Khamis, 30 Jun 2016

Pokok Serai.

Salam bertani.

Pokok serai atau serai makan sepatutnya ditanam oleh setiap penghuni rumah terutama yang tinggal di kampung atau yang mempunyai sedikit kawasan hijau. Ini kerana batang serai sering diperlukan untuk dijadikan perisa masakan kita . Pokok serai boleh ditanam di atas tanah, pasu atau polibeg. Ada serumpun tanaman serai pun sudah mencukupi untuk keperluan sendiri dan boleh dituai bila-bila diperlukan. Sekiranya dijaga dengan baik, perdu serai sentiasa bertambah darir rizom baru yang tumbuh dan jangka hayatnya juga panjang.

Ada dua jenis serai makan iaitu serai kampung dan serai gajah@ peha ayam. Bezanya serai gajah mempunyai rizom yang lebih besar tetapi aromanya agak kurang jika dibandingkan dengan serai kampung. Untuk perisa masakan kita, serai kampung lebih sesuai digunakan walaupun saiznya agak kecil. Daun serai pula biasanya digunakan untuk mencuci ikan air tawar untuk menghilangkan bau hanyir dan menanggalkan sisik-sisik ikan tersebut.

Serai makan mudah ditanam melalui rizomnya.Rizom serai yang kita beli di pasar juga boleh dijadikan bahan penanaman. Sebelum ditanam, pangkal rizom serai perlu direndam lebih kurang tiga hari sehingga akar-akar baru terbentuk. Tanam sekurang-kurangnya tiga rizom di tempat yang disediakan.

Dalam bulan Ramadhan dan menjelang Syawal ini, serai makan menjadi salah satu keperluan wajib untuk dijadikan perisa pelbagai juadah masakan dan minuman. Sekiranya kita ada menanam sendiri tentulah mudah untuk kita menuai bila-bila masa diperlukan dan lebih segar daripada yang dibeli di pasar raya atau pasar basah. Lagi pun kita boleh menanam secara organik berbanding tanaman serai ladang yang menggunakan pelbagai bahan kimia seperti baja dan racun perosak jenis serap/sistemik.


Pokok serai yang baru ditanam  di tepi pagar rumah



Serai dewasa di luar pagar.


Hidup subur bersama tanaman lain.


Hidup di belakang dapur.


Juga di tepi pagar.


Di tepi longkang


Dua perdu serai bersama pokok pucuk manis.


Serai yang dituai.
6 - 7 batang seikat dijual RM1.00 di pasar tani.

Serai juga merupakan tanaman herba yang mengandungi pelbagai khasiat perubatan dan penjagaan kesihatan. Ia dikatakan menpunyai bahan anti kanser, anti kulat dan anti bakteria. Ia juga digunakan untuk meredakan penyakit yang berkaitan dengan sistem pencernaan kita. Serai juga boleh menurunkan kadar kalesterol dan tekanan darah kita serta banyak lagi manfaatnya. Sekarang sudah ada produk-produk berasaskan serai dan minyak serai yang lebih mudah kita gunakan.

Tanamlah serai untuk kegunaan kita sendiri.
Salam bertani.



Catat Ulasan