Rabu, 13 Julai 2016

Tajur.

Salam bertani.

Sepanjang hari raya kita menjamu selera dengan pelbagai juadah berat seperti ketupat, lemang, masakan daging, ayam dan pelbagai juadah lagi. Selepas raya ni WP bercadang untuk mencari kelainan dalam masakan. Jadi WP memasang tajur di sungai sementara mengembala ternakan lembu.

Tajur merupakan alat menangkap ikan yang ringkas seperti pancing. Tajur diperbuat daripada batang buluh atau kayu, tali tangsi, batu ladung dan mata kail. Setelah diletakkan umpan tajur dipasangkan di tempat yang sesuai di tebing sungai. Bezanya tajur dengan memancing ialah kita tidak menunggu sehingga ikan meragut umpan dan menyembatnya. Tajur dipacakkan di tepi sungai semalaman atau beberapa jam dan kita tinggalkan tanpa menunggunya. Bolehlah kita melalukan kerja-kerja lain dan tidak membuang masa seperti si kaki pancing. Tajur akan dilihat pada awal pagi atau selepas selesai melakukan tugas-tugas lain.

    Umpan tajur biasanya WP menggunakan cengkerik hidup, sotong atau anak katak sawah. Biasanya umpan tajur akan ditenggelamkan, tetapi untuk menajur ikan haruan umpan harus timbul kerana ikan haruan akan menyambar umpan.


Tajur yang dipasang


Hanya menggunakan batang buluh, tali tangsi, batu ladung  dan mata kail.


Menggunakan umpan cengkerik hidup yang ditenggelamkam.
Tajur ditinggalkan beberapa jam atau semalaman.




Tajur yang disambar ikan


Ikan yang menyambar umpan akan tersangkut di mata kail.


Tajur dah mengena.



Ikan dibiarkan hingga lemah sendiri.


Hasilnya.
Seekor ikan patin sungai.


Seekor ikan lampam jawa.


Yang paling ditunggu. Ikan baung sungai.


Menu makan tengah hari.
Ikan baung sungai masak asam.

Tradisi menajur sudah jarang-jarang dilakukan. Kaki pancing lebih gemar memancing ikan cara moden kerana hendakkan feel melawan ragutan ikan. Walau bagaimana pun memasang tajur jarang menghampakan, tidak seperti si kaki pancing yang biasa pulang dengan tangan kosong.

Salam bertani.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan