Ahad, 26 Jun 2016

Kebun Kelapa Sawit 2 : Pemangkasan Pelepah.

Salam bertani.

Salah satu kerja yang perlu dilakukan untuk penjagaan tanaman kelapa sawit ialah pemangkasan pelepah. Pelepah kelapa sawit tidak seperti pelepah pokok kelapa yang akan gugur sendiri apabila kering. Pelepah kelapa sawit perlu dipangkas supaya pokok kelihatan kemas dan memudahkan kerja-kerja pengurusan tanaman kelapa sawit tersebut.

  Kerja-kerja memotong pelepah kelapa sawit dewasa dilakukan sekurang-kurangnya sekali setahun dengan membuang pelepah yang tua yang tidak diperlukan. Pelepah yang dipotong perlu disusun di tengah-tengah barisan pokok berselang dengan lorong mengutip buah. Pelepah akan dibiarkan reput supaya menjadi bahan organik yang berguna kepada pokok. Ada juga penternak ruminan yang menggunakan pelepah kelapa sawit ini sebagai sumber bahan makanan ternakan mereka.

  Pemotongan pelepah kelapa sawit perlu dilakukan untuk memudahkan kerja-kerja menuai hasil. Pelepah yang banyak akan menyukarkan kita untuk mempastikan buah matang dan buah yang terlerai akan tersangkut pada pelepah. Pemotongan pelepah  di bahagian bawah dapat mempastikan pelepah di bahagian atas lebih  terbuka untuk menghasilkan tandan yang lebih besar. Bilangan pelepah yang terlalu banyak  juga menyebabkab penggunaan nutrien yang lebih banyak kepada daun dan boleh menjejaskan kualiti dan kuantiti buah kelapa sawit.

Kerja-kerja pemotongan pelepah kelapa sawit menggunakan alat yang sama untuk menuai buahnya.
Bagi pokok kelapa sawit muda menggunakan pahat berbatang galvani dan bagi pokok yang lebih tinggi menggunakan sabit bergalah. Sekarang telah ada alat moden menggunakan mesin pemotong elekrtik. Sebahagian kerja-kerja pemotongan pelepah di kebun kelapa sawit WP di lakukan sendiri dan ada sebahagiannya diupahkan kepada pekerja Indon.


Pokok kelapa sawit berumur empat tahun yang perlu dipangkas pelepahnya.


Pelepah di bahagian bawah buah perlu dibuang untuk meningkatkan 
pengeluaran hasil.


Pelepah pokok kelapa sawit yang telah dipangkas.


Pokok kelapa sawit yang telah dipangkas pelepahnya.


Pelepah pokok sawit yang tinggal akan lebih terbuka
untuk pembentukan tandan buah yang lebih besar.


Pelepah yang dipotong disusun di tengah-tengah barisan pokok
berselang sebaris. Lorong sebaris lagi digunakan untuk laluan mengutip hasil.


Pelepah yang dipotong dibiarkan reput untuk menjadi baja 
kepada tanaman. Jangan bakar pelepah yang kering kerana akan
merosakan akar rerambut pokok kelapa sawit.


Kebun kelapa sawit WP selepas kerja-kerja pemangkasan pelepah selesai.
Kelihatan kemas dan memudahkan kerja-kerja penjagaan kebun.


Alat yang digunakan untuk memangkas pelepah pokok kelapa sawit muda.
 Mata pahat dengan pemegang besi galvani.
 Alat ini juga yang digunakan untuk menuai tandan buah matang.

Kerja-kerja pemangkasan pelepah kelapa sawit dilakukan sekurang-kurangnya sekali setahun atau apabila perlu sahaja. Pelepah kelapa sawit juga dipotong semasa menuai tandan buah matang (BTS) tetapi tidak menyeluruh seperti di atas.

Salam bertani.


1 ulasan: