Sabtu, 3 September 2016

Pokok Ubi Bemban.

Salam bertani.

Masa membersihkan kebun di belakang rumah tadi, WP ada mencabut serumpun pokok ubi bemban/garut, Bukan untuk dimakan tetapi terpaksa diubah ke tempat lain kerana tapak tersebut hendak dijadikan reban itik. Pokok ubi bemban mudan ditanam melalui rizomnya secara pecahan rumpun.

Teringat semasa zaman kanak-kanak dahulu, umbisi ubi bemban selalu dijadikan makanan sama ada untuk sarapan atau minum petang. Umbisi ubi bemban ini biasanya direbus sahaja seperti kita merebus isi ubi kayu dan  boleh juga dibakar. Umbisi ubi bemban tidak empuk tetapi berasa kenyal dan banyak serat. Semakin tua umbisinya semakin banyak seratnya. Umbisi yang muda lebih lembut dan lebih enak dimakan.

Umbisi ubi bemban dikatakan sangat mujarab untuk meredakan penyakit kencing kotor atau penyakit yang berkaitan dengan pundi dan salur kencing. Pokok ubi bemban merupakan tumbuhan herba yang mempunyai pelbagai khasiat lain seperti untuk perawatan kulit, luka dan sebagainya.


Pokok ubi bemban.


Daunnya seperti daun lengkuas dan boleh digunakan
untuk membungkus makanan.


Membiak melalui anak pokok
yang tumbuh melalu rizom.


Mudah hidup walau pun di tempat naung.


Serumpun pokok ubi bemban yang dicabut pada pagi tadi.


Menghasilkan umbisi di dalam tanah.


Umbisinya menpunyai kelopak yang perlu dibuang sebelum direbus.

Mungkin ramai daripada generasi sekarang  yang tidak mengenali pokok ubi bemban apatah lagi merasai umbisinya sebagai makanan yang enak dan berkhasiat. Sesekali, WP akan merebus umbisi ubi bemban  dijadikan santapan petang bersama teh panas untuk mengimbau zaman susah semasa kanak-kanak dulu.

Salam bertani.

1 ulasan: