Rabu, 30 Mac 2016

Nanas Sarawak 2

Salam Bertani.

Pada hari ini, sebiji buah nanas sarawak dituai dari kebun WP. Inilah rentetan hidup sepohon nanas sarawak.


Anak pokok nanas sarawak dari sulur ketiak.


Anak pokok nanas sarawak diubah ke tanah.


Mula berbunga secara semulajadi selepas 15 bulan.



Putik buah nanas sarawak.



Putik buah nanas sarawak dan jambulnya.


Buah nanas sarawak muda


Buah berusia sebulan.


Buah sedang membesar berumur 2 bulan.


Buah berusia 3 bulan. Sulur ketiak sudah muncul
daripada pokok induk.


Buah nanas sarawak matang.
Sulur ketiak semakin membesar.


Buah nanas sarawak sudah matang dan sesuai
untuk dituai. Bertukar warna kepada kekuningan.


Buah nanas sarawak yang dituai.
5.2 kg sahaja.
Buah akan lebih besar sekiranya sulur jambul dibuang semasa putik.


Enak, lazat, manis, kuning dan bersari.


Pokok nanas sarawak yang telah dituai hasilnya.
Akan menghasilkan banyak sulur yang boleh dijadian anak benih.

Tanamlah pokok nanas sarawak untuk mendapatkan hasilnya. Penjagaan pokok nanas sarawak lebih mudah berbanding nanas lain kerana daunnya tidak berduri. Buah nanas sarawak adalah buah nanas yang paling besar berbanding nanas-nanas lain.

Salam bertani.



Selasa, 29 Mac 2016

Pokok senduduk.

Salam bertani.

Kerja-kerja membersihkan kebun yang biasa dilakukan ialah menghapuskan pelbagai tumbuhan rumpai yang menjadi pesaing kepada tanaman. Antara rumpai yang banyak terdapat di kawasan kebun "Warisan Petani" ialah pokok senduduk. Pokok senduduk merupakan tumbuhan renek berkayu separa lembut yang sangat cepat menbiak dan boleh memenuhi kawasan kebun sekiranya tidak dikawal.

  Cara yang mudah untuk mengawal anak pokok senduduk ialah dengan menggunakan semburan racun rumpai jenis sentuh seperti paraquat. Walau bagaimana pun, bagi pokok senduduk yang besar dan tinggi perlu ditebas dahulu sehingga ia mengeluarkan pucuk-pucuk baru, baharulah disembur dengan racun rumpai.

   Pokok senduduk cepat berbunga dan berbuah. Buah matangnya mengandungi banyak biji benih yang akan tumbuh menjadi pokok baru. Bagi petani, pokok senduduk adalah musuh tanaman yang perlu dihapuskan walau pun sebenarnya ia mempunyai pelbagai khasiat perubatan dan manfaat yang lain.


Anak pokok senduduk


Pucuk dan daun senduduk.
Mempunyai pelbagai khasiat dan manfaat


Kudup bunga senduduk.


Bunga senduduk sedang berkembang.
Kebanyakan pokok senduduk liar bunganya berwarna unggu.


Buah senduduk muda.
Kanak-kanak zaman dahulu jadikan peluru pistol mainan


Buah senduduk akan pecah apabila matang.
Boleh dimakan, rasanya manis dan meninggalkan warna unggu di lidah.


Pokok senduduk dewasa menghasilkan
banyak bunga dan buah.





Memenuhi kawasan kebun kelapa sawit
dan perlu dikawal pertumbuhannya.

  Sekiranya berlaku luka kecil semasa bekerja di kebun, pucuk senduduk biasanya digunakan untuk memberhentikan darah dengan cara melenyeknya di tapak tangan sehingga lumat dan menampalkannya pada luka tersebut. Daun senduduk boleh juga digunakan untuk menghilangkan bau hanyir ikan air tawar dan ia juga adalah salah satu ramuan herba untuk membuat telur pindang.
Ada banyak lagi khasiat kesihatan dari pokok senduduk yang diamalkan oleh orang zaman dahulu yang semakin kita lupakan.

Salam bertani.

Isnin, 28 Mac 2016

Matahari Terbit.

Salam bertani.

Hari ini cuaca sangat panas hingga ke petang. Tidak banyak aktiviti berkebun yang dapat dilakukan dek cuaca yang membahang sekarang. Lewat petang barulah aktiviti berkebun dilakukan terutama untuk menyiram anak-anak pokok yang baru ditanam dan juga tanaman sayur-sayuran. Mujurlah belakan air masih tidak terjejas.

    Seawal pagi tadi, "Warisan Petani" dapat merakamkan saat-saat kemunculan sang matahari yang bakal membahang bumi sehingga ke petang. Moment yang jarang-jarang kita peduli.


6.55 pagi. Mentari belum muncul lagi.


7.05 pagi . Ufuk merah kelihatan.


7.08 pagi.


7.10 pagi.


7.14 pagi.


7.20 pagi


7.25 pagi


7.34 pagi


7.45 pagi


7.50 pagi

Pada pukul 7.50 pagi, cahaya matahari telah memancar ke seluruh kawasan. Kepanasan beransur-ansur bertambah sehingga menjadi panas terik. Mudah-mudahan musim panas ini tidak memberi kesan yang kurang baik terhadap tanaman, tumbuhan dan ternakan.

Salam bertani.

Pokok Gelenggang.

Salam bertani,

Terdapat satu rumpun pokok gelenggang yang dibiarkan hidup di kebun kelapa sawit "Warisan Petani" berhampiran dengan sungai tempat menternak lembu. Pokok ini asalnya adalah pokok liar yang banyak hidup di kawasan lembah di tebing-tebing sungai, tetapi sekarang sudah agak pupus kerana keseluruhan kawasan tersebut sudah menjadi kebun kelapa sawit. Apatah lagi masyarakat sekarang tidak mengenali pokok ini dan pelbagai khasiat daripadanya.

      Pokok gelenggang mudah membiak dan merebak menjadi satu kawasan yang luas kerana batangnya yang terletak di atas tanah boleh mengeluarkan akar dan menjadi pokok baru. Ia juga mengeluarkan buah berbentuk kekacang yang boleh menghasilkan biji benih.

     Kenangan semasa kecil dahulu, daun geleggang yang kami panggil daun ketepeng ini sering digunakan untuk mengubati penyakit panau dan kurap dengan cara menumbuknya sehingga lumat dan menepeknya ke kulit yang ada penyakit tersebut. Kami anak-anak kampung yang biasa mandi dan berkubang di sungai setiap hari memang selalu kena panau dan kurap. Daun ketepeng ini memang mujarab . Kulit yang ditepekkan dengan daun ini akan mengelupas dan panau atau kurap yang ada akan hilang.

    Daun gelenggang ini juga kami gunakan untuk mengubati penyakit gatal-gatal kerkena ulat bulu atau sengatan serangga dan sengatan ikan keli. Ia dapat meredakan rasa  bisa dengan cepat. Arwah bapa dulu menggunakan daun gelenggang yang dilumatkan untuk mengubati penyakit kulit dan luka-luka kecil pada ternakan lembu,



Sepohon anak pokok gelenggang.


Daun pokok gelenggang yang mempunyai nilai perubatan.



Sekelompok pokok gelenggang yang dibiarkan hidup di kebun kelapa sawit.


Pekebun sekarang menganggapnya sebagai pokok pesaing tanaman
yang perlu dihapuskan.


Hidup subur di kawasan lembah.


Digemari oleh ulat pemakan daun.


Bunga pokok gelenggang


Bunga ini akan menghasilkan buah


Buah pokok gelenggang yang matang.
Buah yang muda berwarna hijau.


Buah yang matang akan pecah dan menyebarkan biji benih.

Sekarang telah ada produk kesihatan yang berasaskan daun gelenggang. Produk-produk ini adalah untuk kegunaan luar seperti krim untuk mengubati pelbagai penyakit kulit, sabun mandian daun gelenggang dan losyen kulit daun gelenggang. Walau bagaimana pun, "Warisan Petani" masih menghargai kegunaan dan khasiat daun gelenggang segar yang boleh didapati bila-bila masa apabila diperlukan.

Salam bertani.

Ahad, 27 Mac 2016

Pokok Kait-kait.

Salam bertani.

Ada banyak anak pokok kait-kait yang sentiasa tumbuh di kebun getah dan kelapa sawit "Warisan Petani". Pertumbuhannya perlu dikawal kerana pokok kait-kait cepat membesar dan merebak hingga menyukarkan kita melakukan kerja-kerja di kebun. Pokok kait-kait ini tumbuh daripada biji benih yang terdapat di dalam tanah kerana pada asalnya kebun tersebut adalah hutan pokok kait-kait. Biji benih pokok kait tahan bertahun-tahun di dalam tanah dan akan tumbuh bila persekitarannya sesuai.

     Pokok kait-kait merupakan tumbuhan liar yang hidup secara melilit tumbuhan lain dan boleh mencapai ketinggian pokok perumahnya. Batangnya separa keras dan mempunyai cangkuk untuk memanjat dan melilit, sebab itu dipanggil pokok kait-kait.

Ia sukar dihapuskan walau pun menggunakan racun rumpai kerana daunnya menpunyai lapisan yang licin untuk menghindarkan semburan racun rumpai. Pokok kait-kait mampu hidup berpuluh-puluh tahun sehinggakan ada batangnya yang sebesar lengan orang dewasa.


Anak pokok kait-kait yang tumbuh melalui biji benih.


Anak pokok tidak melilit.


Dahannya juga belum mempunyai cangkuk/kait.



Mula menjalar dan melilit.


Hutan pokok kait-kait dewasa.
Padat dan sukar diuruskan.


Memanjat pokok kelapa sawit.


Hutan pokok kait-kait



Daun pokok kait-kait


Batangnya mempunyai cangkuk/kait di bawah pelepah daun.
Cangkuk digunakan untuk memanjat dan melilit.


Bunga pokok kait-kait.


Bunga sedang berkembang.
Mempunyai dua cangkuk.



Setiap jambak mengandungi biji benih.


Pokok kait-kait dewasa dengan biji benih.


Sepohon kait-kait yang dibiarkan hidup di kebun getah.
Dahannya memanjat sehingga pucuk pokok getah untuk 
mendapatkan cahaya matahari.


Telah berumur lebih sepuluh tahun.
Pangkalnya sebesar lengan orang dewasa.

Anak pokok kait-kait yang tumbuh di kawasan kebun perlu dihapuskan kerana ia cepat membesar dan menutupi pokok yang kita tanam. Cara yang paling mudah ialah dengan mencabutnya. Sekiranya ditebas atau dipotong, pangkalnya akan mengeluarkan lebih banyak dahan baru.

Walau bagaimana pun pokok kait-kait juga mempunyai khasiat perubatan. Daun dan bunganya boleh meredakan sakit kepala dan mengurangkan demam terutama demam malaria. Sekiranya kita tersesat di dalah hutan dan kehabisan bekalan, batang pokok kait-kait boleh dikerat untuk mendapatkan air minuman. Airnya berasa sejuk dan boleh menyegarkan badan.

Salam bertani.