Selasa, 29 November 2016

Projek Dusun

Salam bertani.

Selain daripada menjaga pokok buah-buahan yang telah dewasa, WP ada mengusahakan tanaman buah-buahan yang baru. Pokok-pokok buah-buahan ini baru ditanam sedikit demi sedikit menggantikan tanaman pokok getah yang tiada potensi masa depan kerana harganya yang terlalu rendah.

Penanaman pokok buah-buahan pada peringkat awal amatlah rumit dan memerlukan penjagaan yang rapi. Anak pokok lambat membesar berbanding pokok dewasa dan agak sensitif dengan perubahan cuaca yang melampau. Pada musim panas dan kemarau, anak-anak pokok perlu disiram setiap hari dan diberikan peneduhan. Serangan perosak seperti babi hutan, monyet dan serangga  juga perlu dikawal untuk mengelakkan kerosakan dan kematian anak pokok.

Kebanyakan anak pokok buah-buahan yang baru ditanam dibiakkan melalui kaedah klon seperti cantuman mata tunas, cantuman baji, tut dan sebahagiannya disemai melalui biji benih. Kebanyakan anak benih buah-buahan ini WP beli daripada pembekal dan ada sebahagian kecil yang disemai sendiri. WP menggunakan kedua-dua jenis baja iaitu baja kimia dan juga baja organik untuk mengekalkan kesuburan pokok.

1. Anak pokok durian musang king (raja kunyit)







2. Anak pokok durian duri hitam (ochee)






3. Anak durian monthong (siam)






4. Anak pokok durian belanda (biji benih)








5. Anak pokok manggis mesta (master)





6. Anak pokok cempedak durian.






7. Anak pokok cempedak


8. Anak pokok nangka madu.








9. Anak pokok kuini


10. Anak pokok cermai


11. Buluh manis.


12. Anak pokok limau kasturi.


13. Anak pokok duku terengganu


14. Anak pokok jambu mawar


15. Pokok jambu lohan



16. Anak pokok pulasan.


Inilah sebahagian daripada tanaman buah-buahan yang baru ditanam di dusun WP. Mudah-mudahan usaha-usaha yang WP lakukan ini akan membuahkan hasil dan lebih ramai lagi yang akan dapat meniknatinya kelak.
In syaa Allah.

Salam bertani.

Ahad, 27 November 2016

Durian Dah Gugur

Salam bertani.

Ada beberapa pokok durian yang sedang berbuah berperingkat-peringkat di dusun WP. Ada buah yang hampir matang dan menunggu masa untuk gugur dan ada pokok-pokok durian yang baru mengeluarkan putik buah. Malah ada sebahagian pokok yang baru mengeluarkan bunga. Ini bermakna  pada tahun ini dan tahun hadapan buah durian akan dihasilkan sepanjang musim.

Walau pun hasil durian pada kali tidak banyak, tetapi dapatlah WP sekeluarga dan sanak saudara merasai kelazatan buah durian di luar musim.


Kutipan pertama pada petang semalam.
Tiga biji yang gugur.


Isi durian jantung


Sepangsa dua ulas


Dua ulas lagi


Isi yang tebal, pahit dan lemak berkrim dah habis dimakan.
Tinggal bijinya yang kecil dan kesep.


Beberapa pokok rambutan juga sedang berbuah.


Dijangka boleh dituai dalam masa sebulan lagi.

Salam bertani.

Rabu, 23 November 2016

Telur Itik

Salam bertani.

WP ada menternak beberapa ekor itik telur yang sudah bertelur secara kurung lepas di belakang rumah. Jadi stok telur itik segar memang sentiasa ada di dapur sampai dah tak habis makan. Kadang-kadang buat masak lemak cili api, masak sambal, buat telur dadar, telur mata kerbau dan buat sarapan telur rebus setengah masak. Lama-lama jemulah pulak. Sebahagiannya WP rendam dalam air garam buat telur itik masin.


Dua jenis telur itik.
Warna putih jernih dan putih kehijauan.


Hasil tuaian tak sampai seminggu.


Dijadikan telur masin. 25 biji satu balang.

Telur-telur direndam dalam larutan air garam kasar selama dua minggu.
Tambahkan dua sudu cuka makan untuk mengelakkan air garam berbau
dan untuk mengekalkan kejernihan air garam.


Tuaian sehari diantara 8 hingga 10 biji.
Itik-itik akan bertelur pada waktu pagi di tempat yang sama di sudut reban.


Inilah itik-itik telur yang diternak.
16 ekor betina dan 2 ekor jantan.


Makanan dedak itik telur. Itik diberi makan dedak dua kali sehari pada 
waktu pagi dan petang.


Sebahagian stok telur itik segar dan telur masin, WP sedekahkan kepada kawan-kawan yang bertandang ke rumah dan adik-beradik yang pulang ke kampung. Kadang-kadang WP jual juga telur itik ini di pasar tani. Walau pun WP memelihara itik telur ini hanya untuk suka-suka, tetapi hasilnya tak habis makan.

Salam bertani.