Ahad, 17 Julai 2016

Pokok Rumput Palestin.

Salam bertani.

Kami memanggilnya pokok rumput palestin tetapi ada sesetengah tempat memanggilnya pokok sarang emas. Tentu ada sebab mengapa rumpai ini dipanggil begitu. Ia digelar rumput palestin kerana hidupnya yang sering menjadi parasit kepada pokok rumput israil. Ia digelar sarang emas kerana keseluruhan pokok ini berwarna kuning seperti emas.

   Pokok rumput palestin merupakan sejenis rumpai parasit yang unik kerana ia tidak mempunyai daun, tiada klorofil dan tidak mempunyai akar. Ia dikatakan membiak melalui biji benih yang didapati daripada bunganya. Struktur pokoknya merupakan sulur batang yang melilit, berpaut, menjalar dan bercabang. Ia juga boleh memanjat pokok perumahnya. Keseluruhan struktur pokoknya berwarna kuning dan amat digemari oleh burung-burung untuk membuat sarang.

Pokok rumput palestin tidak mempunyai akar dan tidak bersaing dengan tanaman untuk menggunakan nutrien di dalam tanah. Struktur pokoknya yang melilit perumah mempunyai penyedut khas yang mampu menyedut nutrien dan sumber air dari pokok perumah. Sebab itu ia dikategorikan sebagai tumbuhan parasit seperti dedalu.

Pokok ini amat gemar menjadikan pokok rumput israil sebagai pokok perumah kerana struktur batang dan daun pokok israil yang lembut dan berair memudahkannya menyerap nutrien dan air dari pokok perumah itu. Pokok israil yang menjadi perumah akan menjadi kurus dan akhirnya akan mati. Apabila pokok perumahnya mati pokok rumput palestin ini juga akan mati. Seolah-olah macam perjuangan rakyat Palestin menentang rejim zionis Yahudi (Israel).

Gambar-gambar pokok rumput palestin di bawah diambil daripada kebun buah-buahan WP. Pokok rumput palestin ini memang dibiarkan hidup untuk mengawal pertumbuhan rumput israil dan rumpai lain secara biologikal. Hakikatnya pokok rumput palestin ini tidak menjadi pesaing kepada tanaman kita malah berguna kerana dapat mengawal pembiakan rumpai lain. Walau bagaimana pun, pertumbuhan pokok rumput palestin ini perlu dikawal supaya tidak melilit pokok tanaman kecil atau pokok sayur-sayuran.



Inilah rupa pokok rumput palestin.


Menjadikan pokok rumput israil dan selaput tunggul sebagai perumah.


Cepat membiak melalui struktur batang yang boleh melilit dan menjalar.


Menjadikan pokok kekacang penutup bumi sebagai perumah.


Memenuhi ruang pokok perumah.


Menyerap nutrisi dan sumber air daripada pokok perumah
melalui penyedut khas di batangnya.


Gambar dekat menunjukkan struktur pokok rumput palestin
melilit pokok perumah.


Hanya hidup di atas pokok perumah untuk mendapatkan bekalan
cahaya matahari yang maksimum.


Tidak mempunyai akar yang tumbuh ke dalam tanah.


Pokok perumah menjadi kurus dan daunnya kekuningan.


Daapat mengawal pertumbuhan pokok israil dengan baik.


Pokok rumput israil menjadi kekuningan.


Struktur pokok rumput palestin digemari oleh burung untuk membuat sarang.


Pucuk pokok rumput palestin yang cepat menjalar dan bercabang.


Kelihatan daun pokok kekacang, pokok israil dan pokok selaput tunggul
yang kering dan mati. Juga batang pokok rumput palestin yang mati kerana 
sumber nutrisi dan air dari pokok perumah sudah tiada.

Begitulah uniknya pokok rumput palestin.Walaupun ia adalah tumbuhan parasit tetapi pertumbuhannya boleh dimanfaatkan oleh petani untuk mengawal rumpai secara biologikal.
WP belum mengetahui sama ada pokok rumput palestin ini ada nilai herba atau pun tidak.

Salam bertani.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan