Isnin, 7 Mac 2016

Pokok Paku Midin.

Salam bertani,

Pokok paku midin merupakan tumbuhan liar yang melata dan banyak terdapat di dusun buah-buahan dan kebun kelapa sawit "Warisan Petani". Ia boleh dikategorikan sebagai rumpai di kebun tanaman kerana sangat mudah membiak dan menggunakan baja yang diberikan kepada pokok yang ditanam. Pertumbuhan pokok paku midin yang tidak dikawal boleh menyebabkan tanah menjadi tidak subur dan membantutkan pertumbuhan tanaman. Rumpunan pokok paku midin mempunyai satu lapisan akar yang tebal dan boleh menutup permukaan tanah menyebabkan kesuburan pokok buah-buahan dan kelapa sawit terjejas.Ia juga boleh memanjat batang pokok buah-buahan dan kelapa sawit. Pokok paku midin perlu dikawal dengan menggunakan racun rumpai yang sesuai.

    Terdapat satu kawasan di dusun buah-buahan di mana pokok paku midin dibiarkan hidup untuk dituai hasilnya. Terdapat dua jenis pokok paku midin iaitu yang pucuknya berwarna merah dan hijau.
Pucuk midin yang berwarna hijau lebih enak berbanding yang berwarna merah.

    Pokok paku midin sangat mudah membiak melalui pucuk yang tumbuh dari perdu pokok. Ia juga boleh merebak ke serata tempat melalui sporanya. Pokok paku midin sesuai hidup di kawasan rendah yang lembab dan mempunyai bahan organik yang tinggi seperti tanah gambut.




Pucuk paku midin merah.


Pucuk paku midin hijau.


Pucuk yang sesuai dituai.


Pucuknya berwarna merah dan bertukar
menjadi hijau apabila tua.


Pucuk hijau yang lebih enak dijadikan sayuran.


Rumpunan paku midin yang dibiarkan
hidup di dusun buah-buahan.



Sentiasa mengeluarkan pucuk muda.



Pertumbuhannya perlu dikawal supaya
tidak memenuhi kawasan kebun.


Seikat pucuk paku midin yang dijual
di pasar tani. Harganya seringgit.


Pucuk paku midin goreng belacan.


    Pucuk paku midin merupakan sayuran kampung dan juga ulaman yang mempunyai pelbagai khasiat. Ia biasanya  dimasak tumis, masak lemak atau dicampurkan dengan bubur lambuk. Pucuk paku midin merah tidak sesuai dimasak berkuah kerana kuahnya akan berwarna merah seperti darah. Pucuk paku midin dikatakan boleh mengawal masalah rabun dan cirit birit.

Salam bertani.

Catat Ulasan