Selasa, 31 Mei 2016

Kucing.

Salam bertani.

WP ada memelihara beberapa ekor kucing yang lepas bebas keluar masuk rumah. Gelagat kucing-kucing ini menjadi penghibur semasa di rumah.

1. Anak bulus Si Olie telah berumur empat bulan sekarang. Sihat dan sentiasa aktif menceriakan suasana di rumah.












2. Si Momoy. Bf Si Olie.









3. Si Nenet. Adik beradik Momoy.
 Dipanggil Nenet dari perkataan kenit sebab lambat membesar.








Pelbagai ragam mereka menjadi penghibur WP sekeluarga.

Salam bertani.

Isnin, 30 Mei 2016

Pokok Senduduk Bulu.

Salam bertani.

Salah satu jenis rumpai yang banyak terdapat di kebun WP ialah pokok senduduk bulu. Ia merupakan pokok renek berkayu sederhana lembut dan mempunyai ranting yang banyak dan rimbun. Pokok senduduk bulu agak berbeza dengan pokok senduduk biasa dari segi struktur daun, bunga dan buahnya malah ia mendapat nama senduduk bulu kerana keseluruhan pokoknya berbulu.

   Pokok senduduk bulu mudah membiak melalui biji benih yang dihasilkan melalui buah matangnya. Buah pokok senduduk bulu berwarna hijau semasa muda dan bertukar kepada biru kehitaman apabila matang. Anak benihnya mudah hidup di semua kawasan kebun buah-buahan, kebun getah atau kelapa sawit. Biji benihnya boleh tahan bertahun-tahun di dalam tanah.

Pokok senduduk bulu boleh dikelaskan sebagai rumpai perosak tanaman kerana ia kuat menggunakan nutrien, cepat memenuhi ruang dan menjadi habitat perosak tanaman. Sekiranya tidak dikawal ia akan menjejaskan hasil tanaman. Cara pengawalan pokok senduduk bulu yang paling berkesan ialah dengan cara mencabutnya semasa kecil. Sekiranya ditebas, tunggul pokok senduduk bulu akan menghasilhan lebih banyak dahan baru. Pokok senduduk bulu kebal dengan semburan racun sistemik tetapi boleh dihapuskan dengan menggunakan racun sentuh.


Sepohon anak benih pokok senduduk bulu yang baru tumbuh.


Pokok senduduk bulu cepat membesar.


Mengeluarkan ranting/dahan yang banyak.


Cepat berbunga.


Pokok senduduk bulu dewasa telah berbuga dan berbuah


Bunganya berjambak berwarna putih


Buah muda senduduk bulu. Keseluruhannya berbulu halus.


Daunnya berwarna hijau, banyak urat, kesat dan berbulu.


Buah senduduk bulu yang telah matang berwarna biru kehitaman.
Buahnya boleh dimakan, berasa agak manis.



Buah senduduk bulu matang. 
Sebiji buah matang mengandungi berpuluh-puluh biji benih.

Walau pun pokok senduduk bulu dianggap sebagai rumpai perosak tanaman, ia juga dapat memberikan beberapa manfaat herba kepada kita. Daunnya dikatakan boleh digunakan sebagai sabun untuk mencuci, memberhentikan pengaliran darah akibat luka kecil dan ada juga nilai perubatan lain.

Salam bertani.

Ahad, 29 Mei 2016

Pokok Sukun

Salam bertani.

Pokok sukun merupakan salah satu pokok buaah-buahan tidak bermusim yang banyak ditanam di negara kita. Pokok sukun merupakan pokok saka yang boleh menjadi besar dan tinggi sekiranya tidak dipangkas dan akan menyukarkan kita untuk mengutip hasilnya. Ia mengeluarkan bunga jantan dan betina pada satu pokok dan bunga betinanya yang akan menjadi buah sukun. Keseluruhan bahagian pokok sukun mengandungi cecair getah berwarna putih.

    Buah sukun tidak menghasilkan biji benih, oleh itu ia tidak dibiakkan melalui biji benih. Pembiakan pokok sukun biasanya melalui keratan akar yang akan menghasilkan anak benih dan seterusnya disemai ke dalam polibeg. Pokok sukun boleh juga dibiakkan melalui cantuman mata tunas menggunakan anak pokok terap sebagai pokok penanti. Biji benih buah terap disemai dalam polibeg, dan dilakukan cantuman mata tunas sukun pada anak pokok terap tersebut.

