Sabtu, 6 Februari 2016

Sayuran Kampung : Pokok Setangki.

Salam bertani.

Pokok setangki merupakan tumbuhan liar yang hidup menjalar terutama di kawasan berair seperti sungai, tali air, kolam dan kawasan sawah padi. Ada juga yang memanggilnya pokok keman air dan kangkung puteri. Pokok  setangki sangat cepat membiak dan merebak dan boleh menyekat aliran air sekiranya tidak dikawal.

   Pokok setangki banyak terdapat di sungai tempat "Warisan Petani" menternak lembu. Lembu-lembu juga gemar meragut pokok setangki terutama yang terdapat di tebing sungai. Rupa bentuk pokok setangki berbeza di antara yang hidup di atas permukaan air dan yang terdapat di darat. Pokok setangki yang hidup di permukaan air mempunyai satu lapisan tisu putih yang menyelaputi batangnya seperti pelampung yang menyebabkan pokok ini boleh terapung. Manakala pokok setangki yang tumbuh di atas darat tidak mempunyai pelampung dan menjalar seperti kangkung.

    Pucuk pokok setangki enak dijadikan gulai masak lemak pekat atau ditumis sahaja. Daunnya agak liat dan berasa seakan-akan petai. Ia juga boleh dicampur dengan masakan lain seperti kari atau masak lemak cili api ikan air tawar, siput atau udang.

   Daun pokok setangki seakan-akan daun pokok semalu dan satu sifatnya yang sama ialah ia akan layu/menguncup apabila disentuh. Pokok setangki mudah dibiakkan melalui keratan batang berakar dan boleh juga disemai melalui biji benih.


Pokok setangki yang hidup di tebing sungai.
Memerlukan tanah yang lembap dan berair.


Pucuk setangki yang hidup di darat.
Sesuai dituai untuk dijadikan sayuran.


Pokok setangki yang menjalar di permukaan sungai.


Batangnya diselaputi tisu putih berfungsi sebagai pelampung.


Hidup subur di kawasan lembap dan berair.


Perlukan kawasan pencahayaan 100 peratus.



Terdapat di kawasan tebing sungai.


Terapung di permukaan air.
Terdapat akar di setiap ruas batangnya.


Terdapat tisu putih di sekeliling batangnya.
Daunnya akan menguncup apabila disentuh.


Bentuk daun pokok setangki.


Pucuk setangki darat tidak mempunyai pelampung dan akar.
Sesuai dijadikan sayuran.


Sekuntum bunga setangki.


Bunganya cantik dan mempunyai dua bentuk dan warna yang berbeza.


Buah pokok setangki.


Buah yang matang mengandungi biji benih yanh boleh disemai.


Sayuran pucuk setangki yang dijual.
Daunnya menguncup.

Pokok setangki juga merupakan tumbuhan herba yang mempunyai pelbagai khasiat perubatan.
Ia dikatakan boleh menjadi penyejuk badan terutama untuk meredakan demam panas. Pokok setangki juga digunakan oleh orang-orang dahulu untuk mengubati penyakit resdung dan masalah telinga. Selamat mencuba.

Salam bertani.


Khamis, 4 Februari 2016

Tanaman Durian Belanda.

Salam bertani.

Pokok durian belanda merupakan salah satu tanaman buah-buahan tidak bermusim yang banyak terdapat di negara kita. Kebanyakan kita menanam pokok durian belanda untuk mendapatkan hasil buahnya .Perkembagan terbaru sekarang, daun pokok durian belanda mendapat permintaan yang tinggi untuk dijadikan 'teh herba' kerana khasiatnya terutama kepada pengidap penyakit barah.

    Pokok durian belanda mudah dibiakkan melalui semaian biji benih yang boleh didapati daripada buah matang. Sebiji buah durian belanda mengandungi berpuluh-puluh biji benih berwarna hitam yang boleh disemai untuk menghasilkan anak benih.

    Pokok durian belanda merupakan tanaman buah-buahan yang memerlukan penjagaan rapi kerana mudah diserang penyakit dan serangga perosak serta kurang rintangan terhadap cuaca yang melampau. Sebab itu kita jarang  melihat tanaman durian belanda ditanam secara besar-besaran walaupun mempunyai permintaan yang menggalakkan dan harga buah yang tinggi. Kita juga jarang menjumpai pokok durian belanda yang besar dan sihat kerana jangka hayatnya yang tidak panjang.

  Buah durian belanda juga memerlukan penjagaan yang rapi daripada putik sehinggalah matang dan boleh dituai. Buah yang matang tidak boleh disimpan lama kerana ia cepat lembik dan rosak.

    Terdapat beberapa pokok durian belanda di kebun "Warisan Petani" yang masih mengeluarkan hasil walau pun banyak pokok yang telah mati kerana kurang penjagaan, ancaman kemarau dan jerebu yang melanda.


Anak benih durian belanda yang disemai dalam polybag.


Anak pokok durian belanda yang ditanam sepanjang pagar rumah


Sepohon anak pokok durian belanda.


Pokok durian belanda dewasa yang sudah berbuah.


Sepohon lagi terdapat di belakang rumah.


Daun durian belanda yang boleh dijadikan minuman kesihatan.


Bunga durian belanda.


Bunga yang telah matang.


 Kelopak bunganya telah gugur.



Buah durian belanda muda.


Berbuah di pangkal pokok.


Buah durian belanda mempunyai duri yang lembut.


Buah yang sihat. Berbentuk lonjong.


Buah yang hampir matang. Durinya semakin jarak.


Buah yang matang di pokok. Warnanya agak cerah.
Kulitnya menjadi lembut.


Isi buah durian belanda matang berwarna putih dan berair. 
Terdapat biji benih di setiap ulas isinya.

Buah durian belanda yang matang enak dijadikan jus dan minuman. Bahan yang terdapat di dalam buah durian belanda dikatakan mengandungi antibakteria, antitumor dan antikanser. Daun durian belanda boleh dijadikan teh herba untuk diminum yang mengandungi pelbagai khasiat kesihatan.

   Marilah kita menanam pokok durian belanda di kawasan sekeliling rumah untuk mendapatkan manfaat dari pelbagai khasiatnya.

Salam bertani.



 

Rabu, 3 Februari 2016

Daging Ayam Kampung Organik.

Salam bertani.

Sekiranya kita membeli daging ayam di pasar, ayam tersebut sudah siap diproses dan dipotong beberapa bahagian sama ada besar atau kecil. Kita juga boleh memilih bahagian-bahagian tertentu sahaja mengikut selera kita.

    Bagi ternakan ayam kampung yang dipelihara sendiri, proses mendapatkan daging ayam dilakukan secara tradisional dari mula menyembelih ayam sehinggalah siap untuk dimasak. Hari ini  "Warisan Petani" mengorbankan tiga ekor ayam kampung organik untuk dijadikan santapan kami sekeluarga.



1. Menangkap dan mengurung tiga ekor ayam kampung yang sesuai untuk disembelih. Biasanya berumur empat hingga lima bulan. Bagi ayam jantan, baru belajar berkokok dan ayam betina pula yang belum bertelur.


 2. Tiga ekor ayam kampung yang telah siap disembelih.


3. Merendam ayam ke dalam air panas untuk memudahkan proses mencabut bulu ayam. Sebelum direndam ayam dibersihkan dan dibuang tembolok serta dikeluarkan organ-organ dalamannya terlebih dahulu.


 4. Proses mencabur bulu ayam  satu persatu secara manual menggunakan tangan.

 5. Proses mencabut bulu ayam dilakukan dengan teliti supaya semua bulu ayam dapat dibersihkan dan tidak merosakkan kulit/isi ayam.


 6. Selesai mencabut bulu ayam, ayam diletakkan pada api dapur untuk membuang bulu-bulu halus yang tertinggal.


 7 .Tiga ekor ayam yang siap dibuang bulunya.


 8. Bentuk ayam kampung berbeza daripada ayam daging yang dijual di pasar.


 9. Proses memotong ayam kampung dilakukan.


10. Daging ayam kampung yang siap dipotong dan sedia untuk dimasak. Daging ini tidak mengandungi lemak dan kulitnya sangat nipis.

Kami sekeluarga "Warisan Petani" jarang-jarang membeli ayam daging di pasar kerana ada bekalan daging ayam kampung organik yang dipelihara sendiri. Ayam-ayam kampung yang dipelihara hanya diberikan makanan jagung dan lebihan hasil tanaman serta dibiarkan hidup bebas mencari pelbagai makanan. Rasa daging ayam kampung organik lebih enak dan pejal berbanding ayam daging.

Salam bertani.

Khamis, 28 Januari 2016

Pokok Sirih

Salam bertani.

Terdapat beberapa rumpun pokok sirih di belakang rumah "Warisan Petani" yang telah hidup berpuluh tahun lamanya. Pokok sirih hidup secara menjalar dan memerlukan junjungan yang kukuh supaya tahan lama. Pokok sirih juga hidup dengan memanjat pokok lain menggunakan akar yang boleh melekat pada batang pokok. Akar pokok sirih keluar dari setiap ruas batangnya. Pokok sirih boleh ditanam menggunakan keratan batang matang yang berakar.

    Pada zaman dahulu daun sirih merupakan hasil tanaman yang pelbagai guna. Orang tua-tua mengamalkan mengunyah daun sirih sebagai 'songel.' Daun sirih juga digunakan sebagai pembuka kata untuk menyatakan sesuatu hajat. Ia juga dibuat 'sirih junjung'. Dari segi perubatan tradisional, daun sirih digunakan oleh dukun atau pawang sebagai bahan jampi untuk mengubati pelbagai penyakit.

    Hari ini daun sirih sudah jarang digunakan walaupun ianya mengandungi pelbagai khasiat perubatan dan kesihatan. Ia dikatakan sangat mujarab untuk mengurangkan pelbagai masalah kesihatan wanita dan pelbagai penyakit lain.


Serumpun pokok sirih.


Pokok sirih ini melilit pada pokok inai.


Daun sirih mempunyai pelbagai khasiat perubatan.


Pokok sirih memerlukan junjungan.


Serumpun lagi.


Dahan sirih mempunyai ruas.


Sehelai daun sirih bertemu urat.


Hidup subur di tanah yang lembap.

Sekarang sudah ada produk kesihatan yang berasaskan daun sirih. Walau bagaimana pun, sebagai orang kampung adalah mudah menggunakan daun sirih segar untuk tujuan perubatan sekiranya kita ada menanam sendiri di kawasan rumah.

Salam bertani.

Isnin, 25 Januari 2016

Nasi Lemak Cik Chom.

Salam bertani.

Sempena cuti perayaan Thaipusam, kami sekeluarga "Warisan Petani" telah menjamu selera di Warung Nasi Lemak Cik Chom di Seri Gading, Batu Pahat. Juadah nasi lemak di sini memang sudah terkenal kerana sudah tersiar di tv dan menjadi viral di laman sosial.


Banner Warung Nasi Lemak Cik Chom.


Nasi lemak ikan siakap.


Nasi lemak burung puyuh.


Nasi lemak ayam.



Nasi lemak sotong king.


Sebahagian daripada menu nasi lemak yang ditempah.


Minuman gelas besar.


Terdapat pelbagai jenis minuman.

Memang menyelerakan makan pelbagai juadah nasi lemak di sini. Patutlah begitu ramai pelanggan dari pelbagai bangsa sentiasa memenuhi warung ini. Warung ini dibuka dari waktu petang hingga tengah malam. Cubalah menjamu selera di Warung Nasi Lemak Cik Chom.

Salam bertani.