Sabtu, 16 April 2016

Pokok Maman.

Salam bertani.

WP menganggapnya sebagai pokok rumpai liar yang perlu dihapuskan kerana terdapat banyak tumbuh melata di serata kawasan kebun. Ia mudah membiak melaui biji benih yang dihasilkan oleh pokok dewasa dan mudah tumbuh walau pun di kawasan naungan. WP belum pernah memasaknya sebagai sayuran atau ulaman.

    WP pernah makan tumbuhan ini semasa pergi jemputan pertunangan anak saudara di Negeri Sembilan. Daun maman dimasak rendang bersama daging ayam. Rasanya agak pahit tetapi enak juga. Ada juga biasa kita jumpa jeruk maman, dan ada juga yang memasaknya seperti kita memasak sayuran lain.



Anak benih pokok maman yang tumbuh melalui biji benih.


Pokok maman cepat berbunga dan berbuah.


Pucuknya boleh dijadikan sayuran.


Pucuk maman dewasa



Pucuknya banyak mengeluarkan bunga.



Bunga pokok maman mengandungi empat kelopak berwarna unggu.


Bunganya mengandungi nektar yang digemari oleh lebah madu dan kelulut.


Sepohon maman yang tumbuh sebagai rumpai di dusun.



Buah yang terbentuk dari bunga pokok maman.


Buah maman apabila matang akan menghasilkan biji benih.

Keseluruhan pokok maman dari daun, buah dan akarnya megandungi khasiat perubatan.Ia dikatakan tumbuhan herba yang baik untuk kesihatan kerana dapat meredakan pelbagai jenis penyakit seperti sakit pinggang, sakit kepala, cirit birit, mengeluarkan angin , memelihara kulit dan lain-lain lagi.

Salam bertani.

Khamis, 14 April 2016

Pokok Lempung.

Salam bertani.

Terdapat sepohon lempung yang hidup di padang ragut tempat WP menternak lembu. Pada asalnya dahulu, terdapat banyak pokok lempung yang tumbuh secara semula jadi di sepanjang tebing sungai yang dijadikan kawasan ragut tersebut. Apabila kawasan tebing sungai dibersihkan oleh pihak JPS, kebanyakan pokok lempung tersebut turut musnah. Hanya tinggal sepohon pokok lempung yang dibiarkan hidup sebagai tempat teduhan ternakan.

       Pokok lempung menghasilkan buah seakan-akan buah tin tetapi tidak dimakan kerana rasanya tawar dan isi buahnya nipis.  Buah matangnya akan berguguran sahaja dan dimakan oleh ternakan. Pada masa dahulu, ada orang kampung yang menjadikannya sebagai halwa terutama apabila tiba hari raya.


Sepohon lempung di padang ragut yang sentiasa berbuah lebat.



Buah lempung muda keluar dari satu tangkai.


Tangkai buah keluar dari batang pokok


Buahnya bergugus seperti buah ficus.


Bertukar warna apabila hampir matang.


Segugus buah lempung.


Buah lempung hampir matang.


Buah lempung matang akan gugur satu persatu.
Tangkai yang sama akan mengeluarkan buah baru pada
musim akan datang.


Belahan buah lempung.
Sama seperti buah ficus.



Daun pokok lempung.
 Boleh dijadikan makanan ternakan ruminan.

Pokok lempung boleh membiak melalui keratan batang dan anak yang tumbuh melalui akarnya. Buahnya tidak mengandungi biji benih. Pokok lempung boleh bertahan hidup di kawasan berair terutama di tebing sungai.

Salam bertani.



Rabu, 13 April 2016

Benih Timun Tikus.

Salam bertani.

Pokok timun tikus merupakan tumbuhan herba yang menghasilkan buah yang boleh dimakan. Buah timun tikus yang mengandungi pelbagai khasiat perubatan akan menghasilkan biji benih apabila matang. Biji benih timun tikus boleh disemai untuk mendapatkan anak benihnya.

    WP mengumpulkan beberapa biji buah timun tikus matang untuk diberikan kepada seorang pembaca yang berminat untuk menanam pokok timun tikus setelah membaca petikan (klik di sini). Diharap pembaca tersebut membaca n3 ini.


Buah timun tikus matang yang dikutip dari sepohon
timun tikus dewasa.


