Rabu, 4 Mei 2016

Tanaman Kacang Panjang.

Salam bertani.

Salah satu jenis sayur-sayuran yang biasa ditanam di kebun WP ialah pokok kacang panjang. Kacang  panjang merupakan sejenis sayuran buah yang mempunyai batang lembut yang melilit junjungan. Junjungan daripada kayu atau pvc perlu disediakan dengan ketinggian yang sesuai supaya kita mudah mengutip hasil.

    Pokok kacang panjang boleh disemai melalui biji benih terus ke atas batas. Batas diperlukan untuk memudahkan pengurusan dan mengelakkan air bertakung. Kacang panjang boleh juga ditanam di dalam pasu atau polybag.

  Bagi pekebun sayur-sayuran, tanaman kacang panjang perlu ditanam dalam sistem penggiliran tanaman. Penggiliran tanaman bermaksud menukar jenis tanaman di tempat yang sama selepas sesuatu musim. Ini bertujuan bagi mengekalkan kesuburan tanah dan mengelakkan pembiakan serangga perosak yang berterusan. Tanaman jenis kekacang dapat menghasilkan unsur nitrogen dalam tanah melalui mikroorgnisme yang terdapat pada akarnya.

    Pokok kacang panjang menghasilkan buah yang dijadikan sayuran. Selain buahnya mungkin ramai  yang tidak mengetahui bahawa pucuk muda daun kacang panjang juga boleh dibuat sayuran, yang enak dimasak goreng/tumis.


Sebatas tanaman kacang panjang. Sungkupan daripada plastik pvc
 untuk mengekalkan kelembapan tanah dan pengawalan pertumbuhan rumpai.
 Junjungan disediakan untuk pokok kacang panjang melilit.


Sebatas pokok kacang panjang yang telah mengeluarkan hasil.


Daun kacang panjang. Pucuk mudanya boleh dijadikan sayuran.


Bunga kacang panjang. Setangkai menghasilkan dua kuntum bunga.


Bunga dan buah kacang panjang.


Setangkai menghasilkan dua buah kacang panjang.


Buah muda kacang panjang


Buah kacang panjang yang sesuai dituai.


Pokok kacang panjang menghasilkan buah yang lebat dan perlu
dituai dua kali seminggu.


Buah matang yang mengandungi 10 hingga 15 biji benih.


Buah kacang panjang yang dituai.
Seikat seringgit.

Selain dijadikan sayur-sayuran, kacang panjang juga sebenarnya mengandungi pelbagai khasiat perubatan dan kesihatan. Kacang panjang juga mengandungi khasiat kecantikan terutama untuk melangsingkan badan, mengelakkan perut buncit, mengekalkan kelembapan kulit dan melambatkan penuaan.

Salam bertani.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan