Sabtu, 13 Februari 2016

Tanaman Pokok Kantan.

Salam bertani.

Terdapat banyak rumpun pokok kantan di belakang rumah "Warisan Petani" yang hidup subur dan sentiasa mengeluarkan bunganya. Pokok kantan merupakan tumbuhan herba yang hidup berumpun seperti pokok lengkuas atau pokok halia. Rumpunnya sentiasa bertambah dari anak pokok yang tumbuh melalui rizomnya. Bunga pokok kantan juga tumbuh melalui rizom pokok yang terdapat di dalam tanah.

   Pokok kantan boleh hidup subur di kawasan rendah asalkan tidak menakung air.Ia juga memerlukan sedikit naungan dan boleh ditanam di kawasan dusun buah-buahan.

   Pokok kantan biasanya dibiakkan melalui keratan rizom dari sebatang pokok. Anak-anak pokok akan muncul dari rizom tersebut setelah beberapa minggu disemai. Anak pokok kantan boleh juga disemai melalui biji benih kantan yang matang. Bunga kantan yang tidak dituai akan mengeluarkan buah kantan yang mengandungi biji benih yang boleh disemai tetapi pertumbuhannya agak lambat.

   Hasil tanaman pokok kantan ialah bunganya. Bunga kantan merupakan sayuran herba yang biasa digunakan sebagai ulaman nasi kerabu, kuah laksa, nasi ulam dan sebagai bahan perasa dan penambah aroma (untuk menghilangkan bau hanyir) dalam masakan ikan asan pedas.



Anak benih pokok kantan dalam polybag.
Disemai melalui biji benih.

Keratan rizom pokok kantan yang sesuai dijadikan
bahan penanaman.

Pokok kantan dewasa mengeluarkan rizom sebagai pokok baru 
atau kudup bunga.

Rumpunan pokok kantan dewasa.

Serumpun pokok kantan yang 
telah mengeluarkan hasil.

Bunga kantan akan dituai setiap minggu.

Bunga kantan yang sesuai dituai.

Bunganya perlu dituai sebelum berkembang.


Sekuntum bunga kantan yang sesuai dituai.


Sekuntum bunga kantan yang cantik.
Sudah tidak sesuai dituai dan boleh dibiarkan
untuk menghasilkan biji benih.



Buah pokok kantan.
Apabila matang akan menghasilkan biji benih.

Bunga kantan yang dijual di pasar tani.
Seikat seringgit (3 kuntum).

   Selain bunganya yang dijadikan bahan masakan, bahagian-bahagian lain pokok kantan juga mengandungi khasiat perubatan yang telah diamalkan oleh masyarakat kita sejak turun temurun. Ia dikatakan boleh merawat penyakit telinga, dijadikan bahan pembersih luka dan boleh menghilangkan bau badan. Bunganya juga berfungsi sebagai penambah selera makan.

Marilah kita menanam pokok kantan yang mengandungi pelbagai khasiat.
Salam bertani.
Catat Ulasan