Khamis, 28 Januari 2016

Pokok Sirih

Salam bertani.

Terdapat beberapa rumpun pokok sirih di belakang rumah "Warisan Petani" yang telah hidup berpuluh tahun lamanya. Pokok sirih hidup secara menjalar dan memerlukan junjungan yang kukuh supaya tahan lama. Pokok sirih juga hidup dengan memanjat pokok lain menggunakan akar yang boleh melekat pada batang pokok. Akar pokok sirih keluar dari setiap ruas batangnya. Pokok sirih boleh ditanam menggunakan keratan batang matang yang berakar.

    Pada zaman dahulu daun sirih merupakan hasil tanaman yang pelbagai guna. Orang tua-tua mengamalkan mengunyah daun sirih sebagai 'songel.' Daun sirih juga digunakan sebagai pembuka kata untuk menyatakan sesuatu hajat. Ia juga dibuat 'sirih junjung'. Dari segi perubatan tradisional, daun sirih digunakan oleh dukun atau pawang sebagai bahan jampi untuk mengubati pelbagai penyakit.

    Hari ini daun sirih sudah jarang digunakan walaupun ianya mengandungi pelbagai khasiat perubatan dan kesihatan. Ia dikatakan sangat mujarab untuk mengurangkan pelbagai masalah kesihatan wanita dan pelbagai penyakit lain.


Serumpun pokok sirih.


Pokok sirih ini melilit pada pokok inai.


Daun sirih mempunyai pelbagai khasiat perubatan.


Pokok sirih memerlukan junjungan.


Serumpun lagi.


Dahan sirih mempunyai ruas.


Sehelai daun sirih bertemu urat.


Hidup subur di tanah yang lembap.

Sekarang sudah ada produk kesihatan yang berasaskan daun sirih. Walau bagaimana pun, sebagai orang kampung adalah mudah menggunakan daun sirih segar untuk tujuan perubatan sekiranya kita ada menanam sendiri di kawasan rumah.

Salam bertani.

Isnin, 25 Januari 2016

Nasi Lemak Cik Chom.

Salam bertani.

Sempena cuti perayaan Thaipusam, kami sekeluarga "Warisan Petani" telah menjamu selera di Warung Nasi Lemak Cik Chom di Seri Gading, Batu Pahat. Juadah nasi lemak di sini memang sudah terkenal kerana sudah tersiar di tv dan menjadi viral di laman sosial.


Banner Warung Nasi Lemak Cik Chom.


Nasi lemak ikan siakap.


Nasi lemak burung puyuh.


Nasi lemak ayam.



Nasi lemak sotong king.


Sebahagian daripada menu nasi lemak yang ditempah.


Minuman gelas besar.


Terdapat pelbagai jenis minuman.

Memang menyelerakan makan pelbagai juadah nasi lemak di sini. Patutlah begitu ramai pelanggan dari pelbagai bangsa sentiasa memenuhi warung ini. Warung ini dibuka dari waktu petang hingga tengah malam. Cubalah menjamu selera di Warung Nasi Lemak Cik Chom.

Salam bertani.

Rabu, 20 Januari 2016

Suatu Persinggahan : Kisah Si Teten.

Hari ini kami sekeluarga "Warisan Petani" berada dalam mood kesedihan kerana Si Teten kesayangan kami dijumpai mati mengejut tengah hari tadi. Setiap pagi selepas memberi sarapan, kami tinggalkan Si Teten di rumah bersama-sama kawan-kawannya yang lain. Apabila pulang dari kerja pada tengah hari tadi, Si Teten tiada. Puas dicari akhirnya hanya tubuhnya yang tidak bernyawa kami temui. Tiada kesan kecederaan pada badannya, hanya mulutnya sahaja yang berdarah. Kematiannya suatu misteri.

     Si Teten ialah seekor anak  kucing hanyut yang singgah di rumah "Warisan Petani" tanpa diundang kira-kira enam bulan yang lalu. Keadaannya pada masa itu amat menyedihkan, kurus tidak terurus dan kedua-dua matanya mengalami jangkitan yang serius. Dengan penuh belas kasihan kami memeliharanya, membawanya ke klinik haiwan untuk rawatan sehinggalah ia pulih menjadi seekor anak kucing yang comel dan menjadi haiwan kesayangan kami sekeluarga.

  Si Teten bukanlah dari baka kucing kampung biasa. Ia berbeza dengan kucung-kucing kampung lain yang kami pelihara. Ia bijak dan sangat manja seolah-olah memahami kehendak penjaganya. Penyayang terhadap kucing-kucing lain, tidak pandai bergaduh jauh sekali mencuri makanan.

   Kami sekeluarga hanya sempat menyayangi Si Teten selama lebih kurang enam bulan sahaja. Ia datang dengan tidak diundang dan pergi tanpa diduga. Kehadirannya penuh bermakna tetapi hanyalah seketika.


Keadaan Si Teten seminggu selepas kehadirannya.
 12 Ogos 2015

Si Teten pada awal kehadirannya.



Si Teten di klinik haiwan.


Dalam tempuh rawatan.


Kami membeli sebuah buku untuk memahami tentang Si Teten.


Keadaan Si Teten selepas beberapa bulan.


Penunggu yang setia


Menjadi teman belajar anak bongsu.


Teman sepermainan cucu kesayangan
yang mula-mula memanggilnya Teten.


Tak jemu mata memandang.


Teten di luar rumah pada waktu senja.
Gambar pada 16 Januari 2016

Posing terakhir Teten sehari sebelum kematiannya.
19 Januari 2016.


Jasad Teten dijumpai tengah hari tadi.
20 Januari 2016
Ada kesan darah di mulutnya.


Di sini jasadnya disemadikan.

 Terima kasih Teten kerana pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan kami walaupun sebentar.
Kehadiran Teten hanyalah persinggahan.

Salam bertani.

Ahad, 17 Januari 2016

Tanaman Pisang 2 : Pokok Pisang Kapas

Salam bertani.

Salah satu jenis pisang yang banyak terdapat di kebun "Warisan Petani" ialah pisang kapas. Pisang kapas paling mudah ditanam dan boleh hidup subur walaupun di kawasan yang terlindung/naung. Serumpun pisang kapas boleh kekal hidup hingga berpuluh-puluh tahun sekiranya dijaga dengan baik.

   Buah pisang kapas boleh dimakan sebagai pencuci mulut apabila masak. Buah muda (isi dan kulitnya) boleh dijadikan sayuran masak lemak dicampur dengan ikan kering. Pisang kapas yang masak ranum biasanya akan dijadikan cekodok (jemput-jemput pisang), lempeng pisang, apam pisang atau kek pisang. Buah pisang kapas tidak sesuai digoreng.

   Pokok pisang kapas mempunyai daun yang lebar dan tebal. Daun pisang kapas sesuai digunakan untuk membalut makanan seperti tempe dan nasi lemak dan boleh juga digunakan untuk membalut ikan bakar. Jantung pisang kapas boleh dibuat sayuran.


Pokok pisang kapas yang baru berbuah.


Serumpun pisang kapas di sempadan kebun.


Serumpun yang lain.


Buah pisang kapas muda beserta jantung.
Jantung pisang kapas boleh dijadikan sayuran.


Serumpun pisang kapas di dusun buah-buahan.


Pisang kapas muda yang sesuai dibuat sayuran.
Pisang yang kurang subur hanya ada lima sisir sahaja.


Buah pisang kapas yang hampir matang. 
Pokok yang subur boleh menghasilkan hingga 12 sisir pisang.


Buah pisang kapas yang matang perlu dituai sebelum masak.
Sekiranya masak di pokok kulit buah pisang akan pecah.


Sesisir buah pisang kapas yang masak.
Harga jualan di pasar tani ialah RM2.50 sekg.


Lempeng pisang kapas.
Sedap dimakan panas- panas.


Cekodok pisang kapas.
Dijadikan sarapan atau minum petang.


Kek pisang kapas.

Tidak rugi menanam pisang kapas. Tidak perlu penjagaan rapi dan boleh memberikan hasil sepanjang masa.

Salam bertani.

Jumaat, 15 Januari 2016

Pokok Belinjau.

Salam bertani.

Pokok belinjau atau melinjau merupakan salah satu tanaman yang terdapat di kebun "Warisan Petani". Pokok belinjau ditanam untuk mendapatkan pucuk daun mudanya yang boleh dijadikan sayuran. Ia merupakan sayuran kampung yang bebas dari bahan kimia kerana hidup secara semulajadi. Pucuknya enak dimasak lemak atau masak air dicampur dengan tempe.

   Buah belinjau juga boleh dimakan. Buah yang muda boleh dijadikan sayuran dimasak bersama pucuknya atau dimasak kari bersama daging. Buah yang muda berwarna hijau dan akan bertukar menjadi merah apabila matang. Buah yang matang boleh dijadikan kerepek atau emping. Ia juga enak dimakan dengan merebusnya sahaja seperti merebus buah kacang tanah. Buah belinjau mempunyai satu lapisan kulit yang keras, jadi perlu direbus agak lama dengan api yang kecil sahaja. Isinya agak keras serta kenyal dan tidak boleh empuk. Rasanya sangat enak, lemak dan sedikit pahit.

   Penanaman pokok belinjau adalah dengan menggunakan anak benih yang boleh disemai melalui buah yang matang. Peratus percambahannya sangat rendah dan pertumbuhan anak benih sangat lambat. Anak benih juga boleh tumbuh dari akarnya yang menjalar di permukaan tanah.

 Terdapat pokok belinjau jantan dan pokok belinjau betina. Kedua-duanya akan mengeluarkan putik apabila matang tetapi hanya putik pokok belinjau betina sahaja yang menjadi buah manakala putik pokok belinjau jantan akan gugur semuanya.


Anak benih pokok belinjau


Pertumbuhan melalui buah matang.


Pokok belinjau yang sering dituai pucuknya


Pokoknya rimbun.


Deretan pokok belinjau yang ditanam di kebun "Warisan Petani".



Pokok belinjau betina


Pohon yang rendang memudahkan untuk menuai hasil.


Dua pokok belinjau.
Yang hadapan telah dipangkas.


Pemangkasan pokok belinjau.


Cepat menghasilkan pucuk baru selepas dipangkas.


Pucuk yang sesuai di tuai.



Dua peringkat pucuk muda.


Putik buah belinjau.


Pokok belinjau tidak berbunga tetapi mengeluarkan putik kecil.



Putik pokok betina akan menjadi buah manakala
putik pokok jantan akan gugur semuanya.


Buah belinjau muda.


Buah muda boleh dijadikan sayuran.


Buah yang hampir matang. Sudah boleh dituai kerana 
kulit cengkerangnya lebih lembut.


Buahnya tidak bermusim dan terdapat pelbagai peringkat.


Buah belinjau yang cukup matang sebesar jari kelingking.
 Akan gugur jika tidak dituai.
Sebiji buah yang disemai akan menghasilkan satu anak benih.


Kulit luar yang berwarna merah agak lembut.


Keratan sebiji buah belinjau.


Isi buah belinjau yang dikeluarkan dari cengkerangnya (kulit keras).
Isinya diselapiti satu lagi lapisan kulit nipis.


Isi buah belinjau berwarna putih boleh diproses menjadi emping atau kerepek.


Seikat pucuk belinjau yang dijual di pasar tani.
RM1.00 seikat.


Emping belinjau mentah.


Emping belinjau goreng.


Pokok belinjau adalah pokok berkayu yang mempunyai batang utama dan banyak dahan-dahan kecil.  Sekiranya tidak dipangkas ia boleh menjadi pokok yang besar dan tinggi. Pokok belinjau tidak sesuai dipanjat kerana mempunyai dahan-dahan yang rapuh dan mudah sekah.

Salam bertani.