Jumaat, 16 Disember 2016

Pokok Pandan Wangi

Salam bertani.

Ada beberapa rumpun pokok pandan wangi yang WP tanam di belakang rumah dan di kebun kelapa sawit hidup dengan subur walaupun tanpa jagaan yang rapi. Pokok pandan tumbuh berumpun dan cepat membiak terutama di kawasan yang separa naung dan lembap seperti di kebun kelapa sawit. Ia mudah dibiakkan dengan cara keratan batang, pembahagian rumpun atau pun menggunakan anak pokok yang banyak tumbuh melalui batangnya yang berakar.

Hasil utama pokok pandan wangi adalah daunnya yang berwarna hijau dan mengeluarkan aroma yang tersendiri dan banyak digunakan dalam masakan/makanan masyarakat kita. Daun pandan juga mempunyai nilai herba yang boleh digunakan sebagai sumber perawatan dan juga sebagai bahan kosmetik.

Kegunaan utama pokok pandan wangi adalah daunnya yang berfungsi  sebagai bahan penambah aroma dalam makanan dan juga minuman. Daun pandan wangi digunakan dalam masakan nasi lemak, kuih muih dan bubur kacang. Ia juga dijadikan bahan pembalut ikan, ayam atau daging untuk dibakar, pembalut kuih tepung pelita,  kek pandan dan dijadikan bahan pewarna asli kuih muih. Daun pandan wangi juga dapat menambahkan perisa dalam minuman air sirap. Daun pandan wangi juga dikatakan dapat mengawal lipas di dalam rumah dan digunakan juga sebagai bahan penghilang bau buah durian terutama di dalam kereta.


Seperdu pokok pandan wangi  dewasa.


Anak-anak pokok pandan wangi yang tumbuh melalui
batang pokok induk. 
Boleh dijadikan anak benih.


Daun pandan wangi banyak kegunaannya.


Pokok pandan wangi yang hidup di kebun kelapa sawit.


Subur menghijau walaupun kurang penjagaan.


Hidup subur di belakang rumah.
 Daunnya boleh dituai bila-bila masa diperlukan.

Daun pokok pandan wangi juga dikatakan mempunyai nilai herba yang telah digunakan oleh masyarakat kita sejak zaman dahulu untuk membuang angin di dalam badan, menurunkan tekanan darah tinggi dan mengecutkan rahim bagi wanita selepas bersalin. Ia juga digunakan sebagai bahan pencuci rambut untuk melebat dan menghitamkan rambut serta mengurangkan keguguran rambut.
Waulahualam.

Salam bertani.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan