Khamis, 2 November 2017

Pokok Puding Semangkuk

Salam bertani

Ada sebaris tanaman pokok puding semangkuk yang ditanam secara berpagar di belakang rumah WP.Tanaman ini juga dikenali sebagai pokok daun belangkas dan bagi masyarakat kami memanggilnya sebagai pokok mangkok'an. Disamping nilai herbanya yang hebat, pucuk pokok puding semangkuk ini boleh dijadikan ulaman dan masakan yang berkhasiat. Ia dipanggil puding semangkuk kerana bentuk daunnya yang bulat dan melekuk seperti mangkuk.

Pokok puding semangkuk senang dibiakkan dengan menggunakan keratan batang atau menggunakan batang pucuknya setelah daunnya dituai. Ia boleh disemai di dalam polibeg, ditanam di dalam pasu atau ditanam berbaris di atas batas. Pokok pelbagai guna ini ditanam sama ada sebagai tanaman hiasan, tanaman pepagar atau sebagai sumber makanan.

Pucuk pokok puding semangkuk sesuai dijadikan ulaman (perlu direbus dahulu) dimakan bersama sambal belacan dan nasi panas.  Ia juga digunakan sebagai salah satu ramuan daunan di dalam 'botok-botok'. Pucuk puding semangkuk boleh juga dimasak lemak, ditumis, tumis air atau dijadikan campuran masakan ikan atau 'pecel'.

Nilai herbanya yang paling hebat ialah sebagai penyubur rambut dan perawatan rambut gugur. Disamping itu ia juga digunakan sebagai penyembuh luka, meredakan bengkak payu dara dan melawaskan pembuangan air kecil.

Daun pokok puding semangkuk juga boleh dijadikan makanan ternakan haiwan  ruminan.



Sebaris pokok puding semangkuk di belakang setor



Anak pokok semangkuk yang disemai melalui keratan pucuknya



Pianggang merupakan musuh utama tanaman puding semangkuk.
Ia menghisap cairan tumbuhan di pucuk daun.



Pucuk daun semangkuk yang sesuai dijadikan ulaman
atau masakan.


Mudah ditanam dan sentiasa subur menghijau walau pun hidup ditempat naungan.

Salam bertani.

1 ulasan: