Khamis, 31 Ogos 2017

Selasa, 29 Ogos 2017

Pokok Nangka Madu

Salam bertani

Sepohon nangka madu daripada benih cantuman tunas yang WP tanam pada Jun 2015 sudah membesar dan mula mengeluarkan buah. Ada empat biji buah sulungnya yang WP bungkus untuk mengelakan kerosakan akibat serangan lalat buah. WP menunggu masa untuk menuai buahnya apabila matang dan dapat mengetahui sama ada isinya berkualiti atau tidak.



Perdu pohon nangka madu yang berumur 2 tahun
Mengeluarkan 4 biji buah sulung yang dibungkus


Sebiji buah yang dibuka bungkusannya.
Buah di dahan pokok


Sebiji lagi yang dibuka bungkusannya.


4 biji buah nangka madu.
Sebiji daripadanya (yang dibungkus) hingga mencecah tanah.

Mudah-mudahan pokok nangka madu ini akan hidup subur dan sentiasa berbakti kepada tuannya dengan mengeluarkan hasil yang berkualiti dan berterusan.

Salam bertani.

Isnin, 21 Ogos 2017

MB 10 : Anak Burung Murai Batu

Salam bertani.

Sepasang burung murai batu membuat sarang dan bertelur di pohon limau bali. Sarangnya agak ringkas seperti sebuah mangkuk menempatkan dua ekor anaknya yang baru menetas. WP tidak berhasrat untuk memelihara burung yang dilindungi ini dan berharap ia dapat hidup lepas  bebas secara semula jadi.






Salam bertani.

Selasa, 15 Ogos 2017

Pokok Kapal Terbang

 Salam bertani

Pokok kapal terbang merupakan tumbuhan rumpai yang menjadi musuh kepada petani dan penternak kerana sifat rumpainya yang cepat membiak dan menguasai ruang. Ia mudah tumbuh di kawasan kebun, dusun dan kawasan padang ragut terutama sekali di kawasan yang terdedah kepada pancaran cahaya matahari.

Pokok kapal terbang membiak melalui biji benih yang mudah diterbangkan oleh angin. Ia juga boleh hidup melalui keratan batang. Pokok kapal terbang mudah dikawal semasa kecil dengan cara mencabutnya tetapi agak sukar dikawal sekiranya sudah besar dan menguasai ruang. Ia bersifat kebal racun rumpai terutama sekali bahagian batangnya yang boleh mengeluarkan pucuk baru selepas semburan.

Pokok kapal terbang juga tidak sesuai ditebas kerana tunggulnya akan mengeluarkan lebih banyak tunas dan bahagian batangnya yang terpotong akan berakar dan tumbuh sebagai pokok baru. Cara yang paling berkesan untuk menghapuskan pokok kapal terbang ini ialah dengan mengeluarkan perdu berserta dengan akarnya dan dibakar apabila layu.


Pucuk muda daun pokok kapal terbang.
Mempunyai pelbagai khasiat herba.


Pokok kapal terbang cepat menguasai ruang


Hidup subur di kawasan padang ragut
Ternakan ruminan tidak meragut pokok kapal terbang kerana beracun.


Mempunyai dahan yang lembut dan boleh memanjat


Tumbuh di tepi pagar kebun kelapa sawit yang baru ditanam


Kudup bunga pokok kapal terbang


Pelbagai peringkat bunga pokok kapal terbang


Bunga pokok kapal terbang sedang mekar.
Bunga yang kering mengandungi biji benih yang mudah
diterbangkan oleh angin.

Keseluruhan bahagian pokok kapal terbang dikatakan beracun. Ia tidak sesuai dijadikan makanan ternakan ruminan Walau bagaimana pun ia mempunyai nilai herba perubatan yang hebat dan boleh menyembuhkan beberapa jenis penyakit. Cuma kegunaannya hanyalah untuk perawatan luaran sahaja dan tidak boleh dimakan kerana beracun.

Daun dan bunga pokok kapal terbang boleh digunakan sebagai ubat penahan darah dan rawatan luka. Daun mudanya bolehlah dihancurkan mengunakan kedua tapak tangan dan ditampalkan pada luka terutama sekali semasa bekerja di kebun. Selain itu ia boleh merawat gatal-gatal kulit dan ruam, merawat kembung perut dan cirit-birit pada bayi.

Daun pokok kapal terbang boleh digunakan untuk bertungku bagi ibu selepas bersalin dan dijadikan bahan mandian herba. Ia juga boleh digunakan untuk bahan pemeraman buah-buahan seperti pisang dan cempedak.
Waulahualam.

Salam bertani

Ahad, 13 Ogos 2017

Berniaga Paskam

Salam bertani.

Pagi semalam WP berniaga hasil-hasil pertanian di paskam (pasar kampung). Jualan bermula pada pukul 7.30 pagi sehingga selesai. Hasil-hasil pertanian yang WP bawa habis dijual sebelum pukul 10.00 pagi. Kebanyakan pengunjung berminat membeli ulam-ulaman, sayu-sayurar kampung, kelapa biji, telur ayam kampung dan telur itik.


Bunga kantan 
Seikat 3 kuntum RM1.00


Kelapa biji besar RM1.50
Kelapa biji kecil RM1.00


Pucuk keledek sayur
Seikat RM1.00


Pucuk ubi pulut
Seikat RM1.00


Telur itik 60 sen sebiji


Telur ayam kampung 60 sen sebiji


Tempoyak RM3.50 sebekas


Pisang kapas RM2.00 sekg
Pisang jari buaya RM3.00 sekg


Pucuk selom 
Seikat RM1.00


Kangkung RM1.00 seikat


Daun kunyit 50 sen seikat
Daun kesum 50 sen seikat


Pucuk tenggek burung 
RM1.00 seikat


Sayur remayung RM1.00 seikat
Pucuk manis RM1.00 seikat


Pucuk belinjau RM1.00 seikat


Serai kampung RM1.00 seikat


Pucuk turi RM1.00 seikat
Pucuk ulam raja RM1.00 seikat


pandan wangi 50 sen sepokok


Pisang tanduk
RM4.00 sekg

Ayuhlah bertani untuk mengisi masa lapang dan aktiviti kecergasan fizikal.
Kerja-kerja bertani menjana sumber pendapatan.
Salam bertani.