Buah timun tikus matang akan bertukar warna dari hijau kepada kehitaman,
Sebiji buah menghasilkan beberapa biji benih yang boleh disemai.



Anak benih pokok timun tikus yang telah dipindahkan ke polybag
dari petak semaian. Berumur tiga minggu.


Sepohon anak timun tikus.
Telah mula mengeluarkan sulur lilit untuk memanjat.

Menyemai dan memanam pokok timun tikus tidaklah susah. Pokok timun tikus mudah dijaga dan menghasilkan buah yang banyak apabila dewasa.

Salam bertani.

Isnin, 11 April 2016

Pokok Selaput Tunggul.

Salam bertani,

Pokok selaput tunggul merupakan rumpai yang banyak terdapat di kebun WP. Ia adalah pokok berbatang lembut yang menjalar dan melilit pokok-pokok lain. Sekiranya dibiarkan, pokok selaput tunggul sangat cepat merebak dan membiak sehingga boleh menjejaskan kesuburan tanaman kita. Pokok selaput tunggul sangat kuat menggunakan nutrien, mencuri ruang  sehingga menutupi tanaman yang kita tanam dengan cara memanjat dan melilit.

   Pokok selaput tunggul cepat berbunga dan mengeluarkan bunga yang banyak. Bunga yang matang akan menghasilkan anak benih yang boleh disebarkan oleh angin, air mahu pun haiwan. Ia juga boleh menbiak melalui batangnya yang mampu mengeluarkan akar apabila terkena medium.

   Pokok selaput tunggul yang tumbuh di kebun perlu dihapuskan sebelum berbunga. Ia boleh dikawal secara mekanikal sekiranya tumbuh bersama-sama tanaman yang kita tanam atau telah melilit tanaman. Cara yang paling berkesan untuk mengawalnya ialah dengan menggunakan semburan racun rumpai jenis sistemik dan pracambah..


Anak pokok selaput tunggul yang tumbuh melalui biji benih.


Anak pokok selaput tunggul mula memanjat pokok tanaman.


Pokok selaput tunggul gemar memanjat tunggul untuk
mendapatkan cahaya matahari.


Tunggul pokok yang diselaputi pokok selaput tunggul.


Sehelai daun selaput tunggul.
Mempunyai khasiat perubatan.


Hidup subur di bawah pokok buah-buahan yang baru
dipangkas kerana mendapat bekalan cahaya matahari yang cukup.


Memanjat dan melilit ranting pokok yang dipangkas.
Mengeluarkan bunga yang banyak di kawasan lapang.



Mengeluarkan pucuk berbatang lembut untuk melilit dan memanjat.



Bunga yang belum mekar.


Bunga yang sedang mekar.


Bunga matang yang mengandungi biji benih.
Bunga akan diterbangkan oleh angin dan membiak di tempat baru.

Pokok rumpai selaput tunggul yang ada di kebun WP selalu dipotong oleh penternak kambing dan arnab untuk dijadikan makanan ternakan tersebut. Bunga selaput tunggul juga digemari oleh lebah dan kelulut ternak untuk mendapatkan madunya.

   Pokok selaput tunggul juga mempunyai khasiat perubatan. Ia dikatakan boleh menjadi penawar luka untuk memberhentikan darah. Ia juga boleh dijadikan penawar bagi penyakit darah tinggi dan kencing manis. Malah ada yang menggunakan daun mudanya sebagai ramuan nasi kerabu.Waulahualam.

Salam bertani.

Sabtu, 9 April 2016

Tanaman Bendi.

Salam bertani,

Salah satu jenis tanaman sayuran yang mudah ditanam ialah pokok bendi. Ada beberapa pokok bendi yang ditanam di kebun WP untuk kegunaan sendiri dari jenis bendi biasa dan bendi panjang.  Ada orang menyebutnya kacang bendi, tetapi pokok bendi adalah sayuran jenis buah seperti terung dan tomato. Pokok bendi boleh ditanam di tanah secara berbatas, atau boleh juga ditanam di dalam pasu, polybag dan secara fertigasi.

Biji benih bendi boleh disemai terus ke tapak penanaman tanpa perlu mengubahnya. Ia boleh mengeluarkan hasil selepas dua bulan  penanaman. Buah bendi perlu dituai sebelum matang kerana ia adalah sayuran yang berserat dan menjadi liat apabila matang. Bendi muda sesuai dituai sebelum mempunyai serat. Apabila hujung buah bendi tidak boleh dipatahkan dan liat ini bermakna buat bendi itu sudah tidak sesuai dijadikan sayuran.

  Biasanya sayuran bendi dimasak bersama-sama kari ikan. Ia juga enak dimasak tumis kering atau dicampurkan di dalam masakan dalca. Bendi juga boleh dijadikan ulaman.



Sepohon anak bendi.


Pokok bendi sudah mula berbunga.


Pokok bendi berbunga tunggal.


Bunga dan buah bendi si setiap pelepah daun.


Pokok bendi yang sedang berbuah.


Sesuai dituai semasa muda.



Bunga dan buah bendi.


Ditanam di tepi pagar rumah.


Baka bendi berbuah panjang.
Pokoknya juga lebih besar dan tinggi.


Bendi biasa


Sentiasa mengeluarkan buah.

Buah bendi mengandungi pelbagai vitamin dan tinggi kalsium. Buah bendi juga mengandungi pelbagai khasiat kesihatan. Biji bendi yang matang, selain dijadikan biji benih juga juga mengandungi khasiat perubatan.Tanamlah pokok bendi untuk mendapatkan hasilnya dan menjadi landskap yang menarik jika ditanam di sekeliling rumah atau ditanam di dalam bekas.

Salam bertani.


Racun Rumpai Sistemik.

Salam bertani.

Sebagai seorag petani, WP biasanya menggunakan racun rumpai untuk mengawal pertumbuhan rumpai yang tidak dikehendaki. Cara ini adalah kaedah yang paling cepat dan berkesan untuk mengawal rumpai berbanding kaedah-kaedah mekanikal yang lain. Rumpai yang tumbuh di kebun perlu dihapuskan kerana ia memberikan persaingan kepada tanaman untuk mendapatkan nutrien, ruang dan cahaya matahari. Rumpai juga cepat membiak memenuhi ruang, menjadi habitat haiwan perosak, menyukarkan kerja-kerja di kebun dan boleh menyekat aliran air.

     Salah satu jenis racun rumpai yang biasa digunakan ialah racun rumpai sistemik. Racun rumpai sistemik bertindak secara serap iaitu  diserap oleh rumpai dan membunuh keseluruhan bahagian rumpai sehingga ke akarnya. Ia dapat membunuh kebanyakan jenis rumpai dan anak kayu yang ada di kebun.

   Kesan semburan racun sistemik agak lambat berbanding dengan racun rumpai sentuh. Rumpai akan kelihatan kuning dan kering dalam masa seminggu selepas semburan. Kesan racun sistemik akan berkurangan sekiranya semburan terkena hujan . Penggunaan racun rumpai sistemik adalah lebih efektif kerana kesan kematian rumpai yang lebih lama sehingga enam bulan.



Salah satu jenis racun rumpai sistemik keluaran Monsanto ialah Roundup.
 Racun rumpai pekatan larutan air (SL) bermaksud bahan tersebut perlu dibancuh 
dengan air bersih mengikut kadar yang disyorkan.


Kebanyakan racun rumpai sistemik mengandungi bahan
 perawis aktif  Glyphosate sebanyak 41%.


Kelas 111 (label biru) bermaksud bahan yang berbahaya.
Jauhkan daripada makanan dan kanak-kanak.


Satu lagi contoh racun rumpai sistemik berasaskan bahan
perawis glyphosate 41%.


Spark merupakan racun rumpai sistemik yang kurang aktif mengandungi
Glyphosate 13.6% sahaja.
Kategori Kelas 1V kurang berbahaya (label warna putih)


Kebanyakan racun rumpai sistemik mengandungi bahan aktif berasaskan glyphosate 41%.
Perawis Lengai ialah bahan bukan racun untuk melengkapkan kandungan sebanyak 59%.

Racun rumpai sistemik adalah bahan beracun yang berbahaya kepada manusia terutama sekiranya termakan, terhidu atau tersentuh. Penggunaannya perlulah berati-hati dengan mengikut panduan dan arahan yang biasanya tertera di label bahan tersebut.

Salam bertani.