Selasa, 22 Mac 2016

Tanaman Getah: Musim Luruh di Malaysia.

Salam bertani.

Bunyi tajuk entri ni agak pelik. Mana ada musim luruh di Malaysia. Sekarang musim panas . Tetapi bagi pekebun-pekebun yang mengusahakan tanaman getah tajuk ini tidak pelik. Memang ada musim luruh setahun sekali bagi pokok -pokok getah. Ini berlaku di mana ke semua pokok getah dewasa akan menggugurkan daun-daunnya sehingga menjadi gondol.

      Biasanya pokok getah dewasa akan mula menggugurkan daun-daunnya apabila bermulanya musim panas setiap awal tahun (bulan Februari hingga Mac). Semasa musim luruh pokok getah masih mengeluarkan hasil yang banyak sehinggalah pokok gondol. Apabila pokok getah mengeluarkan pucuk muda , penoreh getah akan berhenti menoreh kerana hasil getah akan berkurangan sehingga enam puluh peratus. Ini kerana makanan yang digunakan tidak menghasilkan susu getah tetapi untuk pengeluaran pucuk baru dan bunga getah.

     Apabila musim luruh berakhir, pokok getah dewasa akan gondol lebih kurang dua minggu sebelum mengeluarkan pucuk baru dan bunga pokok getah. Ini juga menandakan musim bunga bagi pokok-pokok buah-buahan bermusim akan bermula.


Daun pokok getah akan bertukar warna perang.



Daun perang akan gugur kesemuanya.


Musim luruh di kebun getah
(proses daun gugur)


Pokok getah akan menjadi gondol


Kesemua pokok akan menggugurkan daun.


Pemandangan waktu senja di kebun getah
semasa musim luruh.


Daun getah yang berguguran.


Menutupi jalan.


Memenuhi kolam


Menutupi parit.


Mula mengeluarkan pucuk baru dan bunga
selepas dua minggu gondol.


Pucuk baru dan bunga getah keluar serentak.



Selepas beberapa minggu.



Sepohon getah dewasa dengan daun baru selepas
musim luruh.

 Kebanyakan pokok getah dewasa sedang mengeluarkan pucuk muda dan bunga dan sebahagiannya masih gondol mengalami musim luruh. Sekarang adalah masa kritikal bagi penoreh getah kerana hasil torehan akan berkurangan dengan banyaknya. Keadaan kebun getah yang sangat panas kerana musim kemarau dan pokok gondol menyebabkan susu getah yang ditoreh akan cepat membeku. Pokok getah yang berdaun muda juga kurang mengeluarkan susu.

       Bagi penoreh-penoreh di ladang getah biasanya mereka akan berhenti menoreh dan melakukan kerja-kerja lain. Pekebun-pekebun kecil yang tiada pendapaan lain akan tetap menoreh getah walaupun hasil yang mereka perolehi sangat berkurangan. Apatah lagi dengan harga getah yang sangat rendah sekarang (RM1.80 sekg) semakin membebankan penoreh getah di negara kita. Hasil penorehan akan stabil seperti sediakala selepas tiga bulan musim luruh berakhir. Kebun getah "Warisan Petani" sedang direhatkan selama tiga bulan dari aktiviti penorehan.

Salam bertani.





Catat Ulasan