Isnin, 6 Jun 2016

Pokok Kacang Botor 1

Salam bertani dan salam Ramadhan.

WP ada menanam beberapa pokok kacang botor di belakang rumah untuk kegunaan sendiri. Ia juga dipanggil kacang kelisa, kacang botol dan kami biasa memanggilnya kecipir. Hasil utamaanya ialah buah kacang botor yang boleh dijadikan ulaman dan sayuran. Daun muda kacang botor juga boleh dijadikan sayuran seperti memasak bayam atau kangkung.

Pokok kacang botor merupakan tumbuhan kekacang  separa saka yang melilit dan memerlukan junjungan atau para. Ia juga biasanya ditanam sebagai pokok pagar yang melilit dan memanjat pagar rumah. Ia boleh hidup beberapa tahun dan mengeluarkan buah hingga beberapa musim. Pokok kacang botor dibiakkan melalui semaian biji benih yang boleh didapati daripada buah matang.

Bagi penanam sayur-sayuran, pokok kacang botor ditanam sebagai tanaman giliran kerana ia dapat mengikat nitrogen di dalam tanah daripada bakteria yang terdapat di akarnya. Penanaman sayuran kekacang dapat menambahkan kesuburan tanah.

Untuk menggalakkan pokok kacang botor berbunga dan berbuah lebat, sebahagian daunnya yang rimbun perlu dibuang kerana pokok ini biasanya mabuk daun. Buah kacang botor perlu dituai semasa muda kerana ia masih lembut dan kurang berserat.


Sepokok kacang botor yang melilit junjungan.


Tanaman kacang botor melilit para kayu.


Sudah mengeluarkan hasil.


Kudup bunganya berwarna putih.


Bunga yang berkembang berwarna biru muda.
Setangkai menghasilkan beberapa kuntum bunga.


Putik muda kacang botor yang terhasil daripada bunganya.


Sentiasa mengeluarkan bunga dan buah.


Buah muda kacang botor


Buah kacang botor yang sudah boleh dituai.


Buah yang lewat dituai akan menjadi keras dan berwarna hijau tua.
Boleh disimpan untuk mendapatkan biji kacang botor.


Buah kacang botor yang dijual di pasar tani.
RM1.00 seikat.

Selain dijadikan sayuran dan ulaman, pokok kacang botor juga mempunyai nilai herba yang boleh meredakan pelbagai penyakit seperti demam campak, ulser kulit, bisul, mencuci mata dan lain-lain.
Tamanlah pokok kacang kelisa untuk mendapatkan hasilnya.

Salam bertani.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan