Isnin, 19 Disember 2016

Buah Pisang 1

Salam bertani.

WP nak tunjukkan beberapa jenis buah pisang yang biasa terdapat di sekitar kita. Buah pisang merupakan buah-buahan tempatan tidak bermusim yang banyak khasiat dan mudah didapati serta murah harganya. Buah pisang boleh dimakan begitu sahaja sebagai pencuci mulut dan boleh dijadikan bahan makanan lain seperti pisang goreng, cekodok (jemput-jemput), lempeng, kerepek, kek, kuih muih, pisang salai dan sayuran.

Kebanyakan buah pisang yang WP tunjukkan ini dihasilkan daripada pokok pisang yang ditanam di sekeliling rumah . WP menanam pokok pisang secara kecil-kecilan sahaja untuk kegunaan sendiri dan yang selebihnya ada juga yang dijual di pasar tani.

1. Buah pisang kapas.

     Sesuai dijadikan bahan untuk membuat cekodok, lempeng dan kek pisang.
     Buah yang muda boleh dibuat sayuran.


Buah pisang kapas yang sesuai dituai.


Sesisir buah pisang kapas matang.
Warnanya kuning terang dan beraroma harum.


Kek pisang kapas.


Buah pisang kapas yang dijual di pasar tani.
Harga pasaran RM2.50 sekg.

2. Buah pisang lilin.

    Sesuai dimakan sebagai pencuci mulut, dibuat kerepek dan digoreng.
    Buah mudanya boleh dijadikan sayuran.


Setandan buah pisang lilin di pokok yang sesuai dituai


Buah pisang lilin yang sesuai digoreng.


Pisang lilin goreng.


Buah pisang lilin yang dipasarkan.
Harganya lingkungan RM3.50 sekg.

3. Buah pisang raja udang

     Pisang yang unik kerana warna buahnya yang berbeza daripada pisang lain.
     Sesuai dimakan sebagai pencuci mulut atau dibuat kek pisang.


Buah pisang raja udang semasa muda.
Perhatikan warna pokok dan buahnya yang unik.



Sesisir buah pisang raja udang matang.
Warnanya lebih cerah daripada yang muda.


Buah pisang raja udang yang dipasarkan.
Harganya lingkungan RM3.50 sekg.

4. Buah pisang tanduk

    Buah pisang yang paling besar dan sangat popular.
    Sangat sesuai dijadikan pisang goreng dan kerepek pisang.
    Banyak ditanam secara ladang untuk komersial.


Buah pisang tanduk muda di pokok.


Buah pisang tanduk tua yang sesuai dijadikan kerepek pisang.


Kerepek pisang tanduk.


Buah pisang tanduk matang yang enak digoreng atau direbus sahaja.
Harga pasaran sekitar RM4.50 sekg.

5. Buah pisang raja talon

    Buah pisang yang kedua besar selepas pisang tanduk.
    Menghasilkan tandan yang besar dan berat, pokoknya perlu ditongkat untuk
    mengelakkan patah atau tumbang.
    Sesuai digoreng dan dibuat kerepek pisang.


Sepohon pokok pisang raja talon yag sedang berbuah.


Buah pisang raja talon matang.


Buah pisang raja talon matang yang dipasarkan.
Harganya lingkungan RM3.50 sekg.
Perhatikan perbezaan saiznya dengan buah pisang lilin di sebelahnya
dan buah pisang kapas di bawahnya.

6. Buah pisang 40 hari

    Dikenali juga sebagai buah pisang boyan.
    Enak dijadikan pencuci mulut ataupun lempeng.
    Buah matangnya mudah tanggal dari sisirnya.


Setandan buah pisang 40 hari yang hampir boleh dituai.


Sesisir buah pisang 40 hari yang sesuai dimakan.
Sekiranya terlalu ranum, kulitnya akan melekat pada isi pisang.


Lempeng pisang 40 hari.


Buah pisang 40 hari yang dipasarkan.
Harganya lingkungan RM2.50 - RM3.00 sekg.

7. Buah pisang lemak manis

    Sangat enak dan sesuai dijadikan pencuci mulut atau cekodok.
    Rasanya sangat manis, lemak dan beraroma harum.
    Saiznya kecil, sekali suap sahaja.
    Disebut juga pisang monyet kerana saiznya yang kecil dan digemari oleh monyet
    walaupun masih mentah.
    Ada yang keliru menyatakannya sebagai pisang 40 hari.


Setandan buah pisang lemak manis yang sesuai dituai.
Sekiranya lewat dituai buahnya akan pecah.


Buah pisang lemak manis matang.
Rupanya seperti pisang 40 hari dan ramai yang tidak
boleh membezakannya.
Harga pasaran sekitar RM4.50 sekg.



Bersambung........
Salam bertani.

















1 ulasan: