Selasa, 24 Mei 2016

Racun Rumpai 2 : Racun Sentuh

Salam bertani.

Cara yang paling berkesan untuk mengawal pertumbuhan rumpai di kebun yang luas ialah dengan menggunakan semburan racun rumpai. Salah satu jenis racun rumpai yang digunakan ialah racun sentuh. Racun sentuh bermaksud bahan ini digunakan untuk membunuh rumpai dengan cara menyentuh dan menutupi keseluruhan permukaan daun dan batang rumpai menyebabkan ia layu dan mati. Manakala bahagian rumpai yang tidak tersentuh racun ini tidak akan mati.

    Racun sentuh cepat bertindak menbunuh rumpai dan kesannya dapat dilihat beberapa jam selepas semburan. Kebaikan lain, racun sentuh lebih berkesan walaupun terkena hujan selepas semburan dan biasanya tidak memberi kesan buruk pada akar tanaman berbanding racun rumpai jenis sistemik. Racun sentuh juga adalah racun tidak memilih dan menbunuh semua jenis rumpai yang terkena semburannya.

  Keburukan racun sentuh pula ialah ia tidak menyerap pada akar tumbuhan dan tidak dapat menyentuh akar tumbuhan yang berada di dalam tanah .Rumpai seperti lalang akan cepat tumbuh semula kerana rizomnya yang berada di dalam tanah tidak terjejas. Ia juga tidak membunuh biji benih yang berada dalam tanah, dan anak benih rumpai akan tumbuh dengan cepat, jadi kita perlu menyembur racun rumpai sentuh lebih kerap. Kesan pembunuhan rumpai juga tidak sekata sekiranya kita tidak tahu teknik penyemburan yang betul atau tidak mengikut kadar bancuhan seperti yang disyorkan.

Racun rumpai sentuh juga adalah racun yang sangat berbahaya kepada manusia dan ternakan. Kita perlu mengutamakan langkah-langkah keselamatan semasa penggunaannya kerana ia boleh memberikan kemudaratan kepada kesihatan manusia. Rumpai yang disembur racun sentuh juga boleh memberi kemudaratan kepada ternakan sekiranya memakan rumpai tersebut seperti lembu dan kambing dan juga boleh membunuh lebah dan kelulut.

Kebanyakan racun rumpai sentuh adalah bahan kawalan dan tidak boleh dijual kepada sesiapa sahaja sewenang-wenangnya kerana dikhuatiri disalahgunakan untuk tujuan yang tidak baik.Walau bagaimana pun, penggunaannya amat diperlukan kerana sesetengan tumbuhan tidak dapat dikawal menggunakan racun rumpai sistemik.



Contoh racun rumpai sentuh ialah KEN-TEC 100 keluaran KENSO
Bahan aktifnya ialah paraquat dichloride sebanyak 13% dan
selebihnya ialah bahan perawis lengai.


Hampir keseluruhan racun rumpai sentuh menggunakan bahan aktif berasaskan paraquat.
Kandungannya ada yang mencapai sehingga 26% (maksudnya lebih pekat)
Cecair paraquat berwarna biru gelap.


Pengkelasan racun rumpai sentuh KELAS 1b bermaksud racun yang merbahaya (bisa), label berwarna merah dengan gambar tulang dan tengkorak. Perlu jauhkan daripada kanak-kanan kerana boleh membawa maut sekiranya terminum.


Label pada bekas racun.


Diantara rumpai yang boleh dihapuskan menggunakan racun sentuh.
Tunggul pokok nanas hanya boleh dihapuskan menggunakan semburan racun sentuh
kerana racun jenis sistemik tidak memberi kesan untuk mematikannya.


Kesan semburan racun rumpai jenis sentuh yang tidak membunuh akar rumpai.
Rumpai akan hidup semula dan perlu diulang semburan lagi.


Untuk memberikan kesan kematian rumpai yang sekata dan tahan lama
bolehlah mencampurkan racun rumpai berbutir yang mengandungi bahan aktif
metsulfuron-methyl. Bahan ini tidak sesuai digunakan pada kebun yang ada tanaman kerana boleh memberi kesan buruk pada akar  dan menjejaskan hasil tanaman.

Salam bertani.

Catat Ulasan