Isnin, 1 Ogos 2016

Anak Ayam Kampung.

Salam bertani.

WP ada memelihara ayam kampung dan ayam hutan untuk kegunaan sendiri. Ayam kampung yang dipelihara secara lepas bebas dan akan masuk ke dalam reban pada waktu malam. Ayam kampung biasanya diberi makan jagung hancur dan lebihan dapur. Ayam kampung yang mencapai umur dewasa (5 - 6 bulan) akan disembelih untuk dijadikan santapan keluarga.

  Memelihara ayam kampung tidaklah rumit kerana ia adalah unggas yang tahan lasak dan pandai mencari makanan sendiri. Tugas yang rumit sedikit ialah semasa ayam-ayam betina hendak bertelur. Setiap ibu ayam perlu dibuatkan sarang (tempat bertelur) masing-masing. Sekiranya tidak, ibu-ibu ayam akan berebut-rebut untuk bertelur pada satu tempat, menyebabkan telur-telur akan pecah.

Ibu ayam akan bertelur sebiji sehari pada waktu pagi. Jumlah telur yang dihasilkan adalah di antara tujuh hingga dua belas biji. Telur-telur ayam kampung yang subur (tersenyawa) akan menetas selepas dua puluh satu hari dieramkan. Ibu dan anak-anak ayam yang baru menetas perlu diasingkan dan dikurung di dalam reban didik.


Seekor ibu ayam kampung sedang mengeram.


Telur-telur ayam sudah menetas.
Ibu dan anak-anak ayam dipindahkan ke reban didik.


Anak-anak ayam berumur dua hari.


Sebahagian daripada anak ayam yang menetas.


Seekor anak ayam yang comel.


Anak ayam dijaga oleh ibunya.


Anak-anak ayam sedang menikmati menu yang disediakan.
Dedak pemula(starter ) dan jagung halus.


Sebelas ekor semuanya.


Ada seekor ibu lagi yang masih mengeram.


Ibu ayam ini juga sedang mengeram.
Telurnya akan menetas sehari dua lagi.

Sekarang sudah ada alat khas yang digunakan untuk mengeramkan telur-telur unggas termasuk ayam yang menggunakan kuasa elektrik. Anak-anak ayam yang menetas melalui alat ini perlu dipelihara dengan lebih teliti kerana tidak dijaga oleh ibunya. Mentol khas perlu disediakan untuk anak ayam tersebut  memanaskan badan.

Bagi WP cara pengeraman dan pemeliharaan anak-anak ayam secara semula jadi lebih mudah dan menjimatkan.
Saalam bertani.

Catat Ulasan