Ahad, 29 Mei 2016

Pokok Sukun

Salam bertani.

Pokok sukun merupakan salah satu pokok buaah-buahan tidak bermusim yang banyak ditanam di negara kita. Pokok sukun merupakan pokok saka yang boleh menjadi besar dan tinggi sekiranya tidak dipangkas dan akan menyukarkan kita untuk mengutip hasilnya. Ia mengeluarkan bunga jantan dan betina pada satu pokok dan bunga betinanya yang akan menjadi buah sukun. Keseluruhan bahagian pokok sukun mengandungi cecair getah berwarna putih.

    Buah sukun tidak menghasilkan biji benih, oleh itu ia tidak dibiakkan melalui biji benih. Pembiakan pokok sukun biasanya melalui keratan akar yang akan menghasilkan anak benih dan seterusnya disemai ke dalam polibeg. Pokok sukun boleh juga dibiakkan melalui cantuman mata tunas menggunakan anak pokok terap sebagai pokok penanti. Biji benih buah terap disemai dalam polibeg, dan dilakukan cantuman mata tunas sukun pada anak pokok terap tersebut.

Hasil pokok sukun yang utama ialah buah sukun. Buah sukun yang matang biasanya digoreng seperti pisang goreng. Ia juga boleh direbus atau pun dimasak sebagai sayuran. Buah sukun boleh dijadikan kerepek sukun tetapi kerepek sukun tidak boleh disimpan lama seperti kerepek buah-buahan lain kerana ia cepat keras. Buah sukun yang terlalu matang akan menjadi lembik, biasanya boleh dibuat jemput-jemput (cekodok sukun).


Anak benih sukun yang tumbuh melalui keratan akar.


Anak benih sukun tumbuh dari akarnya.


Anak benih sukun yang dibiakkan melalui keratan akar
disemai di dalam polybeg.


Sepohon lagi yang disemai dalam polybeg melalui
kaedah pembiakan yang sama.


Sepohon sukun dewasa yang telah mengeluarkan hasil.


Bunga sukun jantan.


Bunga sukun betina



Bunga jantan dan betina pada satu  pucuk.


Putik buah sukun.


Buah sukun muda


Buah sukun hampir matang.


Sebiji buah sukun seberat 1 - 3 kg



Buah sukun matang mengeluarkan getah pada kulitnya.


Buah sukun matang yang telah dituai.



Belahan buah sukun matang.


Buah sukun goreng.


Sepohon sukun yang sedang lebat berbunga.
Pokok ini pernah dipangkas


Pangkal pokok sukun berbanir.


Sepohon sukun di depan surau IPGKTI JB.
Pokoknya besar, tinggi dan berbuah lebat.


Sehelai daun sukun.


Ini ialah anak pokok terap. Asalnya adalah anak benih
pokok sukun daripada cantuman mata tunas. Oleh kerana mata tunasnya
patah jadi yang tumbuh ialah pokok penantinya iaitu pokok terap.

Selain enak dijadikan makanan, buah sukun sebenarnya mengandungi pelbagai vitamin dan khasiat. Ia dikatakan mengandungi karbohiderat yang tinggi dan boleh menggantikan nasi. Ia mengandungi serat yang tinggi sesuai untuk mengawal gula dalam darah dan boleh dijadikan makanan diet. Buah sukun juga memberi manfaat kepada kesihatan rambut. Sekarang daun sukun telah diproses  menjadi minuman teh herba yang bermanfaat untuk kesihatan jantung dan pelbagai penyakit lain.

Salam bertani.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan