Sabtu, 22 Oktober 2016

Buah Kerdas.

Salam bertani.

Kebiasaannya pada setiap pagi Jumaat, WP dan puan isteri akan pergi ke pasar minggu di pekan untuk membeli barang-barang keperluan harian dan juga ikan kucing. Semasa singgah di sebuah gerai menjual sayur-sayuran kampung, WP terpandang buah kerdas. Harganya RM13.00 sekg.

Buah kerdas ini telah mengimbau kenangan lama WP semasa muda bekerja mencari buah kerdas di dalam hutan apabila tiba musimnya. Pokok kerdas sebenarnya  adalah pokok saka liar di dalam hutan yang bersaiz besar dan rendang dan berbuah sangat lebat apabila tiba musimnya. Harga buah kerdas pada masa itu hanyalah 30 sen sekati.

Bagi masyarakat kita, buah kerdas adalah makanan herba yang dijadikan ulaman seperti petai dan jering. Tidak seperti jering, isi buah kerdas agak lembut walau pun sudah tua dan matang. Selain dijadikan ulaman, buah kerdas juga boleh dimasak sambal atau dibuat jeruk. Pucuk daun pokok kerdas juga ada yang memakannya sebagai ulaman.

Generasi sekarang kurang mengenali buah kerdas (genuaq kata orang utara) kerana ianya hampir pupus dan jarang ditanam untuk komersial kerana ia lambat berbuah. Memakan buah kerdas juga akan menyebabkan bau yang kurang menyenangkan pada mulut dan urin kita. Buah kerdas matang tidak boleh dimakan mentah terlalu banyak sekali gus kerana ia mengandungi bahan kapur yang boleh menyekat saluran kencing dan akan menyebabkan pemakannya sukar membuang air kecil.



Inilah rupa buah kerdas yang masih ada kulitnya.


Sebiji buah kerdas yang telah dibuka.


Buah kerdas mengandungi isi yang berpangsa-pangsa dan diselaputi
kulit nipis yang berwarna putih dan keperangan.

Buah kerdas mengandungi nilai herba yang boleh membersihkan buah pinggang, melawaskan kencing dan dapat mengurangkan risiko penyakit kencing manis. Ia juga dikaitkan dengan awet muda. Yang pentingnya amalan memakan buah kerdas sebagai ulaman dengan nasi panas menjadi pembuka selera semasa kita menghadapi hidangan.

Salam bertani.

Catat Ulasan