Selasa, 23 Februari 2016

Pokok Ubi badak.

Salam Bertani.

Pokok ubi badak ialah jenis pokok berbatang lembut yang hidup melilit pada junjungan atau pokok lain. Ia menghasilkan umbisi di dalam tanah yang boleh dimakan sama ada dijadikan sayuran, direbus, dibuat kuih ataupun kerepek.

   Terdapat dua jenis ubi badak yang dibezakan dari warna umbisinya iaitu ubi badak putih dan ubi badak unggu. Orang-orang di pantai timur kadang kala memanggilnya ubi besar tetapi orang-orang Jawa di sini memanggilnya pokok buah uwi. Ia merupakan pokok ubi tahunan dan boleh dituai hasilnya apabila pokoknya kering dan mati.

    Buah ubi badak tahan lama disimpan sama ada dibiarkan di dalam tanah atau buah yang telah dituai disimpan di tempat yang kering. Anak benih pokok ubi badak  boleh didapati daripada buahnya yang terdapat di atas pokok berbentuk seperti ubi kentang. Buah ini biasanya tidak dimakan dan hanya disemai untuk mendapatkan anak benih sahaja.

    Terdapat banyak pokok ubi badak unggu yang ditanam di kebun "Warisan Petani" untuk kegunaan sendiri dan dijual di pasar tani. Harga sekilogram ubi badak unggu lebih kurang RM5.00 dan sepokok ubi badak boleh mengeluarkan hasil sehingga lima kilogram. Pendatang Vietnam amat gemar membeli buah ubi badak ini.


Sepohon ubi badak ungu dewasa yang memanjat junjungan.
Perhatikan buah-buah kecil yang tergantung di junjungan.


Buah ubi badak yang tergantung di hujung dahan.
Saiznya sebesar ubi kentang.


Buah ubi badak  ini hanya sesuai disemai untuk mendapatkan anak benih.
Biasanya tidak dimakan dan akan gugur apabila pokoknya kering/mati.


Bentuk buah yang misteri dan boleh ditafsirkan.


Anak benih ubi badak yang tumbuh dari buah udara yang disemai.


Anak benih pokok ubi badak yang sedang membesar.
Perlukan junjungan untuk ia melilit.


Sehelai daun ubi badak unggu.


Buah dari sepohon ubi badak unggu yang dituai.
Buah ini perlu digali di dalam tanah.


Buah dari sepohon ubi badak yang lain.
Isinya berwarna unggu.. 


Pengat ubi badak.

Buah ubi badak yang dituai dari dalam tanah boleh direbus atau dikukus seperti ubi keladi. Isinya lembut, empuk dan agak manis serta mengandungi banyak kanji. Ia sangat sesuai dibuat pengat dan dicampur bahan lain seperti tepung sagu, labu manis, ubi kayu, ubi keladi, pisang nipah dan isi nangka. Ia juga boleh dijadikan kuih koleh, kuih bingka dan dimasak lemak. Buah ubi badak juga boleh dijadikan kerepek.

Sangat mudah menanam pokok ubi badak semudah sistem 3T (tanam, tinggal dan tuai). Tidak perlu pembajaan yang kerap, tidak perlu penyiraman dan tiada musuh perosak (kecuali babi hutan). Marilah menanam pokok ubi badak sebagai pokok hiasan dan boleh mendapatkan hasil apabila tiba masanya.

Salam bertani.

1 ulasan: