Selasa, 19 Julai 2016

Tanaman Pisang 9 : Pisang Nipah.

Salam Bertani,

Ada beberapa perdu pokok pisang nipah yang ditanam di kebun WP. Ada yang baru ditanam dan ada perdu yang sudah lama. Ada tempat yang memanggil pisang nipah sebagai pisang abu tetapi kami masyarakat Jawa JDT memanggilnya pisang kepok/kapok.

Tanaman pokok pisang nipah baru mula berkembang semula di JDT setelah lebih sepuluh tahun mengalami penyakit rosot pisang iaitu selepas JDT dilanda banjir besar dahulu. Penyakit rosot pisang menyebabkan pokok pisang nipah akan layu dan mati manakala isi buahnya menjadi hitam sebelum matang dan tidak boleh dituai. Semasa serangan penyakit pisang, bekalan buah pisang nipah di JDT dibekalkan dari Perak, Selangor malah Sabah juga. Ini menyebabkan harganya meningkat dari RM 1.00 sekg kepada RM3.50 sekg sekarang.


Masyarakat jawa JDT amat menggemari buah pisang nipah untuk dijadikan pisang goreng dan kerepek pisang. Walaupun ada pisang lain yang boleh digoreng seperti pisang tanduk, pisang nangka, pisang raja dan pisang lilin tetapi permintaan terhadap pisang nipah untuk dijadikan pisang goreng tetap tinggi. Ini kerana rasanya yang manis, struktur buahnya lembut dan tidak menyerap minyak apabila digoreng. Pisang nipah goreng biasanya akan dimakan panas-panas bersama sambal kicap.

Jantung pisang nipah paling sesuai dan enak dijadikan ulaman dan sayuran kerana rasanya yang manis dan tidak kelat seperti jantung pisang lain. Ia biasanya dicelur/rebus sahaja dan dimakan bersama-sama sambal belacan.

Pokok pisang nipah adalah antara pokok pisang yang besar dan tinggi tetapi sebenarnya ada dua jenis pokok pisang nipah. Pokok yang besar dan tinggi menghasilkan tandan yang panjang dan buah yang banyak serta rapat susunannya. Isinya berwarna putih dan kurang manis. Sejenis lagi pokoknya sederhana tinggi, tandannya pendek dan buahnya lebih bulat dan jarang. Isi buah matangnya berwarna kuning , rasanya lebih manis dan lebih sedap digoreng atau dibuat kerepek pisang.



Sepoho pokok pisang nipah dewasa yang sudah mengeluarkan sulur.
Batang pokok pisang nipah yang sihat berwarna hijau dan berkilat.


Sulur pisang nipah yang baru ditanam.


Anak pokok pisang nipah mula mengeluarkan daun.



Pokok pisang nipah muda.



Pokok pisang nipah sudah mengeluarkan sulur (anak pisang)


Pokok pisang nipah yang subur.


Sudah mula mengeluarkan jantung pisang.


Setandan bunga pisang nipah. Bunga pisang nipah menghasilkan nektar yang 
digemari oleh kelulut dan lebah.


Buah pisang nipah muda.



Seperdu pisang nipah yang sudah mengeluarkan hasil


Perdu pisang nipah tahan bertahun-tahun asalkan tidak
terkena penyakit pisang.


Dua tandan pisang nipah yang telah dituai.
Tandan panjang dari pokok yang besar dan
sejenis lagi tandan pendek.


Buah pisang nipah yang dipasarkan.
Sesuai untuk digoreng.


Harga pisang nipah sekarang lebih kurang RM3.50 sekg.
Selain digoreng, buah matangnya boleh dibuat pengat dan yang terlampau masak
boleh dibuat cekodok dan lempeng.


Selain hasil buah pisang nipah dan jantungnya, daun pisang nipah juga boleh dipasarkan. Daun pisang nipah agak lebar dan tebal sesuai dijadikan pembalut  tempe, nasi lemak dan tapai. Semasa kecil dahulu, WP biasa menggunakan batang pisang nipah untuk dijadikan rakit atau getek yang digunakan semasa banjir atau untuk menyeberang sungai.

Kalau ada kawasan yang sesuai, tanamlah pokok pisang nipah untuk kegunaan sendiri atau komersial.
Salam bertani.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan