Ahad, 21 Ogos 2016

Kebun Kelapa Sawit 3 : Menuai Buah.

Salam bertani.

Hari Sabtu semalam, WP bekerja di kebun kelapa sawit untuk menuai buah. Buah-buah kelapa sawit yang matang perlu dituai mengikut masanya untuk mengelakkan kerosakan buah dan kebanyakan buah kelapa sawit akan gugur ke tanah. Kerja-kerja penuaian buah kelapa sawit dilakukan berselang dua puluh hari setiap pusingan.

Pada waktu pagi kerja-kerja penuaian buah sawit dilakukan menggunakan pahat pemotong. Pelepah kelapa sawit yang dipotong disusun di tengah-tengah barisan pokok kelapa sawit agar memudahkan kerja-kerja pengurusn kebun dan nampak lebih kemas.

Kerja-kerja pengumpulan tandan kelapa sawit dilakukan pada waktu petangnya pula. Tandan buah kelapa sawit dikumpulkan menggunakan kereta sorong. Sebanyak empat hingga lima tandan buah boleh diangkut setiap kali penghantaran. Setandan kelapa sawit seberat anggaran dua puluh kilogram.

Buah kelapa sawit dikumpulkan di tepi jalan kebun. Apabila selesai kerja-kerja pengumpulan, lori mengangkut tandan kelapa sawit akan mengangkut tandan buah kelapa sawit tersebut dan terus  dihantar ke pusat belian untuk ditimbang.


Sepohon kelapa sawit di kebun WP yang berbuah lebat.


Setandan buah matang yang sesuai dituai.


Setandan buah kelapa sawit sedang dituai.
Pelepah di bahagian bawah tandan perlu dipotong dahulu.


Alatan manual untuk menuai buah kelapa sawit.
Mata pahat dengan pemegang besi galvani.


Tandan buah kelapa sawit yang sudah dituai.


Dua tandan sekali penuaian.


Tiga tandan sekali penuaian.


Pelepah kelapa sawit disusun di tengah-tengah barisan pokok.


Tandan kelapa sawit dikumpulkan menggunakan 
kereta sorong.


Buah kelapa sawit dikumpulkan di tepi jalan kebun.


Hasil sekali penuaian lebih kurang 2 tan bagi kebun seluas 2 ekar (0.8 hektar).
Buah akan diangkut menggunakan lori ke pusat belian.

Ada dua jenis pembayaran buah kelapa sawit yang biasa dilaksanakan oleh pusat belian kelapa sawit kepada pekebun. Pekebun boleh memilih sama ada untuk mengambil bayaran sejurus selepas timbangan buah kelapa sawit atau memilih untuk bayaran bulanan. Harga jualan kelapa sawit  mengikut bayaran bulanan adalah lebih tinggi daripada harga bayaran selepas timbangan.

Salam bertani.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan