untuk langsing dan menurunkan kadar kalesterol dalam darah.

Walau bagaimana pun ia tidak sesuai dimakan oleh pengidap diabetis kerana mengandungi kadar gula yang tinggi dan pesakit buah pinggang  kerana berasid.
Waulahualam.

Salam bertani.