Isnin, 27 Jun 2016

Pokok Kaduk.

Salam bertani.

Pokok kaduk merupakan tumbuhan herba renek berbatang lembut yang hidup liar dan mudah ditanam. Bentuk daunnya seakan-akan daun sirih tetapi saiznya kecil sedikit. Ia boleh hidup subur di kawasan tanah  yang lembap dan sedikit naung. Pokok kaduk tidak melilit dan tidak mengeluarkan akar pada setiap ruasnya seperti pokok sirih. Ia hidup menjalar dan merebak dengan mengeluarkan cabang yang banyak.

Pokok kaduk mengeluarkan bunga berwarna putih dan akan mengeluarkan biji benih apabila matang. Biji benihnya boleh disemai untuk mendapatkan anak benih. Tetapi pokok kaduk lebih sesuai dibiakkan melalui keratan batang kerana pertumbuhannya lebih cepat. Selain boleh dimakan dan mengandungi khasiat perubatan, pokok kaduk juga ditanam sebagai tanaman hiasan di atas tanah atau di dalam pasu. Ia juga ditanam sebagai tumbuhan pengawal hakisan dan tumbuhan yang dapat mengekalkan kelembapan tanah.



Anak pokok kaduk yang disemai di tapak semaian
melalui keratan batang.


Anak pokok kaduk yang tumbuh sendiri di atas tanah melalui
biji benih.


Pokok kaduk yang subur, daunnya berwarna hijau pekat.



Daun kaduk mengandungi pelbagai khasiat perubatan.



Pucuk kaduk sesuai dijadikan ulaman dan bahan penambah
perisa dalam masakan.


Pokok kaduk dewasa mengeluarkan bunga halus berwarna putih.



Sehelai daun kaduk yang seakan-akan menyerupai daun sirih.


Bunga pokok kaduk.


Buah pokok kaduk yang akan menghasilkan biji benih apabila matang.

Masyarakat kita memakan pucuk daun kaduk sebagai ulaman. Daun kaduk juga dicampur dalam masakan lemak sebagai penambah perisa, Ia juga dijadikan bahan untuk membuat kerabu dan campuran dedaunan dalam botok-botok.

Daun kaduk mempunyai nilai perubatan tradisional yang diamalkan sejak zaman dahulu. Ia dikatakan dapat melawaskan kencing dan digunakan untuk meredakan demam, batuk, selsema dan lenguh-lenguh sendi. Sekarang telah ada produk pati pokok kaduk yang dikatakan dapat mengawal lemak dalam badan untuk mengelakkan kegemukkan.

Salam bertani.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan