Selasa, 15 Ogos 2017

Pokok Kapal Terbang

 Salam bertani

Pokok kapal terbang merupakan tumbuhan rumpai yang menjadi musuh kepada petani dan penternak kerana sifat rumpainya yang cepat membiak dan menguasai ruang. Ia mudah tumbuh di kawasan kebun, dusun dan kawasan padang ragut terutama sekali di kawasan yang terdedah kepada pancaran cahaya matahari.

Pokok kapal terbang membiak melalui biji benih yang mudah diterbangkan oleh angin. Ia juga boleh hidup melalui keratan batang. Pokok kapal terbang mudah dikawal semasa kecil dengan cara mencabutnya tetapi agak sukar dikawal sekiranya sudah besar dan menguasai ruang. Ia bersifat kebal racun rumpai terutama sekali bahagian batangnya yang boleh mengeluarkan pucuk baru selepas semburan.

Pokok kapal terbang juga tidak sesuai ditebas kerana tunggulnya akan mengeluarkan lebih banyak tunas dan bahagian batangnya yang terpotong akan berakar dan tumbuh sebagai pokok baru. Cara yang paling berkesan untuk menghapuskan pokok kapal terbang ini ialah dengan mengeluarkan perdu berserta dengan akarnya dan dibakar apabila layu.


Pucuk muda daun pokok kapal terbang.
Mempunyai pelbagai khasiat herba.


Pokok kapal terbang cepat menguasai ruang


Hidup subur di kawasan padang ragut
Ternakan ruminan tidak meragut pokok kapal terbang kerana beracun.


Mempunyai dahan yang lembut dan boleh memanjat


Tumbuh di tepi pagar kebun kelapa sawit yang baru ditanam


Kudup bunga pokok kapal terbang


Pelbagai peringkat bunga pokok kapal terbang


Bunga pokok kapal terbang sedang mekar.
Bunga yang kering mengandungi biji benih yang mudah
diterbangkan oleh angin.

Keseluruhan bahagian pokok kapal terbang dikatakan beracun. Ia tidak sesuai dijadikan makanan ternakan ruminan Walau bagaimana pun ia mempunyai nilai herba perubatan yang hebat dan boleh menyembuhkan beberapa jenis penyakit. Cuma kegunaannya hanyalah untuk perawatan luaran sahaja dan tidak boleh dimakan kerana beracun.

Daun dan bunga pokok kapal terbang boleh digunakan sebagai ubat penahan darah dan rawatan luka. Daun mudanya bolehlah dihancurkan mengunakan kedua tapak tangan dan ditampalkan pada luka terutama sekali semasa bekerja di kebun. Selain itu ia boleh merawat gatal-gatal kulit dan ruam, merawat kembung perut dan cirit-birit pada bayi.

Daun pokok kapal terbang boleh digunakan untuk bertungku bagi ibu selepas bersalin dan dijadikan bahan mandian herba. Ia juga boleh digunakan untuk bahan pemeraman buah-buahan seperti pisang dan cempedak.
Waulahualam.

Salam bertani

2 ulasan: