Sabtu, 26 Mac 2016

Pokok Sendayan.

Salam bertani.

Pokok sendayan merupakan tumbuhan rumpai yang sering terdapat di kawasan kebun sama ada dusun buah-buahan, kebun getah atau kebun kelapa sawit. Pokok sendayan adalah tumbuhan yang tidak dikehendaki dan perlu dihapuskan sebelum berbunga kerana ia amat mudah membiak dan merebak ke keseluruhan kawasan kebun. Pokok sendayan juga tidak diserang oleh makhluk perosak.

     Pokok sendayan sesuai hidup di kawasan lapang maupun terlindung dan subur di kawasan yang agak rendah dan lembap terutama di kawasan tanah gambut. Ia tahan hidup di kawasan berair dan mudah membiak sama ada melalui rizomnya atau biji benih. Ia hidup berumpun dan akan mengeluarkan bunga dan biji benih apabila matang.

    Pokok sendayan mempunyai daun yang agak keras dan tajam. Ia boleh melukakan tangan atau kaki apabila tersentuh. Sebab itu ia tidak sesuai dicabut dengan menggunakan tangan kerana boleh melukakan. Pokok sendayan juga tidak sesuai ditebas kerana perdunya akan mengeluarkan rizom lebih banyak lagi.

   Di kawasan kebun ia boleh dikawal dengan menggunakan racun rumpai serap yang mengandungi glyposit tetapi perlu berhati-hati kerana racun rumpai ini juga boleh merosakan akar tanaman. Racun rumpai ini juga kurang berkesan sekiranya kawasan semburan terkena hujan.



Anak benih pokok sendayan yang tumbuh melalui biji benih.


Rumpunnya sentiasa bertambah melalui pertumbuhan rizom baru.


Hidup subur di kebun buah-bahan.



Perlu dihapuskan sebelum berbunga dan
mengeluarkan biji benih.

Pokok sendayan dewasa. Daun dan batangnya tajam
dan boleh melukakan.


Bunga pokok sendayan.


Buah pokok sendayan. Buah matangnya
berwarna hitan dan mudah tersebar menjadi anak benih.


Pokok sendayan mempunyai sistem akar serabut.


Membiak melalui rizom


Rizom akan keluar menjadi pokok baru.


Pokok sendayan di kebun buah-buahan yang
dihapuskan mengunakan racun serap (sistemik) jenis Basta.

Pokok sendayan tidak mempunyai khasiat perubatan. Ia juga tidak sesuai dijadikan makanan ternakan ruminan. Pokok sendayan perlu dihapuskan kerana ia akan menggunakan nutrien yang diperlukan oleh tanaman.

Salam bertani.

Jumaat, 25 Mac 2016

Hujan Lebat di Musim Panas.

Salam Bertani.

Syukur Alhamdulillah, petang tadi hujan turun dengan lebatnya selama lebih dua jam walaupun cuaca pada tengah hari agak panas. Di sini  masih turun hujan setiap minggu dan hujan pada petang ini adalah yang paling lebat dan panjang. Suasana begini tentu sekali sangat mengembirakan pekebun dan penternak kerana tanaman dan padang ragut akan sentiasa menghijau dan subur.

      Suasana panas dan kering di negara kita sekarang lebih tertumpu di negeri-negeri di bahagian utara kerana kurangnya hujan turun. Bagi kami di selatan ini, masih banyak kawasan yang menerima hujan seperti biasa. Semoga musim panas dan kering ini akan berakhir dengan segera.

    Dalam keadaan hujan yang lebat tadi,  beberapa gambar sempat dirakamkan di sekitar kawasan rumah "Warisan Petani". Hujan rahmat yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh tanaman-tanaman di sekeliling rumah supaya terus hidup subur pada musim panas ini.


Pokok pegaga segar mendapat hujan.


Hujan lebat mencurah.


Pokok pucuk manis dan ubi kayu mendapat hujan.


Tanaman orkid kehujanan.
Di luar pagar ialah pohon buah-buahan.


Hujan memberi rahmat kepada pelbagai tanaman.


Kawasan di belakang rumah semasa hujan.


Hujan yang lebat.


Mencurah-curah membasahi tanaman.


Di hadapan rumah.


Hujan lebat


Aliran air yang deras.


Tanah digenangi air hujan.


Di belakang dapur.


Tadahan air melimpah


Tanaman di tepi pagar rumah
mendapat hujan.



Pokok kangkung sukakan air.



Pokok pegaga ditimpa hujan


Air turun mencurah-curah.


Hujan lebat lebih dua jam.

 Semoga tanaman-tanaman yang di tanam di sekeliling rumah "Warisan Petani" sentiasa subur menerima hujan hari ini. Di harapkan hujan akan turun di semua kawasan agar musim panas dan kering ini akan berakhir.

Salam bertani.


Rabu, 23 Mac 2016

Pokok Belimbing Buluh.

Salam bertani.

Ada empat pokok belimbing buluh di belakang rumah "Warisan Petani".  Ada yang telah berumur lebih lima puluh tahun tetapi masih hidup subur dan mengeluaran hasilnya. Pokok belimbing buluh dewasa akan berbunga dan berbuah di sepanjang batangnya dari pangkal hinggalah ke hujung.

   Pokok belimbing buluh boleh dibiakkan melalui semaian biji benih dari buah matang. Walau bagaimana pun peratus pertumbuhannya sangat rendah. Biasanya lebih mudah kita mencari anak benih yang tumbuh di bawah pokok dewasa dan memindahkannya ke tempat yang sesuai. Ia juga boleh dibiakkan melalui kaedah tut (markot).

   Buah belimbing buluh berasa sangat masam. Ia digunakan untuk masakan ikan terutama ikan air tawar untuk menghilangkan rasa hanyirnya. Ia juga  boleh dijadikan halwa dan jeruk tetapi sekarang jarang ada orang yang membuatnya. Buah belimbing juga boleh dibuat sambal seperti sambal tumis dan sambal hitam.


Sepohon belimbing buluh yang telah berbuah.


Berbuah di keseluruhan batangnya.


Berbuah juga di pangkalnya.


Segugus buah belimbing buluh.



Bunga belimbing buluh.


Bunga dan buah hingga ke tanah.


Pokok ini telah berumur lebih 50 tahun.



Sepohon lagi di hadapan reban ayam  


Berbuah lebat. 



Hasil yang dituai.


Persiapan untuk membuat sambal hitam


Buah belimbing direbus tanpa air.


Sehingga kering


Tambahkan ramuan sambal.


Sambal hitam belimbing buluh.

Pokok belimbing buluh juga mempunyai khasiat perubatan. Buah, bunga dan daun belimbing buluh digunakan oleh orang-orang zaman dahulu untuk meredakan pelbagai penyakit. Bunga belimbing buluh boleh meredakan batuk dan digunakan untuk mandian bayi yang kena penyakit kuning. Buahnya digunakan untuk melembutkan kulit dan menghilangkan jerawat. Ia juga dikatakan boleh meredakan tekanan darah tinggi dan lenguh-lenguh sendi.

Tanamlah belimbing buluh untuk kegunaan sendiri. Saiz pokoknya tidak besar dan sesuai ditanan walaupun di kawasan yang terhad. Ia cepat berbuah dan berbuah sepanjang musim.

Salam bertani.










Selasa, 22 Mac 2016

Tanaman Getah: Musim Luruh di Malaysia.

Salam bertani.

Bunyi tajuk entri ni agak pelik. Mana ada musim luruh di Malaysia. Sekarang musim panas . Tetapi bagi pekebun-pekebun yang mengusahakan tanaman getah tajuk ini tidak pelik. Memang ada musim luruh setahun sekali bagi pokok -pokok getah. Ini berlaku di mana ke semua pokok getah dewasa akan menggugurkan daun-daunnya sehingga menjadi gondol.

      Biasanya pokok getah dewasa akan mula menggugurkan daun-daunnya apabila bermulanya musim panas setiap awal tahun (bulan Februari hingga Mac). Semasa musim luruh pokok getah masih mengeluarkan hasil yang banyak sehinggalah pokok gondol. Apabila pokok getah mengeluarkan pucuk muda , penoreh getah akan berhenti menoreh kerana hasil getah akan berkurangan sehingga enam puluh peratus. Ini kerana makanan yang digunakan tidak menghasilkan susu getah tetapi untuk pengeluaran pucuk baru dan bunga getah.

     Apabila musim luruh berakhir, pokok getah dewasa akan gondol lebih kurang dua minggu sebelum mengeluarkan pucuk baru dan bunga pokok getah. Ini juga menandakan musim bunga bagi pokok-pokok buah-buahan bermusim akan bermula.


Daun pokok getah akan bertukar warna perang.



Daun perang akan gugur kesemuanya.


Musim luruh di kebun getah
(proses daun gugur)


Pokok getah akan menjadi gondol


Kesemua pokok akan menggugurkan daun.


Pemandangan waktu senja di kebun getah
semasa musim luruh.


Daun getah yang berguguran.


Menutupi jalan.


Memenuhi kolam


Menutupi parit.


Mula mengeluarkan pucuk baru dan bunga
selepas dua minggu gondol.


Pucuk baru dan bunga getah keluar serentak.



Selepas beberapa minggu.



Sepohon getah dewasa dengan daun baru selepas
musim luruh.

 Kebanyakan pokok getah dewasa sedang mengeluarkan pucuk muda dan bunga dan sebahagiannya masih gondol mengalami musim luruh. Sekarang adalah masa kritikal bagi penoreh getah kerana hasil torehan akan berkurangan dengan banyaknya. Keadaan kebun getah yang sangat panas kerana musim kemarau dan pokok gondol menyebabkan susu getah yang ditoreh akan cepat membeku. Pokok getah yang berdaun muda juga kurang mengeluarkan susu.

       Bagi penoreh-penoreh di ladang getah biasanya mereka akan berhenti menoreh dan melakukan kerja-kerja lain. Pekebun-pekebun kecil yang tiada pendapaan lain akan tetap menoreh getah walaupun hasil yang mereka perolehi sangat berkurangan. Apatah lagi dengan harga getah yang sangat rendah sekarang (RM1.80 sekg) semakin membebankan penoreh getah di negara kita. Hasil penorehan akan stabil seperti sediakala selepas tiga bulan musim luruh berakhir. Kebun getah "Warisan Petani" sedang direhatkan selama tiga bulan dari aktiviti penorehan.

Salam bertani.