Ahad, 13 Mac 2016

Baja Tanaman 3 : Baja NPK Merah

Salam bertani.

Baja NPK merah merupakan baja kimia yang mengandungi unsur Kalium yang paling tinggi. Biasanya melebihi 20%. Baja ini digunakan kepada pokok-pokok dewasa yang sedang mengeluarkan hasil seperti pokok buah-buahan, sayur-sayuran berbuah, kelapa sawit, kelapa, padi, kopi, koko dan lain-lain.

   Seperti yang kita ketahui, peranan unsur Kalium adalah untuk menggalakkan pengeluaran bunga dan buah selain daripada memberikan rintangan terhadap penyakit tumbuhan. Untuk mempastikan kualiti buah yang dihasilkan tinggi dan mengikut standard yang ditetapkan, penggunaan baja NPK merah yang mengandungi unsur Kalium yang tniggi sangat diperlukan.

   Penggunaan baja NPK merah semasa pokok berbuah perlu mengikut garis panduan yang betul terutama dari segi kuantiti yang diperlukan dan masa yang sesuai untuk membaja supaya tidak merosakkan hasil yang sedia ada.



Contoh satu beg baja NPK merah 50 kg.
Beg baja berwarna merah.


Kandungan NPK ditulis sebagai 12/6/24


Mengandungi unsur-unsur berikut:
12% Nitrogen
06% Phosfur (posporus)
24% Kalium
03% Magnesium
+TE  unsur-unsur kecil


Sejenis lagi baja NPK merah yang biasa digunakan
untuk pokok kelapa sawit dewasa.


Kandungannya ditulis 10 - 0 -25 - 4 - 0.5% B2O


Maksudnya baja ini mengandungi:
10% Nitrogen
0% Phosfur (tidak mengandungi)
25% Kalium
4% Magnesium
0.5% Boron



Contoh baja pokok getah dewasa yang dibekalkan oleh RISDA kepada
pekebun kecil getah secara percuma.
Mengandungi 10% Nitrogen, 6% Phosfur dan 21% Kalium.
Kalium yang tinggi diperlukan untuk mempastikan pokok getah dewasa menghasilkan susu
getah yang banyak dan berkualiti.

 

Baja sebatian cap kepala ayam ini juga merupakan baja NPK merah
yang sesuai untuk penggalakkan hasil buah yang banyak dan berkualiti.


Kandungan unsur NPK menunjukkan 22% Kalium.

  Pokok pokok dewasa yang telah mengeluarkan hasil memerlukan kurang  unsur Nitrogen dan Phosfur. Nitrogen yang berlebihan menyebabkan pokok akan 'mabuk daun' dan sentiasa mengeluarkan pucuk muda. Ini menyebabkan pokok-pokok yang sepatutnya berbunga tidak berbunga tetapi mengeluarkan pucuk baru walaupun telah tiba musim berbuah.

Phosfur juga tidak diperlukan dengan banyak, malah ada baja NPK merah yang tidak mengandungi unsur phosfur langsung seperti baja keluaran BM (Behn Meyer) di atas. Biasanya pokok-pokok buah-buahan telah diberikan baja NPK hijau (15:15:15) selepas musim berbuah dan tidak perlukan unsur phosfur semasa berbuah (atau perlu sedikit sahaja)

Ada pekebun yang hanya menggunakan baja Kalium sahaja (baja tunggal) untuk membekalkan unsur Kalium yang tinggi kepada pokok-pokok dewasa bagi penggalakkan pengeluaran bunga dan buah. Contoh baja tunggal yang hanya mengandungi Kalium sahaja ialah Muriate of Potash (MOP). Kandungan Kaliumnya ialah 60%.

Salam bertani.









Tiada ulasan:

Catat Ulasan