Isnin, 21 Mac 2016

Pokok Keladi Sarawak

Salam bertani.

Pokok keladi sarawak merupakan salah satu jenis keladi yang ditanam di kebun "Warisan Petani". Pokok keladi sarawak jarang ditanam secara komersial dan hanya ditanam untuk keperluan sendiri secara kecil-kecilan. Keladi sarawak berbeza dengan jenis keladi yag lain kerana hasilnya bukanlah dari umbisi induknya tetapi daripada umbisi-umbisi kecil yang keluar dari umbisi pokok induk. Umbisi-umbisi ini perlu dituai apabila pokok induknya matang. Sekiranya lambat dituai ia akan menghasilkan anak pokok.

     Ada juga yang memanggilnya keladi seratah dan ada juga menyebutnya keladi telur. Batang keladi sarawak tidak boleh dijadikan sayuran seperti keladi-keladi lain kerana ia mempunyai banyak getah yang menyebabkan rasa gatal.  Umbisi induknya juga tidak dimakan tetapi akan dijadikan bahan penanaman baru apabila hasilnya dituai.

    Sepohon keladi sarawak yang subur boleh menghasilkan banyak umbisi keladi sehingga 10 biji atau lebih. Umbisi-umbisi ini boleh dijadikan sayuran seperti masak lemak. Ia juga sesuai dijadikan kerepek atau beberapa jenis kuih tradisional seperti kuih talam. Biasanya umbisi keladi sarawak hanya direbus dan dimakan panas-panas bersama kelapa parut dan gula merah. Ia juga boleh digoreng dan dibuat getuk keladi.


Sepohon anak keladi sarawak


Pokok keladi sarawak mudah hidup
walaupun hanya terletak di atas tanah.


Hidup subur di tempat naung.



Pokok keladi sarawak yang hampir matang.


Sudah boleh dituai.


Sepohon keladi sarawak yang dituai.


Umbisi-umbisi yang dihasilkan dari sepohon
pokok keladi sarawak.


Pandangan dari dekat. Hanya umbisi-umbisi yang yang dihasilkan
dari pokok induk yang boleh dimakan.


Hasil yang dituai dari sepokok keladi sarawak. Umbisi ini mempunyai
mata tunas di hujungnya dan boleh disemai untuk mendapatkan pokok baru.


Pokok keladi sarawak yang telah dituai bersama umbisi induknya.
Umbisi ini tidak dimakan dan akan dijadikan bahan penanaman baru.


Pokok induk yang ditanam semula dan akan 
menjadi pokok keladi sarawak yang baru.


Ini bukan keladi sarawak walau pun hampir serupa.  Ia dipanggil keladi gajah
yang hanya dijadikan tanaman hiasan.
Umbisinya tidak boleh dimakan kerana beracun.


Sehelai daun keladi sarawak.


Sehelai daun keladi gajah.
Perhatikan perbezaannya.

Keladi sarawak mudah ditanam di sekeliling rumah dan mudah mengeluarkan hasil.
Sekiranya pokoknya subur ia boleh memberikan hasil yang banyak. Ia boleh hidup di kawasan tanah pamah tidak seperti pokok keladi lain yang memerlukan tanah rendah yang lembap.

Salam bertani.









Catat Ulasan