Khamis, 28 Januari 2016

Pokok Sirih

Salam bertani.

Terdapat beberapa rumpun pokok sirih di belakang rumah "Warisan Petani" yang telah hidup berpuluh tahun lamanya. Pokok sirih hidup secara menjalar dan memerlukan junjungan yang kukuh supaya tahan lama. Pokok sirih juga hidup dengan memanjat pokok lain menggunakan akar yang boleh melekat pada batang pokok. Akar pokok sirih keluar dari setiap ruas batangnya. Pokok sirih boleh ditanam menggunakan keratan batang matang yang berakar.

    Pada zaman dahulu daun sirih merupakan hasil tanaman yang pelbagai guna. Orang tua-tua mengamalkan mengunyah daun sirih sebagai 'songel.' Daun sirih juga digunakan sebagai pembuka kata untuk menyatakan sesuatu hajat. Ia juga dibuat 'sirih junjung'. Dari segi perubatan tradisional, daun sirih digunakan oleh dukun atau pawang sebagai bahan jampi untuk mengubati pelbagai penyakit.

    Hari ini daun sirih sudah jarang digunakan walaupun ianya mengandungi pelbagai khasiat perubatan dan kesihatan. Ia dikatakan sangat mujarab untuk mengurangkan pelbagai masalah kesihatan wanita dan pelbagai penyakit lain.


Serumpun pokok sirih.


Pokok sirih ini melilit pada pokok inai.


Daun sirih mempunyai pelbagai khasiat perubatan.


Pokok sirih memerlukan junjungan.


Serumpun lagi.


Dahan sirih mempunyai ruas.


Sehelai daun sirih bertemu urat.


Hidup subur di tanah yang lembap.

Sekarang sudah ada produk kesihatan yang berasaskan daun sirih. Walau bagaimana pun, sebagai orang kampung adalah mudah menggunakan daun sirih segar untuk tujuan perubatan sekiranya kita ada menanam sendiri di kawasan rumah.

Salam bertani.

2 ulasan: