Selasa, 12 Julai 2016

Sayuran Kampung : Pokok Meranti.

Salam bertani.

Salah satu jenis sayuran kampung yang ditanam di kebun WP ialah pokok meranti. Pokok meranti merupakan tumbuhan renek berbatang lembut yang mudah tumbuh di tempat yang kaya dengan bahan organik dan terdedah kepada cahaya matahari. Bahagian pokok meranti yang dijadikan sayuran ialah pucuk mudanya dan juga buah meranti. Anak benih pokok meranti hidup melalui biji benih yang disemai atau tumbuh sendiri.

        Pokok sayuran meranti yang biasa ditanam ada dua jenis iaitu meranti kecil dan meranti gajah. Bezanya pokok meranti kecil mempunyai batang yang agak kecil dan keras serta daunnya agak kecil jika dibandingkan dengan daun meranti gajah. Pokok meranti gajah mempunyai batang yang agak lembut dan berair serta daun yang lebar tertapi rasanya kurang pahit berbanding daun meranti kecil.
Pokok meranti kecil lebih tahan dan pucuknya boleh dituai berulang kali. Buah meranti gajah lebih besar (seakan-akan buah terung pipit) dan biasanya dipanggil terung meranti yang oleh dijadikan ulaman.

Pokok meranti gajah sudah hampir pupus sekarang dan di kebun WP hanya ada menanam meranti kecil sahaja yang boleh dituai pucuknya untuk dijadikan sayuran. Pucuk meranti rasanya agak pahit dan enak dijadikan masakan seperti masak lemak campur dengan keledek, masak tumis kering bersama udang kering, masak bening (sup) dan boleh juga dibuat urap.


Anak benih pokok meranti


Hidup subur di tanah yang kaya dengan bahan organik.
(tanah gambut)


Pucuk meranti yang sesuai dituai.


Pokok meranti yang ditanam di atas batas.
(seperti menanam kangkung atau sawi)


Pucuk yang kerap dituai akan mengeluarkan pucuk baru.


Buah meranti muda.


Buah meranti hampir matang.


Buah meranti matang berwarna hitam.
Mengandungi banyak biji benh yang boleh disemai.


Pokok meranti yang tumbuh di belakang rumah.


Selepas dituai.


Pokok meranti kecil dewasa. Mempunyai batang yang kecil, agak berkayu dan daunnya
lebih kecil tetapi lebih pahit berbanding meranti gajah.

Selepas menjamu pelbagai juadah berat sempena hari raya, cubalah pula masakan sayuran kampung yang ringkas tetapi mengandungi pelbagai khasiat kesihatan dan perubatan.

Salam bertani.


Catat Ulasan