Memaparkan catatan dengan label Tumbuhan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tumbuhan. Papar semua catatan

Selasa, 18 Ogos 2020

Pokok Langsuir



Salam bertani


Pokok paku langsuir asalnya adalah pokok liar yang terdapat di hutan negara kita. Ia hidup menumpang di dahan pokok hutan, pokok getah atau kelapa sawit.  Sekarang pokok liar ini telah mula menjadi tanaman hiasan di halaman rumah yang cantik dan menghijau. Pokok langsuir membiak melalui sporanya yang terdapat di bahagian bawah daun. Anak pokok langsuir yang tumbuh secara semula jadi bolehlah disemai di dalam polibeg dan diletakkan di tempat teduh.


Sepohon paku langsuir


Hidup subur di bawah pokok rambutan di halaman rumah


Perlukan tempat yang naung daripada pancaran cahaya matahari


Sesuai juga dijadikan tanaman indoor


Bahagian tengah perdu pokok langsuir berfungsi
memerangkap daun mati dan air sebagai sumber makanan.
Juga dipanggil 'bird nest fern' kerana sesuai dijadikan tempat 
burung memuat sarang.


Habaitat asal pokok paku langsuir hidup meliar di atas pokok.


Salam bertani.




Isnin, 6 Julai 2020

Pokok Buluh Lemang

Salam bertani

Ada serumpun pokok buluh lemang di kebun WP yang wak tanam kira-kira dua tahun yang lalu. Batang buluhnya masih agak kecil dan kurang sesuai untuk dijadikan buluh lemang. Mungkin memerlukan masa setahun lagi untuk mendapatkan saiz buluh lemang yang sesuai.

Anak benih pokok buluh lemang boleh disemai melalui tunggul pokok buluh lemang yang perlu digali bersama akarnya. Anak benih pokok buluh lemang juga boleh disemai melalui dahan berakar yang tumbuh di ruas batang buluh. Perlu disemai di dalam polibeg terlebih dahulu dan diletakkan ditempat teduh serta perlu penyiraman sehinggalah kelihatan tunas baharu muncul.


Rumpunan pokok buluh lemang yang sedang membesar


Batang buluh lemang yang dipotong.
Saiznya masih agak kecil.


Dua batang rebung buluh lemang yang mempunyai
saiz yang lebih besar.
Rebung buluh lemang tidak sesuai dijadikan sayuran.


Batang buluh lemang tumbuh rapat/padat
dalam satu rumpun.


Anak benih pokok buluh lemang yang disemai
di dalam polibeg.

Salam bertani.

Isnin, 11 Mei 2020

Pokok Kekabu

Salam bertani

Sewaktu dalam perjalanan ke pekan Air Hitam tadi wak ternampak sepohon kekabu di tepi jalan yang sedang berbuah lebat. Buahnya yang telah matang mengeluarkan kekabu yang berwarna putih dan jelas kelihatan dari jauh. Wak pun berhenti di tepi jalan dan mengabadikan beberapa keping gambar pokok kekabu tersebut.

Pokok kekabu ni telah mengembalikan nostalgia wak semasa kecil-kecil dulu, mengumpul kekabu untuk dijadikan tilam, bantal dan selimut tebal.  Tilam dan bantal kekabu ni selalunya dijemur di tingkap setiap pagi selepas digunakan. Apabila hendak tidur, tilam dan bantal kekabu perlu di tepuk-tepuk dahulu untuk meratakannya.

Mungki masih ada orang yang menggunakan bantal, tilam dan selimut yang diperbuat daripada kekabu ni.



Buah kekabu yang telah matang akan pecah
dan memperlihatkan kekabu yang berwarna putih seperti kapas.


Kekabu putih bergantungan di atas pokok kekabu.
Di dalamnya terdapat biji kekabu yang berwarna hitam.


Pokok kekabu yang besar dan tinggi hidup
meliar di tepi jalan.


Buah kekabu muda (gambar google)
Orang dulu-dulu buat masak gulai buah kekabu muda ini.


Salam bertani.

Khamis, 2 Januari 2020

Benih Pokok Ketum Ayam.

Salam bertani

Semasa berkunjung ke Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2019 yang lepas, wak ada singgah di Laman Penternakan untuk melihat ternakan yang dipamerkan. Wak tersinggah ke satu boot yang memperkenalkan pokok ketum ayam. Daun pokok ketum ayam dikatakan sangat sesuai dijadikan makanan alternatif ternakan kerana mengandungi protein yang tinggi (melebihi 20%) dan kurang kandungan lemak.

Wak diberi penerangan tentang manfaat daun ketum ayam terhadap ternakan oleh pengusaha tanaman tersebut yang dipanggil Pak Tam. Anak benih pokok ketum ayam dijual RM20.00 satu polibeg manakala keratan batang berakar dijual RM70.00 seikat (mengandungi 11 batang). Memang agak mahal harganya.  Wak hanya mampu membeli satu ikat keratan batang pokok ketum ayam tersebut.


Anak benih pokok ketum ayam semaian keratan batang
berumur sebulan.


Inilah banner pokok ketum ayam Pak Tam
di HPPNK 2019.

Anak benih pokok ketum ayam dalam polibag
ini dijual dengan harga RM20.00 setiap satu.


Keratan batang pokok ketum ayam.


Wak beli seikat keratan batang berakar pokok ketum ayam
(mengandungi 11 keratan dengan harga RM70.00)


Keratan batang yang wak semai di dalam polibeg
berumur 2 minggu (semuanya hidup)


Sudah berumur sebulan.


Salam bertani.

Rabu, 16 Oktober 2019