Sabtu, 6 Februari 2016

Sayuran Kampung : Pokok Setangki.

Salam bertani.

Pokok setangki merupakan tumbuhan liar yang hidup menjalar terutama di kawasan berair seperti sungai, tali air, kolam dan kawasan sawah padi. Ada juga yang memanggilnya pokok keman air dan kangkung puteri. Pokok  setangki sangat cepat membiak dan merebak dan boleh menyekat aliran air sekiranya tidak dikawal.

   Pokok setangki banyak terdapat di sungai tempat "Warisan Petani" menternak lembu. Lembu-lembu juga gemar meragut pokok setangki terutama yang terdapat di tebing sungai. Rupa bentuk pokok setangki berbeza di antara yang hidup di atas permukaan air dan yang terdapat di darat. Pokok setangki yang hidup di permukaan air mempunyai satu lapisan tisu putih yang menyelaputi batangnya seperti pelampung yang menyebabkan pokok ini boleh terapung. Manakala pokok setangki yang tumbuh di atas darat tidak mempunyai pelampung dan menjalar seperti kangkung.

    Pucuk pokok setangki enak dijadikan gulai masak lemak pekat atau ditumis sahaja. Daunnya agak liat dan berasa seakan-akan petai. Ia juga boleh dicampur dengan masakan lain seperti kari atau masak lemak cili api ikan air tawar, siput atau udang.

   Daun pokok setangki seakan-akan daun pokok semalu dan satu sifatnya yang sama ialah ia akan layu/menguncup apabila disentuh. Pokok setangki mudah dibiakkan melalui keratan batang berakar dan boleh juga disemai melalui biji benih.


Pokok setangki yang hidup di tebing sungai.
Memerlukan tanah yang lembap dan berair.


Pucuk setangki yang hidup di darat.
Sesuai dituai untuk dijadikan sayuran.


Pokok setangki yang menjalar di permukaan sungai.


Batangnya diselaputi tisu putih berfungsi sebagai pelampung.


Hidup subur di kawasan lembap dan berair.


Perlukan kawasan pencahayaan 100 peratus.



Terdapat di kawasan tebing sungai.


Terapung di permukaan air.
Terdapat akar di setiap ruas batangnya.


Terdapat tisu putih di sekeliling batangnya.
Daunnya akan menguncup apabila disentuh.


Bentuk daun pokok setangki.


Pucuk setangki darat tidak mempunyai pelampung dan akar.
Sesuai dijadikan sayuran.


Sekuntum bunga setangki.


Bunganya cantik dan mempunyai dua bentuk dan warna yang berbeza.


Buah pokok setangki.


Buah yang matang mengandungi biji benih yanh boleh disemai.


Sayuran pucuk setangki yang dijual.
Daunnya menguncup.

Pokok setangki juga merupakan tumbuhan herba yang mempunyai pelbagai khasiat perubatan.
Ia dikatakan boleh menjadi penyejuk badan terutama untuk meredakan demam panas. Pokok setangki juga digunakan oleh orang-orang dahulu untuk mengubati penyakit resdung dan masalah telinga. Selamat mencuba.

Salam bertani.


1 ulasan: