Selasa, 30 Mei 2017

eFool Nak Naik Motor

Salam bertani


Ini motor boss.
Hari-hari boss datang naik motor.
Yamaha Lagenda 90 cc.
Teringin rasa nak naik motor boss.
Hari-hari jalan penat juga.


Tayar belakang ok, angin cukup.
Rantai motor ok.
Brake ok.



Bunyi ekzos kuat sikit.
Mungkin dah lama boss tak hantar servis.



Kalau aku lompat kat belakang motor ni ok tak?


Posing kat sebelah motor boss.
Tapi gambar ni kelam sikit.
Cheeeeese!



Motor boss bau lembu.
Macam boss jugak.


Mari kita cuba try naik motor ni dik.



Apalah boss kita ni, motor pun tak pernah basuh.
Nombor plate pun takde.
Mungkin dia sebuk kot.
Nak jaga kita lagi, jaga ayam, jaga itik, jaga puyuh, jaga dusun
toreh getah, potong sawit, tanam sayur, tanam pisang,  berniaga paskam.
Ish-ish. Untung kita jadi lembu.

Salam bertani.




Isnin, 29 Mei 2017

Tanaman Kentang Jembut

Salam bertani.

Salah satu makanan jenis berubi yang biasa WP makan semasa dulu-dulu ialah kentang jembut. Panggilan ini sangat sinonim dengan masyarakat jawa JDT walau pun di tempat lain dipanggil ubi kemili atau ubi hitam. Pokok kentang jembut hidup melata di atas tanah, mempunyai batang yang lembut dan tidak berkayu. Hasil tanaman ini ialah ubinya yang terdapat di dalam tanah.

   Pokok kentang jembut boleh ditanam melalui keratan pucuknya atau meggunakan ubinya yang perlu disemai dahulu untuk menghasilkan keratan tersebut. Ia sesuai ditanam di tanah gambut yang tidak menakung air. Tanaman kentang jembut  memerlukan penyiraman yang kerap. Hasilnya boleh dituai selepas 10 hingga 12 bulan penanaman.

 Ubi kentang jembut biasanya direbus seperti merebus ubi kayu atau ubi keledek. Ia direbus bersama-sama dengan kulitnya dan kulitnya dikupas atau dibuang apabila hendak dimakan. Ubi kentang jembut rebus enak dimakan bersama-sama dengan kelapa parut dijadikan sarapan atau juadah minum petang. Ia juga boleh dijadikan ramuan tambahan gulai daging atau ikan air tawar. Pucuk muda kentang jembut juga boleh dijadikan sayuran.



Inilah rupa ubi kentang jembut yang baru dituai.
Mempunyai pelbagai saiz dan bentuk serta berakar.
Perlu dibersihkan sebelum direbus tetapi tidak perlu mengupas kulitnya.


Pokok kentang jembut yang baru disemai melalui keratan pucuknya.


Pokok cepat merebak dengan mengeluarkan banyak tunas baru.


Tanaman kentang jembut di tepi pagar rumah WP semakin membesar.


Pucuk mudanya juga boleh dijadikan sayuran selain
dijadikan bahan penanaman.


Memerlukan masa hampir setahun penanaman sebelum boleh dituai.

WP masih menanam pokok kentang jembut untuk mengimbau zaman susah semasa kanak-kanak dahulu. Juga supaya generasi sekarang mengenali pokok kentang jembut dan merasai kelazatan ubinya. Sekarang hanya menanam untuk suka-suka sahaja walau pun dahulu selalu memasarkan hasil tanaman kentang jembut ke pekan Air Hitam.

Salam bertani.

 

Ahad, 28 Mei 2017

Pokok Jambu Bol Dah Berbunga.

Ada dua pokok jambu bol di belakang rumah WP yang sedang berbunga. Pokok-pokok jambu bol klon ini ditanam kira-kira lima tahun lalu dan telah berbunga beberapa kali. Kali ini berbunga agak lebat pada keseluruhan dahannya. WP sangat suka merakam bunga jambu bol sebab warna merahnya sangat menarik. Harap-harap lepas raya nanti dapatlah menuai hasilnya.


Setangkai bunga jambu bol yang sedang mekar.


putik bunga jambu bol


Putik bunga jambu bol mula berkembang


Warna merah yang cantik


Memukau mata memandang.


Benang sari mula gugur.


Benang sari bunga jambu bol berguguran di atas tanah.


Putik buah jambu bol


Berbunga lebat di setiap rantingnya.

Salam bertani.

Sarang Burung Tempua

Salam bertani

Sekarang adalah waktu burung tempua membuat sarang dan bertelur. Ada banyak sarang burung tempua bergantungan di hujung dahan-dahan pokok di kawasan padang ragut ternakan lembu WP.
Terdapat dua jenis sarang burung tempua yang berlainan bentuk dan fungsnya iaitu sarang burung tempua jantan dan sarang burung tempua betina.

   Burung tempua adalah spesis burung yang kecil dan hidup berkumpulan dan membina sarangnya serentak. Ia membina sarangnya daripada daun rumput atau lalang yang dijalin dan dianyam menjadi bentuk khas seperti kon yang unik dan menarik. Sarangnya dibuat bergantungan di dahan pokok, pelepah pisang, pelepah kelapa atau kelapa sawit. Seekor burung tempua memerlukan masa dua minggu untuk menyiapkan pembinaan sarangnya.


Sarang burung tempua betina yng mempunyai pintu di bawahnya dan
ada tempat khas untuk menyimpan telurnya. 
Burung tempua betina akan mengeramkan telurnya di dalam sarang ini.


Sarang burung tempua jantan.
Tidak menyimpan telur.


Sarang burung tempua jantan mempunyai dua pintu dan
ada bahagian tempat burung jantan bertenggek untuk memikat burung betina.



Sarang yang masih dalam pembinaan.
Perlu masa 2 ninggu untuk menyiapkannya.


Sarang burung tempua jantan dan betina dibina bersebelahan.



Sarang burung tempua betina yang sudah siap dan
sarang burung tempua jantan yang dalam pembinaan.

 Peribahasa Melayu lama ada menyebut ' Jikalau tidak berada-ada, masakan tempua
 bersarang rendah' yang bermaksud sesuatu perkara yang berlaku atau dilakukan itu pasti
 ada tujuan dan maksud disebaliknya.

Salam bertani.


Jumaat, 26 Mei 2017

Khamis, 18 Mei 2017

Bawa Bekal 4

Salam bertani

Sudah lama tak cerita pasal bekal. Seperti biasa, pada hari ini WP bawa bekalan makanan dan air untuk pergi bekerja. Baru kerja sedikit, dah turun hujan dengan lebatnya. Jadi banyak berehatnya dari bekerja. Sebelum makan bekal yang disediakan oleh pn is3, teringat nak ambil gambar untuk buat entri.


Setiap hari bekerja WP bawa bekal nasi. Bekal hari ini nasi dengan lauk ayam kampung masak lemak cili api, tetel lembu masak dalca dan kacang buncis goreng. WP memang minat sangat dengan tetel, tu yang kadar kolesterol jadi tinggi. Biasanya pn is3 rebus dulu tetel tu sebelum tidur dan pagi esuknya buang lemak-lemak yang timbul sebelum dimasak.

Salam bertani.