Hasil pokok sukun yang utama ialah buah sukun. Buah sukun yang matang biasanya digoreng seperti pisang goreng. Ia juga boleh direbus atau pun dimasak sebagai sayuran. Buah sukun boleh dijadikan kerepek sukun tetapi kerepek sukun tidak boleh disimpan lama seperti kerepek buah-buahan lain kerana ia cepat keras. Buah sukun yang terlalu matang akan menjadi lembik, biasanya boleh dibuat jemput-jemput (cekodok sukun).


Anak benih sukun yang tumbuh melalui keratan akar.


Anak benih sukun tumbuh dari akarnya.


Anak benih sukun yang dibiakkan melalui keratan akar
disemai di dalam polybeg.


Sepohon lagi yang disemai dalam polybeg melalui
kaedah pembiakan yang sama.


Sepohon sukun dewasa yang telah mengeluarkan hasil.


Bunga sukun jantan.


Bunga sukun betina



Bunga jantan dan betina pada satu  pucuk.


Putik buah sukun.


Buah sukun muda


Buah sukun hampir matang.


Sebiji buah sukun seberat 1 - 3 kg



Buah sukun matang mengeluarkan getah pada kulitnya.


Buah sukun matang yang telah dituai.



Belahan buah sukun matang.


Buah sukun goreng.


Sepohon sukun yang sedang lebat berbunga.
Pokok ini pernah dipangkas


Pangkal pokok sukun berbanir.


Sepohon sukun di depan surau IPGKTI JB.
Pokoknya besar, tinggi dan berbuah lebat.


Sehelai daun sukun.


Ini ialah anak pokok terap. Asalnya adalah anak benih
pokok sukun daripada cantuman mata tunas. Oleh kerana mata tunasnya
patah jadi yang tumbuh ialah pokok penantinya iaitu pokok terap.

Selain enak dijadikan makanan, buah sukun sebenarnya mengandungi pelbagai vitamin dan khasiat. Ia dikatakan mengandungi karbohiderat yang tinggi dan boleh menggantikan nasi. Ia mengandungi serat yang tinggi sesuai untuk mengawal gula dalam darah dan boleh dijadikan makanan diet. Buah sukun juga memberi manfaat kepada kesihatan rambut. Sekarang daun sukun telah diproses  menjadi minuman teh herba yang bermanfaat untuk kesihatan jantung dan pelbagai penyakit lain.

Salam bertani.

Khamis, 26 Mei 2016

Pokok Ulam Raja

Salam bertani.

Salah satu jenis tumbuhan herba yang banyak tumbuh sendiri di kebun WP ialah pokok ulam raja. Pokok ulam raja mudah membiak daripada buah matangnya yang disebarkan oleh angin. Ia mudah tumbuh terutama di kawasan yang lembap sama ada lapang atau naung. Pokok ulam raja yang selalu dituai akan mengeluarkan pucuk dan dahan baru yang lebih banyak. Ia boleh ditanam di batas, dalam pasu atau polybeg dan mudah dijaga.

   Pokok ulam raja adalah pokok  renek  berbatang lembut yang boleh dibiakkan melalui biji benih atau pun keratan batang hijau. Pucuk mudanya dijadikan ulaman segar yang enak dimakan bersama sambal belacan, budu, cencaluk atau tempoyak dan nasi panas. Ada juga yang memasaknya seperti sayuran lain.



Sepokok anak ulam raja yang tumbuh sendiri.


Anak benih pokok ulam raja yang disemai di batas.


Pokok ulam raja di batas semakin membesar.



Pokok ulam raja yang tumbuh sendiri.


Sudah boleh dituai.


Tanaman pokok ulam raja di batas.



Hidup bersama pokok cili padi.


Hidup bersama pokok pegaga.



Pokok ulam raja yang subur.


Hidup bersama pokok sayur meranti dan pegaga.


Bunga pokok ulam raja yang menarik.


Biji benih pokok ulam raja. Biji benihnya akan tanggal dan tumbuh
sebagai anak benih di tempat baru.



Pokok ulam raja yang ditanam di batas sudah boleh dituai.

 Selain enak dijadikan ulaman, ulam raja memberikan pelbagai manfaat kepada penggemarnya. Ia dikatakan dapat menambahkan oksigen dalam darah bagi melancarkan peredaran darah dan mampu mencuci darah dari bahan toksid dan menguatkan tulang. Ada juga yang mengatakan pengamalan ulaman ini secara berterusan boleh menjadikan awet muda. Waulahualam.

Salam bertani.