Khamis, 23 Jun 2016

Pokok Kesum.

Salam bertani.

Pokok kesum merupakan sebahagian daripada tanaman yang ditanam di kebun sayur WP dan ada sedikit di belakang rumah. Pokok kesum merupakan tumbuhan herba renek berbatang lembut yang mudah ditanam menggunakan keratan batang pucuk muda. Ia memerlukan tanah yang lembap terutama yang ada punca air.

    Kebanyakan pokok kesum hidup di kawasan yang ada sumber air terutama di kawasan kumbahan di belakang rumah atau di kawasan cucuran air paip atau air hujan.WP menanam pokok kesum di atas batas seperti pokok sayuran lain yang terjamin kebersihannya daripada sebarang pencemaran. Selain itu pokok kesum boleh di tanam di dalam pasu dan polibeg  tetapi memerlukan penyiranan yang kerap. Teknik terbaharu, pokok kesum sekarang  ditanam secara hidrophonik, aquaphonik dan fertigasi.

Hasil pokok kesum ialah daun dan batang mudanya (pucuk) yang digunakan sebagai ulaman atau bahan penambah perisa masakan terutama masakan lauk asam pedas. Rasanya yang masam dan kelat  dan aromanya yang tersendiri dapat menghilangkan bau hanyir masakan ikan air tawar. Daun kesun juga dijadikan bahan perasa dalam kuah laksa dan nasi kerabu.


Pucuk pokok kesum yang sesuai dijadikan bahan masakan.


Pokok kesum yang hidup subur di belakang rumah.
Pokok kesum juga mengeluarkan bunga.


Pokok kesum ditanam secara batas di kebun sayur.


Di tanam di kawasan tanah gambut yang kaya dengan bahan organik
dan dekat dengan sumber air bersih.


Cepat membiak dengan cara pertumbuhan ranting baru dan boleh mengeluarkan
akar di bahagian batangnya. Pokok yang kerap dituai lebih cepat mengeluarkan pucuk baru.


Pokok kesum juga mempunyai khasiat herba selain mengandungi pelbagai vitamin yang diperlukan oleh badan. Potensi besar daun kesum kerana ia boleh dijadikan bahan industri untuk dijadikan perisa makanan dan juga wangian. Ia juga boleh dijadikan bahan pencuci rambut untuk menghilangkan kelemumur selain berguna untuk kaum wanita juga.

Tanamlah pokok kesum walau pun sedikit untuk kegunaan sendiri dan terjamin kebersihannya.

Salam bertani.
Catat Ulasan