Khamis, 17 Mac 2016

Pokok Terung Pipit.

Salam bertani.

Pokok terung pipit merupakan tumbuhan renek berkayu yang banyak tumbuh meliar di kebun "Warisan Petani". Ia merupakan tumbuhan yang kebal kerana sukar dihapuskan walaupun menggunakan racun rumpai. Dahannya yang telah ditebas pun boleh tumbuh semula dan menjadi pokok baru.

     Pembiakan pokok terung pipit adalah melalui biji benih matang yang mudah tumbuh walaupun tidak disemai. Ia juga boleh hidup melalui keratan batang kerana batangnya mudah mengeluarkan akar apabila terletak di atas tanah.

    Pokok terung pipit agak berbeza dengan pokok-pokok terung sayuran lain. Ia adalah pokok berkayu yang tidak memerlukan sokongan dan boleh tumbuh tinggi melepasi ketinggian kita. Pokoknya berduri dan boleh hidup bertahun-tahun dan boleh menjadi pokok baru semula apabila dicantas atau ditebas.

    Buah terung pipit muda boleh dijadikan masakan kampung dan juga ulaman. Buah terung pipit enak dimasak sambal lada hijau atau dimasukkan dalam kuah kari. Rasanya agak pahit sebab itu sesuai dimasak pedas. Ia juga dijadikan ulaman dengan cara mencelur dahulu supaya lembut dan ada juga yang gemar memakannya begitu sahaja dicicah dengan sambal belacan atau budu.


Sepohon anak terung pipit yang tumbuh di belakang rumah.


Sepohon lagi yang hampir berbunga.


Mempunyai bentuk daun yang menarik dan jarang diserang perosak.



Pokok terung pipit yang tumbuh di kebun kelapa sawit.


Sepohon terung pipit dewasa.



Jambak bunga terung pipit.


Jambak bunga tidak sekata perkembangannya.


Setangkai buah terung pipit muda.


Sesuai dijadikan masakan atau ulaman.


Buah yang hampir matang.


Pohon terung pipit dewasa yang tinggi dan besar.

Pokok terung pipit merupakan tumbuhan herba yang mengandungi pelbagai khasiat kesihatan. Selain buah mudanya boleh dimakan, daun dan akarnya juga boleh digunakan untuk meredakan pelbagai jenis penyakit. Ia dikatakan boleh meredakan sakit perut, meredakan bisa sengatan, mengurangkan rekahan tumit kaki dan lain-lain.

Walaupun pokok terung pipit tidak ditanam dan tumbuh secara liar tetapi ada beberapa pokok yang terus dipelihara di kebun "Warisan Petani" untuk mendapatkan hasil dan khasiatnya.

Salam bertani.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan