Sabtu, 25 Jun 2016

Pokok Kenanga.

Salam bertani.

Pokok kenanga ditanam kerana bunganya yang menarik dan berbau harum serta kekal lama. Pokok klasik ini telah ditanam sejak zaman dahulu kerana bunganya  mengandungi  khasiat perubatan herba dan kegunaannya yang pelbagai.

   Bunga pokok kenanga berwarna hijau semasa muda dan menjadi kuning apabila matang. Bunganya digunakan sebagai ramuan mandian  untuk mengurangkan bau badan. Ia juga dijadikan bahan utama dalam membuat bunga rampai kerana baunya yang harum. Disamping itu bunga pokok kenanga banyak digunakan dalam perubatan tradisional untuk meredakan pelbagai penyakit dan masalah kesihatan. Bunga kenanga juga dijadikan bahan utama untuk menghasilkan minyak wangi dan produk kecantikan.

  Pokok kenanga yang biasa ditanam sebagai tanaman hiasan di sekitar rumah adalah tumbuhan renek berkayu yang sesuai ditanam di atas tanah atau di dalam pasu. Untuk mengawal pembesarannya, ia perlu dipangkas selalu. Pemangkasan juga dapat menggalakkan pertumbuhan pucuk baru yang akan mengeluarkan lebih banyak bunga. Pokok kenanga renek tidak berbuah, jadi ia boleh dibiakkan dengan kaedah tut/markot.


Pokok bunga kenanga yang disemai dalam polybeg
dibiakkan melalui kaedah markot. Pokok sudah berbunga kerana
dibiakkan melalui dahan matang.


Pokok kenanga induk ditanam di atas tanah. Dahan matangnya dibiakkan
melalui kaedah markot di atas.


Sepohon lagi yang ditanam di belakang rumah WP sedang galak berbunga.



Kudup bunga kenanga berwarna hijau.


Pucuk muda pokok kenanga yang menghasilkan bunga.





Bunga muda masih berwarna hijau dan kurang aromanya.


Bunga kenanga yang hampir matang berwarna kuning 


Pelbagai peringkat bunga kenanga. 


Bunga yang matang berwarna kuning terang dan berbau sangat harum
terutama pada waktu senja. Bunga ini akan berguguran tetapi tidak menghasilkan biji benih.

Pokok kenanga renek merupakan tanaman hiasan tradisional yang perlu ada di persekitaran rumah kita. Walau pun kita tidak lagi memanfaatkan khasiat herbanya, sekurang-kurangnya kita dapat mengelakkan kepupusannya.

Salam bertani.



1 ulasan: