Sabtu, 8 Oktober 2016

Pokok Nanas Batu.

Salam bertani.

WP menanam pokok nanas batu hanyalah sebagai tanaman hiasan yang dapat menyerikan kawasan halaman rumah. Selain dipanggil pokok nanas batu, ia juga disebut sebagai pokok nanas hiasan. Pokok nanas batu boleh ditanam di atas tanah seperti nanas biasa dan sesuai juga ditanam di dalam pasu kerana pokoknya tidaklah begitu besar.

Bentuk pokok nanas batu sama sahaja seperti nanas biasa yang ditanam sebagai tanaman buah-buahan. Daunnya lebih kecil, panjang, runcing dan penuh dengan duri. Anak benihnya juga mempunyai daun yang keras serta  banyak duri sehingga menyukarkan kita untuk memegangnya.

Pokok nanas batu boleh dibiakkan melalui sulur anak yang keluar dari rumpunnya. Selain itu  jambul buah dan sulur pangkal buah juga boleh digunakan sebagai anak benih. Buah nanas batu hanyalah sebesar telur ayam dan agak keras apabila matang. Ia mempunyai tangkai buah yang agak panjang. Buahnya berwarna kemerahan semasa muda dan menjadi lebih cerah apabila matang.


Buah nanas batu yang matang.
Mempunyai jambul buah dan sulur pangkal buah yang boleh 
dijadikan anak benih. Jambul dan sulurnya mempunyai daun yang pendek
 dan penuh dengan duri yang tajam.


Seperdu pokok nanas batu yang ditanam
 di atas tanah sebagai pokok hiasan.


Pokok nanas batu yang sudah berbuah.
Buahnya bersaiz kecil dan keras.


Buah nanas batu yang masih muda. Bunganya berwarna unggu
dan mempunyai tangkai buah yang panjang.


Dua biji buah nanas batu. Jambul buah semakin membesar dan
 terbit sulur pada pangkal buahnya.


Sebiji buah nanas batu.



Warna buahnya semakin cerah apabila hampir matang.

Buah nanas batu tidak dimakan kerana saiznya yang sangat kecil dan tidak mempunyai isi. Walau pun ianya hanya ditanam sebagai tanaman hiasan, ia dikatakan mempunyai pelbagai khasiat herba yang boleh menyembuhkan penyakit. Buahnya dikatakan boleh mengubati penyakit batu karang dan pelbagai penyakit lain. Ia juga dapat memberikan perawatan kepada kaum wanita terutama untuk kegunaan kaum ibu selepas bersalin. Waulahualam.

Salam bertani.


Catat Ulasan